BEKAS Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Education Malaysia Global Services (EMGS) dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen hari ini daripada pertuduhan menyebabkan seorang kakitangan dipecat setelah memberikan maklumat mengenai salah lakunya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Suzana Hussin membebaskan Wafiy Abd Aziz, 37, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

“Setelah mendengar keterangan saksi-saksi pendakwaan, hujahan peguam dan pendakwa raya, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal menunjukkan kes terhadap tertuduh.

“Dengan itu tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan dan wang jaminan (RM15,000) dipulangkan manakala tarikh-tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dilapangkan,” kata Suzana.

Pertuduhan terhadap Wafiy adalah yang pertama mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711), sejak ia berkuat kuasa pada 2010.

Wafiy didakwa telah mengambil tindakan yang memudaratkan terhadap seorang pemberi maklumat dengan cara mengapi-apikan Pengerusi EMGS Datuk Abdul Rahman Mohamed Shariff supaya menandatangani dokumen penamatan pekerjaan ke atas lelaki terbabit sebagai suatu tindakan balas terhadap pendedahannya berkenaan kelakuan tidak wajar tertuduh kepada SPRM.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat EMGS di Jalan Mayang Sari di sini, pada 9 Jan 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 10(3)(b) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 10(6) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga 15 tahun atau kedua-duanya.

Wafiy diwakili peguam Datuk Dr Baljit Singh Sidhu manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Afif Ali.

Perbicaraan kes itu bermula 27 April 2021 dengan 17 saksi pendakwaan memberi keterangan termasuk dua saksi utama iaitu Abdul Rahman dan CEO EMGS Shahinuddin Shariff.–Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here