SEORANG lelaki didakwa ke Mahkamah Seksyen di Putrajaya, hari ini atas tuduhan mencabul kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dalam lif sebuah projek perumahan rakyat (PPR) di Kerinchi, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tertuduh berusia 30-an itu tidak mengaku salah selepas didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

“Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

“Mahkamah turut memerintahkan tertuduh ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk pemeriksaan mental di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 20 Julai ini.

Pada Selasa lalu, media melaporkan, seorang lelaki direman lima hari berhubung kes amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dalam lif sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kerinchi, 14 Mei lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here