SEORANG penolong jurutera sebuah kolej mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah tiga tahun lalu.

Tertuduh, Suhairol Samsudin, 44, membuat pengakuan itu selepas dibacakan pertuduhan itu oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Harian Metro melaporkan, mengikut pertuduhan, Suhairol sebagai penjawat awam bertugas di Kolej Vokasional Melaka Tengah didakwa menerima wang tunai RM600 tanpa balasan daripada Abd Rasid Omar dengan mengetahui ia mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 28 Februari 2019, di Lot 1762-3, Jalan Sungai Punggur, Air Keroh pukul 9.30 malam.

Kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Syakila Yaacob menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan menanggung keluarga.

Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM Melaka sehingga kes selesai.

Elesabet kemudian menetapkan tarikh 17 Jun sebagai sebutan semula kes dan lantikan peguam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here