PIHAK Pendakwaan dalam kes pindaan terhadap laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Arul Kanda Kandasamy, memohon supaya Arul Kanda memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam prosiding perbicaraan hari ini memanggil Arul Kanda untuk memberikan keterangan sebagai saksi seterusnya selepas Mahkamah Tinggi mendengar keterangan seorang penolong pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sri Ram berkata, pihaknya mengemukakan permohonan lisan itu supaya Arul Kanda memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan mengikut Seksyen 63 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan Muhammad Shafee ingin menyatakan sesuatu berhubung perkara itu.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee yang mewakili Najib kemundian menyifatkan permohonan pendakwaan bukan perkara biasa dan ia adalah kali pertama dalam sejarah moden negara.

Muhammad Shafee berkata, pendakwaan mesti memenuhi peruntukan Seksyen 63 SPRM dan mengemukakan permohonan serta mesti memuaskan hati mahkamah.

“Ia adalah budi bicara sepenuhnya oleh mahkamah, …saya juga melihat beberapa isu dalam permohonan ini termasuk isu perlembagaan,” katanya lapor Berita Harian hari ini.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Jun ini untuk mendengar permohonan itu.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here