Category: Politik

  • AJK PAS Pusat jangan provokasi tamat hubungan dengan UMNO – Khairuddin

    AJK PAS Pusat jangan provokasi tamat hubungan dengan UMNO – Khairuddin

    KEPUTUSAN untuk menjalin atau memutuskan hubungan dengan mana-mana pihak yang ada kerjasama politik dengan PAS hendaklah ditentukan oleh Majlis Syura Ulama (MSU) parti.

    Setiausaha MSU PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, perkara itu adalah seperti yang termaktub dalam Fasal 26 9(k) Perlembagaan PAS yang turut menyebut mengenai mana-mana kerjasama dengan pihak luar hendaklah selepas dipersetujui oleh MSU.

    “Dan tidak wajar juga mana-mana pihak dalam PAS termasuk Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat membuat kenyataan provokasi untuk menamatkan hubungan PAS dan UMNO sedangkan Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin telah mengingatkan dalam kenyataan media selepas Muzakarah MSU pada akhir Disember iaitu MSU bersetuju untuk terus memperkasakan MN dn PN dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam di negara ini lebih-lebih lagi bagi berhadapan PRU-15,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau mengulas tentang kenyataan Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin semalam yang mengingatkan UMNO bahawa kesabaran partinya terhadap kerenah puak tertentu dalam UMNO ada hadnya.

    Khairil Nizam mendakwa, segelintir pemimpin UMNO didakwa bertindak keterlaluan dengan memberi contoh, krisis politik di Melaka yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) serta krisis di Perak dahulu dan pembubaran DUN Johor.

    Beliau berkata demikian dalam sesi dialog bersama Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

    Khairil Nizam turut memberitahu, kluster yang menimbulkan masalah adalah mereka yang berdepan kes mahkamah dan telah ‘memalukan negara di peringkat dunia’.

    Beliau menambah, walau pun PAS bersabar, titik perubahan berhubung hubungan dengan UMNO boleh berlaku dan pada masa sama, beberapa pertimbangan perlu diambil kira.

    Jika ia menjejaskan penyatuan orang Islam, katanya lagi, PAS ‘tidak akan teragak-agak’ untuk mengambil tindakan terhadap hubungan dengan UMNO.

    Beliau berkata, jika isu tersebut terus disuarakan dengan kuat, muktamar khas mungkin diadakan untuk membincangkannya sebelum dibawa ke Majlis Syura Ulamak untuk menentukan dasar parti.

  • Parti politik harap SOP kempen PRN secara fizikal, bersemuka dilonggarkan

    Parti politik harap SOP kempen PRN secara fizikal, bersemuka dilonggarkan

    itik patah kaki

    KELONGGARAN pada Prosedur Operasi Piawai (SOP) kempen fizikal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung penting bagi parti-parti politik yang bertanding menyantuni dan mendekati para pengundi.

    Justeru, beberapa parti politik menyatakan harapan agar diberi ruang dan peluang untuk menjalankan kempen secara fizikal dan bersemuka dengan SOP yang lebih longgar dalam PRN itu nanti.

    Ketua Pemuda Perikatan Nasional Johor Ahmad Nawfal Mahfodz bagaimanapun berkata PN tetap akur dengan ketetapan SOP Covid-19 yang akan ditetapkan kelak.

    “Apa-apa pun, kita perlu melihat perkembangan kes Covid-19 semasa. Memang membimbangkan tetapi pergerakan sosial masih berlangsung. SOP perlu diselaras dengan baik agar kes tidak melonjak lebih bahaya.

    “Untuk PRN Johor, yang penting ada ruang yang baik, memadai untuk calon dapat bertemu dengan pengundi mereka dengan pematuhan SOP. Kalau terlalu ketat, itu tidak ‘raya’,” kata Nawfal yang juga ketua Pemuda Pas Johor ketika dihubungi Bernama.

    Ahmad Nawfal Mahfodz

    Ketua Pemuda MCA Johor, Ling Tian Soon berkata, langkah melonggarkan SOP bagi pelaksanaan PRN Johor akan memberi manfaat kepada parti politik bertanding mendekati pengundi untuk mencapai objektif mereka.

    “Sekiranya SOP dilonggarkan, orang ramai khususnya parti politik tetap perlu sentiasa berwaspada kerana (masih ada) kes Covid-19 direkodkan sehingga kini,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata selain membenarkan parti politik berkempen melalui ceramah dengan pematuhan SOP yang lebih longgar, program seperti tinjauan mesra juga penting dalam usaha mereka menyantuni pengundi di sesuatu kawasan.

    Jimmu Puah Wee Tse

    “Kalau kita tengok, pengundi di PRN Melaka seolah-olah tiada peluang untuk berinteraksi dengan calon-calon. Ini tidak elok kerana dalam sistem demokrasi, adalah mustahak pengundi mendapatkan pandangan dan pendirian calon-calon dalam sesuatu isu yang berkait rapat dengan mereka, sama ada isu tempatan mahupun nasional,” katanya.

    Timbalan Pengerusi Amanah, Johor Dzulkefly Ahmad pula berkata, SOP PRN yang sedikit longgar akan memberi peluang sama rata khususnya kepada parti pembangkang untuk berkempen.

    “Saya bersetuju cadangan itu, paling tidak kebenaran untuk berkempen perlu diberi khususnya di kawasan yang kurang berisiko sama seperti yang dilaksanakan semasa PRN Sarawak baru-baru ini,” katanya.

    Dzulkefly Ahmad

    Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, beliau berharap SOP Covid-19 bagi PRN Johor dilonggarkan supaya lebih banyak kempen di lapangan dapat dilakukan.

    Menurut Abdul Ghani, SPR kini sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara berhubung perkara itu.

    Johor mencatatkan 868 kes baru semalam, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di negeri ini berjumlah 260,447 dan merekodkan 3,918 kematian.

    Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 kekal pada 1.15 semalam dengan Perlis merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.29, diikuti Putrajaya (1.21) dan Johor (1.17). 

  • Undi muda: Tiada parti boleh selesa dengan pengundi tegar

    Undi muda: Tiada parti boleh selesa dengan pengundi tegar

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TIADA mana-mana parti kini boleh berbangga dan yakin dengan pengundi tegar mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak ekoran kehadiran lebih 700,000 pengundi baharu yang terdiri dalam kalangan orang muda.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan turut mengakui parti itu juga berdepan kesukaran untuk meramal undi pertama daripada golongan itu.

    Menurut beliau, kehadiran pengundi dalam kalangan kumpulan itu bukan sahaja memberi cabaran kepada Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) tetapi semua parti bertanding ekoran pertambahan undi di setiap kerusi.

    “Pengundi muda adalah satu kumpulan yang membawa cabaran kepada semua parti, kita kena tunjuk kesungguhan dan keikhlasan untuk mendekati mereka dan buat tawaran bermakna kepada anak muda.

    “Ini satu perkara positif untuk demokrasi dan politik dalam negara, selama ini ada parti yang boleh kata dia selesa ada pengundi tegar yang macam mana pun akan undi dia.

    “Tetapi dengan anak muda ini kita tak boleh baca kerana ada kemungkinan mereka undi pihak A, undi B dan ada kemungkinan juga tidak mengundi,” katanya.

    Wan Saiful berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Kampung Parit Haji Ali, Muar, malam tadi.

    Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan pertambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18.

    Justeru, kata Wan Saiful, amanah kini diberikan kepada Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan sayap Pemuda PN untuk menggalas tanggungjawab dalam merangka strategi bagi mendekati golongan itu.

    Dalam perkembangan berkaitan, PN juga katanya akan menampilkan calon-calon yang seimbang dalam PRN Johor iaitu terdiri daripada golongan muda, wanita, profesional dan calon berpengalaman.

    “Kita sudah terima nama dari negeri dan parti gabungan dalam PN, ada beberapa proses yang perlu dilalui dan kita kena ingat bahawa kita dalam PN, jadi PN yang akan buat keputusan itu.

    “Suasana di Johor juga agak berbeza, negerinya luas dan demografi yang pelbagai jadi sudah tentu strategi kita pasti berbeza. Kita ada pengalaman di Melaka yang kita belajar dan pasti ada tambah baik di Johor,” katanya.

    Sementara itu, Bersatu berharap sedikit kelonggaran dapat diberikan semasa tempoh kempen PRN Johor berbanding di Melaka untuk memastikan semua parti boleh menyampaikan mesej mereka kepada rakyat dengan cara paling berkesan.

    “Rakyat kita ini nak tak nak kaedah rumah ke rumah dan ceramah masih penting, teknik dalam talian memang betul ada kepentingannya tetapi ramai masih nak ceramah umum. Saya yakin kalau dapat pastikan prosedur operasi standard (SOP) terjaga kita patut benarkan ceramah-ceramah atau rumah ke rumah,” katanya.

  • Zuraida masih ahli, anggota MPT Bersatu

    Zuraida masih ahli, anggota MPT Bersatu

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi berkaitan spekulasi mengenai Datuk Zuraida Kamaruddin yang didakwa menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Wan Saiful berkata, apa yang diketahuinya Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu masih kekal sebagai anggota MPT Bersatu dan ahli parti itu sehingga kini.

    “Macam-macam spekulasi mengenai Zuraida. Saya punya pandangan sebagai Ketua Penerangan parti saya rasa isu dibincang dalam mesyuarat kita kekal dalam mesyuarat.

    “Lebih elok kita tunggu pengumuman rasmi daripda parti kalau ada apa-apa, kalau tiada sebaiknya kita pastikan Perikatan Nasional (PN) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” katanya.

    Terdahulu Wan Saiful bersama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga anggota MPT Bersatu menghadiri program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Kampung Parit Haji Ali, Muar, malam tadi.

    Zuraida dikaitkan menyertai PBM dan dilaporkan terdapat perbincangan pimpinan Bersatu berkaitan isu pemecatan Ahli Parlimen Ampang itu dan individu lain yang didakwa terlibat dengan parti baharu terbabit seperti ditulis Malaysia Kini.

    Dalam laporan portal itu, seorang lagi anggota MPT Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman memaklumkan, isu berkenaan dibangkitkan dalam mesyuarat pada 25 Januari lalu.

    Bagaimanapun Muhammad Faiz berkata, tiada sebarang keputusan dibuat setakat ini sementara menunggu siasatan lanjut oleh parti.

    Dalam pada itu, Wan Saiful menegaskan, isu terbabit tidak akan menganjak momentum Bersatu dan PN dalam perjalanan menghadapi PRN Johor.

  • Abdul Hadi:Pas tidak akan bersama UMNO yang bocor bahteranya

    Abdul Hadi:Pas tidak akan bersama UMNO yang bocor bahteranya

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini memberi amaran terhadap anggota parti itu ‘yang digoda’ dan melanggar sumpah taat setia atau baiah mereka terhadap parti tersebut.

    Abdul Hadi berkata, Pas tidak akan bersama-sama UMNO melalui pendekatan Barisan Nasional (BN) ‘yang telah bocor bahteranya kerana Pas tidak mahu tenggelam bersama’ gabungan itu.

    Katanya, walaupun terdapat segelintir ahli Pas digoda supaya mengubah ‘road map’ dan hala tuju Pas, namun mereka yang tergoda itu akan kembali ke pangkal jalannya.

    “…atau (mereka ini) terpelanting jatuh ‘disambar jerung, atau tenggelam dalam gelombangnya sepertimana mereka yang pernah melakukannya dahulu.

    “Namun, para pemimpin yang setia kepada perjuangan PAS dan ahli-ahli yang memberikan wala’ dan taat secara tidak membabi buta, terus melayari bahteranya hingga sampai ke destinasi dengan izin Allah SWT,” katanya pada hantaran di media sosial hari ini.

    Menurutnya, Pas yakin bahawa mereka yang mengkhianati baiah mereka terhadap parti itu pasti akan menerima akibatnya.

    Dalam memberi peringatannya, Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang memetik firman Allah SWT pada ayat 10, Surah al-Fath.

    Tidak jelas siapa yang dimaksudkan Abdul Hadi sebagai ahli yang melanggar baiah itu.

    Pun begitu, terdapat pemimpin Pas yang masih mahu mengekalkan kerjasama dengan Umno melalui gagasan Muafakat Nasional (MN) manakala presiden PAS itu mahu parti pimpinannya kekal bersama-sama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah panji Perikatan Nasional (PN).

    Dalam pada itu, Abdul Hadi hari ini berkata sudah ‘terang lagi bersuluh PAS mahu mengembalikan UMNO ke pangkal jalan’ perpaduan umat Melayu dan Islam mengikut acuan Islam.

    “Pada masa yang sama, tidak meninggalkan mana-mana golongan yang tercicir dan bersama masyarakat majmuk dalam gagasan PN dan MN bersama-sama Bersatu.

    “Akan tetapi, UMNO masih lagi membawa pendekatan ‘asabiyyah Melayu yang hanya melibatkan UMNO dan Pas serta meminggirkan sahabatnya sendiri daripada kalangan Bersatu,” katanya lagi.

  • Jika benar diugut, kerajaan negeri Johor dianggap gagal

    Jika benar diugut, kerajaan negeri Johor dianggap gagal

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KERAJAAN negeri Johor yang dipimpin Menteri Besar daripada UMNO, Datuk Hasni Mohammad sebelum ini gagal jika benar diugut seperti kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kayat berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak berjaya menguruskan kerajaan negeri dengan baik walaupun tidak ditentang secara terbuka oleh mana-mana pihak.

    “Jika dakwaan Mohamad itu benar maka kerajaan negeri yang ditubuhkan melalui pintu belakang pada Februari 2020 lalu telah gagal.

    “Rupa-rupanya pembubaran DUN tiada kaitan dengan rakyat yang sedang menderita sekarang.

    “Tetapi rakyat dipaksa mengundi dalam PRN nanti,” katanya menerusi entri di Facebook miliknya hari ini.

    Semalam, Mohamad yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN berkata, kerajaan negeri dan Menteri Besar tidak seharusnya dibiarkan menerima ugutan daripada parti politik tertentu.

    “Itu sebabnya Menteri Besar maklumkan kepada kami bahawa PRN perlu diadakan kerana kita tidak mahu sebuah kerajaan negeri yang sentiasa diugut,” katanya.

    Timbalan Presiden UMNO itu berkata, setiap negeri berdepan situasi politik tersendiri di mana PRN Melaka dahulu diadakan kerana empat Ahli Dewan Undangan Negeri melompat ke pembangkang.

    Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor selepas menerima mengadap Hasni.

    Hasni pada sidang akhbar selepas pembubaran itu berkata, kerajaan negeri tidak boleh diteruskan hanya dengan ihsan pembangkang selama ini.

    Kedudukan DUN Johor dikatakan semakin rapuh selepas ADUN Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian meninggal dunia pada Disember lalu sekaligus menjadikan kerusi pada 28-27.

    Meskipun diberi jaminan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas untuk meneruskan pentadbiran sehingga tamat penggal, namun Hasni dan partinya tetap berusaha untuk membubarkan DUN.

  • Pinjaman bank RM2.5b, Najib perlu beri penjelasan

    Pinjaman bank RM2.5b, Najib perlu beri penjelasan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KEDUDUKAN sebenar proses kelulusan pinjaman sebanyak RM2.5 bilion tanpa cagaran kepada Genting Hong Kong pada tahun 2012 perlu dijelaskan oleh Datuk Seri Najib Razak.

    Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Johor, Mohd Solihan Badri berkata, bekas Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan ketika itu sudah tentu telah mendapat nasihat daripada Bank Negara dan Kementerian Kewangan berkaitan pinjaman itu.

    Solihan berkata, pinjaman berkenaan bukan sahaja tidak wajar malah berisiko tinggi kerana jumlahnya yang agak besar.

    “Walaupun kelulusan pinjaman bukan ditentukan MOF atau pemegang saham namun Khazanah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai pemegang saham dalam bank yang terlibat adalah agensi kerajaan di bawah seliaan MOF.

    “Justeru, Najib perlu ada kebertanggungjawaban dalam isu ini kerana ia melibatkan pinjaman menggunakan wang rakyat dan pencarum dengan satu jumlah yang amat besar,” katanya dalam kenyataan.

    Mohd. Solihan Badri
    Mohd. Solihan Badri

    Mohd Solihan berkata, walaupun pemegang saham tidak terlibat dalam operasi harian sesebuah syarikat tetapi ia tidak bermakna Menteri Kewangan tidak boleh menegur syarat-syarat pinjaman jika didapati rapuh atau berisiko tinggi.

    Tiga bank Malaysia telah dinamakan sebagai antara ketua pemiutang tidak bercagar syarikat Genting Hong Kong dengan gabungan pendedahan sebanyak AS$600 juta (RM2.5 bilion).

    Tiga bank terbabit adalah Khazanah Nasional (CIMB), agensi pelaburan Bumiputera PNB (Maybank) dan skim persaraan swasta KWSP (RHB).

    Pada 29 Januari lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, pemberian pinjaman tanpa cagaran kepada syarikat Genting Hong Kong bukan ditentukan Kementerian Kewangan atau pemegang saham sebaliknya keputusan ditentukan bank yang terlibat.

  • Siapa calon PM UMNO, Ismail Sabri atau Najib? Soal Kit Siang

    Siapa calon PM UMNO, Ismail Sabri atau Najib? Soal Kit Siang

    PEMIMPIN veteran DAP, Lim Kit Siang membangkitkan persoalan tentang siapa yang akan menjadi calon Perdana Menteri UMNO bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Bapa kepada Setiausaha Agung DAP yang sedang berdepan pertuduhan rasuah di mahkamah, Lim Guan Eng itu turut bertanya sama ada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan terus menyandang jawatan Perdana Menteri atau digantikan dengan Datuk Seri Najib Razak.

    “Jadi siapa akan jadi Perdana Menteri UMNO selepas PRU-15?

    “Adakah Ismail Sabri, atau adakah MCA dan MIC akan menyokong Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 atau ke-11?” katanya dalam kenyataan media yang disiarkan melalui laman blog beliau hari ini.

    Ketika ini, Najib yang berdepan pertuduhan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di mahkamah dilhat sedang melakukan kebangkitan semula dalam politik.

    Kit Siang mendakwa, Najib telah membuat persediaan untuk muncul semula dalam gelanggang politik tempatan dengan memberi ucaptama dalam satu persidangan antarabangsa baru-baru ini.

    Selain itu, Kit Siang membuat andaian tersebut setelah Najib yang juga bekas Presiden UMNO muncul dalam wawancara muka depan akhbar utama.

    Sementara itu, Najib dalam hantaran Facebook hari ini bertanya mengapa Kit Siang menghabiskan masa untuk menulis tentang beliau.

    “Kit Siang, kenapa hari pertama Dong Dong Qiang Tahun Baru Cina kamu habiskan masa untuk fikir, bimbang dan tulis berkenaan saya?

    “Uncle tak raya? Cucu-cicit tak lawat ke?” soalnya.

  • Didakwa terlibat PBM, Zuraida mungkin dipecat Bersatu?

    Didakwa terlibat PBM, Zuraida mungkin dipecat Bersatu?

    MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berdepan kemungkinan dipecat dari Bersatu kerana didakwa terlibat dengan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Memetik laporan Malaysiakini, perkara itu disahkan oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman.

    Selain Zuraida, nasib beberapa ahli Bersatu lain yang dipercayai terlibat dengan PBM turut dibincangkan dalam mesyuarat MPT Bersatu pada 25 Januari lalu.

    Namun, kata Muhammad Faiz, masih ada sebarang keputusan dibuat sementara menunggu siasatan lanjut oleh parti.

    “Isu itu disentuh semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang terkini, memandangkan Datuk Zuraida dilihat mempunyai penglibatan dalam pembentukan PBM, sama ada secara langsung atau tidak.

    “Sebab, boleh dikatakan semua pengikutnya menyertai PBM, dan dia sendiri juga tidak menyatakan pendiriannya mengenai perkara itu sama ada secara terbuka atau kepada MPT.

    “Tetapi ia hanya dibincangkan. Belum ada keputusan konkrit lagi. Perkara itu masih dalam siasatan,” katanya, hari ini.

    Sementara itu, Muhammad Faiz berkata, mesyuarat MPT Bersatu juga membincangkan tindakan yang perlu diambil terhadap tokoh lain dalam Bersatu yang terlibat dengan PBM, dan mereka yang telah berpaling tadah tetapi masih memegang jawatan dalam kerajaan yang mereka perolehi atas tiket Bersatu.

    “Semua ini akan diteliti oleh Jawatankuasa Pengurusan Parti di bawah Datuk Seri Faizal sebagai pengerusinya, jika ada laporan daripada akar umbi,” katanya merujuk kepada Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Mengenai Zuraida, Muhammad Faiz berkata, MPT Bersatu akan menyerahkan isu itu kepada Biro Disiplin dan Biro Politik parti.

    “Secara peribadi, saya melihat beliau tidak lagi mempunyai sebarang kesetiaan kepada Bersatu dan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin (Yassin). Saya berkata ini berdasarkan maklumat dalaman yang saya terima mengenainya.

    “Ini berdasarkan maklumat dari dalam yang saya dapat mengenainya, dari ahli MPT sendiri yang berkomunikasi dengannya,” jelasnya.

    Namun beliau berpendapat, Zuraida juga perlu dipanggil untuk menjelaskan pendiriannya.

    Katanya, semua dakwaan terhadap Zuraida dan pihak lain yang terbabit dalam isu PBM perlu disiasat supaya ada bukti yang jelas.

  • UMNO Kedah tak fikir langsung tentang PRN

    UMNO Kedah tak fikir langsung tentang PRN

    Oleh RIZQI ZABIDI

    UMNO Kedah langsung tidak mempunyai perancangan mahu pun terfikir untuk melakukan gerakan bagi melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah ketika ini.

    Menurut Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz (gambar utama), pihaknya sentiasa menghormati ketetapan awal untuk membiarkan kerajaan negeri sedia ada berjalan seperti biasa hingga tiba Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

    “Saya boleh ‘confirm’ tak ada percaturan membawa PRN ke Kedah. Pergerakan ke arah itu tak ada dan cakap-cakap menjurus ke situ pun tak ada dari pihak kami.

    “Pada UMNO tiada keperluan untuk PRN di Kedah. Kami sentiasa hormati ketetapan awal untuk membiarkan kerajaan negeri sedia ada berfungsi seperti biasa hingga PRU akan datang,” katanya kepada Warta Rakyat di Alor Setar, hari ini.

    Baru-baru ini timbul spekulasi menyatakan Kedah bakal menjadi negeri ketiga untuk diadakan PRN selepas Melaka dan Johor.

    Spekulasi tersebut bagaimanapun tidak disahkan oleh mana-mana pihak dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan semalam turut menyatakan pandangannya bahawa tiada keperluan untuk PRN diadakan di Kedah.

    Mengulas lanjut katanya, cakap-cakap berhubung perkara itu hanyalah satu bentuk gosip liar yang tidak sepatutnya dilayan.

    “UMNO tak ada ‘bergerak’ untuk adakan PRN. Desas-desus ini mungkin timbul disebabkan ada pihak mengadu-domba, semata-mata mahu melihat ketidak stabilan dalam politik Kedah,” katanya.