MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berdepan kemungkinan dipecat dari Bersatu kerana didakwa terlibat dengan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Memetik laporan Malaysiakini, perkara itu disahkan oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman.

Selain Zuraida, nasib beberapa ahli Bersatu lain yang dipercayai terlibat dengan PBM turut dibincangkan dalam mesyuarat MPT Bersatu pada 25 Januari lalu.

Namun, kata Muhammad Faiz, masih ada sebarang keputusan dibuat sementara menunggu siasatan lanjut oleh parti.

“Isu itu disentuh semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang terkini, memandangkan Datuk Zuraida dilihat mempunyai penglibatan dalam pembentukan PBM, sama ada secara langsung atau tidak.

“Sebab, boleh dikatakan semua pengikutnya menyertai PBM, dan dia sendiri juga tidak menyatakan pendiriannya mengenai perkara itu sama ada secara terbuka atau kepada MPT.

“Tetapi ia hanya dibincangkan. Belum ada keputusan konkrit lagi. Perkara itu masih dalam siasatan,” katanya, hari ini.

Sementara itu, Muhammad Faiz berkata, mesyuarat MPT Bersatu juga membincangkan tindakan yang perlu diambil terhadap tokoh lain dalam Bersatu yang terlibat dengan PBM, dan mereka yang telah berpaling tadah tetapi masih memegang jawatan dalam kerajaan yang mereka perolehi atas tiket Bersatu.

“Semua ini akan diteliti oleh Jawatankuasa Pengurusan Parti di bawah Datuk Seri Faizal sebagai pengerusinya, jika ada laporan daripada akar umbi,” katanya merujuk kepada Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Mengenai Zuraida, Muhammad Faiz berkata, MPT Bersatu akan menyerahkan isu itu kepada Biro Disiplin dan Biro Politik parti.

“Secara peribadi, saya melihat beliau tidak lagi mempunyai sebarang kesetiaan kepada Bersatu dan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin (Yassin). Saya berkata ini berdasarkan maklumat dalaman yang saya terima mengenainya.

“Ini berdasarkan maklumat dari dalam yang saya dapat mengenainya, dari ahli MPT sendiri yang berkomunikasi dengannya,” jelasnya.

Namun beliau berpendapat, Zuraida juga perlu dipanggil untuk menjelaskan pendiriannya.

Katanya, semua dakwaan terhadap Zuraida dan pihak lain yang terbabit dalam isu PBM perlu disiasat supaya ada bukti yang jelas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here