Oleh RAHIMI MOHAMAD

KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi berkaitan spekulasi mengenai Datuk Zuraida Kamaruddin yang didakwa menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Wan Saiful berkata, apa yang diketahuinya Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu masih kekal sebagai anggota MPT Bersatu dan ahli parti itu sehingga kini.

“Macam-macam spekulasi mengenai Zuraida. Saya punya pandangan sebagai Ketua Penerangan parti saya rasa isu dibincang dalam mesyuarat kita kekal dalam mesyuarat.

“Lebih elok kita tunggu pengumuman rasmi daripda parti kalau ada apa-apa, kalau tiada sebaiknya kita pastikan Perikatan Nasional (PN) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” katanya.

Terdahulu Wan Saiful bersama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga anggota MPT Bersatu menghadiri program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Kampung Parit Haji Ali, Muar, malam tadi.

Zuraida dikaitkan menyertai PBM dan dilaporkan terdapat perbincangan pimpinan Bersatu berkaitan isu pemecatan Ahli Parlimen Ampang itu dan individu lain yang didakwa terlibat dengan parti baharu terbabit seperti ditulis Malaysia Kini.

Dalam laporan portal itu, seorang lagi anggota MPT Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman memaklumkan, isu berkenaan dibangkitkan dalam mesyuarat pada 25 Januari lalu.

Bagaimanapun Muhammad Faiz berkata, tiada sebarang keputusan dibuat setakat ini sementara menunggu siasatan lanjut oleh parti.

Dalam pada itu, Wan Saiful menegaskan, isu terbabit tidak akan menganjak momentum Bersatu dan PN dalam perjalanan menghadapi PRN Johor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here