PEMIMPIN veteran DAP, Lim Kit Siang membangkitkan persoalan tentang siapa yang akan menjadi calon Perdana Menteri UMNO bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bapa kepada Setiausaha Agung DAP yang sedang berdepan pertuduhan rasuah di mahkamah, Lim Guan Eng itu turut bertanya sama ada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan terus menyandang jawatan Perdana Menteri atau digantikan dengan Datuk Seri Najib Razak.
“Jadi siapa akan jadi Perdana Menteri UMNO selepas PRU-15?
“Adakah Ismail Sabri, atau adakah MCA dan MIC akan menyokong Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 atau ke-11?” katanya dalam kenyataan media yang disiarkan melalui laman blog beliau hari ini.
Ketika ini, Najib yang berdepan pertuduhan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di mahkamah dilhat sedang melakukan kebangkitan semula dalam politik.
Kit Siang mendakwa, Najib telah membuat persediaan untuk muncul semula dalam gelanggang politik tempatan dengan memberi ucaptama dalam satu persidangan antarabangsa baru-baru ini.
Selain itu, Kit Siang membuat andaian tersebut setelah Najib yang juga bekas Presiden UMNO muncul dalam wawancara muka depan akhbar utama.
Sementara itu, Najib dalam hantaran Facebook hari ini bertanya mengapa Kit Siang menghabiskan masa untuk menulis tentang beliau.
“Kit Siang, kenapa hari pertama Dong Dong Qiang Tahun Baru Cina kamu habiskan masa untuk fikir, bimbang dan tulis berkenaan saya?
“Uncle tak raya? Cucu-cicit tak lawat ke?” soalnya.