Oleh RAHIMI MOHAMAD

TIADA mana-mana parti kini boleh berbangga dan yakin dengan pengundi tegar mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak ekoran kehadiran lebih 700,000 pengundi baharu yang terdiri dalam kalangan orang muda.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan turut mengakui parti itu juga berdepan kesukaran untuk meramal undi pertama daripada golongan itu.

Menurut beliau, kehadiran pengundi dalam kalangan kumpulan itu bukan sahaja memberi cabaran kepada Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) tetapi semua parti bertanding ekoran pertambahan undi di setiap kerusi.

“Pengundi muda adalah satu kumpulan yang membawa cabaran kepada semua parti, kita kena tunjuk kesungguhan dan keikhlasan untuk mendekati mereka dan buat tawaran bermakna kepada anak muda.

“Ini satu perkara positif untuk demokrasi dan politik dalam negara, selama ini ada parti yang boleh kata dia selesa ada pengundi tegar yang macam mana pun akan undi dia.

“Tetapi dengan anak muda ini kita tak boleh baca kerana ada kemungkinan mereka undi pihak A, undi B dan ada kemungkinan juga tidak mengundi,” katanya.

Wan Saiful berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Kampung Parit Haji Ali, Muar, malam tadi.

Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan pertambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18.

Justeru, kata Wan Saiful, amanah kini diberikan kepada Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan sayap Pemuda PN untuk menggalas tanggungjawab dalam merangka strategi bagi mendekati golongan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, PN juga katanya akan menampilkan calon-calon yang seimbang dalam PRN Johor iaitu terdiri daripada golongan muda, wanita, profesional dan calon berpengalaman.

“Kita sudah terima nama dari negeri dan parti gabungan dalam PN, ada beberapa proses yang perlu dilalui dan kita kena ingat bahawa kita dalam PN, jadi PN yang akan buat keputusan itu.

“Suasana di Johor juga agak berbeza, negerinya luas dan demografi yang pelbagai jadi sudah tentu strategi kita pasti berbeza. Kita ada pengalaman di Melaka yang kita belajar dan pasti ada tambah baik di Johor,” katanya.

Sementara itu, Bersatu berharap sedikit kelonggaran dapat diberikan semasa tempoh kempen PRN Johor berbanding di Melaka untuk memastikan semua parti boleh menyampaikan mesej mereka kepada rakyat dengan cara paling berkesan.

“Rakyat kita ini nak tak nak kaedah rumah ke rumah dan ceramah masih penting, teknik dalam talian memang betul ada kepentingannya tetapi ramai masih nak ceramah umum. Saya yakin kalau dapat pastikan prosedur operasi standard (SOP) terjaga kita patut benarkan ceramah-ceramah atau rumah ke rumah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here