KEPUTUSAN untuk menjalin atau memutuskan hubungan dengan mana-mana pihak yang ada kerjasama politik dengan PAS hendaklah ditentukan oleh Majlis Syura Ulama (MSU) parti.

Setiausaha MSU PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, perkara itu adalah seperti yang termaktub dalam Fasal 26 9(k) Perlembagaan PAS yang turut menyebut mengenai mana-mana kerjasama dengan pihak luar hendaklah selepas dipersetujui oleh MSU.

“Dan tidak wajar juga mana-mana pihak dalam PAS termasuk Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat membuat kenyataan provokasi untuk menamatkan hubungan PAS dan UMNO sedangkan Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin telah mengingatkan dalam kenyataan media selepas Muzakarah MSU pada akhir Disember iaitu MSU bersetuju untuk terus memperkasakan MN dn PN dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam di negara ini lebih-lebih lagi bagi berhadapan PRU-15,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas tentang kenyataan Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin semalam yang mengingatkan UMNO bahawa kesabaran partinya terhadap kerenah puak tertentu dalam UMNO ada hadnya.

Khairil Nizam mendakwa, segelintir pemimpin UMNO didakwa bertindak keterlaluan dengan memberi contoh, krisis politik di Melaka yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) serta krisis di Perak dahulu dan pembubaran DUN Johor.

Beliau berkata demikian dalam sesi dialog bersama Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Khairil Nizam turut memberitahu, kluster yang menimbulkan masalah adalah mereka yang berdepan kes mahkamah dan telah ‘memalukan negara di peringkat dunia’.

Beliau menambah, walau pun PAS bersabar, titik perubahan berhubung hubungan dengan UMNO boleh berlaku dan pada masa sama, beberapa pertimbangan perlu diambil kira.

Jika ia menjejaskan penyatuan orang Islam, katanya lagi, PAS ‘tidak akan teragak-agak’ untuk mengambil tindakan terhadap hubungan dengan UMNO.

Beliau berkata, jika isu tersebut terus disuarakan dengan kuat, muktamar khas mungkin diadakan untuk membincangkannya sebelum dibawa ke Majlis Syura Ulamak untuk menentukan dasar parti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here