SETELAH sekian lama, akhirnya muncul juga agenda sebenar di poster calon Pakatan Harapan (PH), menyertai pilihan raya semata-mata untuk kepentingan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Agenda sempit berkepentingan individu, bukan untuk rakyat.
Jika agenda reformasi dahulu dilihat serampang dua mata, tidak ‘lurus ke depan’ tetapi hari ini nampaknya semakin keluar cerita sebenar. Hanya bermatlamatkan Anwar sebagai Perdana Menteri.
Soalnya betulkah hanya Anwar Ibrahim sahaja layak sebagai Perdana Menteri?
Atas indikator apa keyakinan ini diterjemahkan sehingga diletakkan sebagai tawaran utama dalam poster calon?
Namun jika dilihat lebih teliti, tidak semua poster calon PH memasukkan tawaran ini. Apa lagi DAP langsung tidak bersuara walaupun menjadi majoriti dalam meletakkan calon dalam komponen PH.
Saya percaya PN, BN dan Pejuang juga mempunyai perancangan menamakan Perdana Menteri mengetuai kerajaan yang bakal dibentuk tetapi tidaklah sampai menjadi gula-gula pilihan raya yang utama. Langsung tidak mendahulukan kebajikan rakyat.
Jika sesempit itu perjuangan PH, sayugia saya tidak rasa kebersamaan mereka dalam cerita prihatin rakyat melibatkan ekonomi dan kestabilan negara akan menjadi perkara utama.
Salam hormat.
Mohamad Kamal Mohamed Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan
KETIKA ini kita dapat lihat pelbagai kaji selidik lapangan dilakukan untuk melihat tahap sokongan orang ramai terhadap sesuatu parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.
Hasil kajian itu hanya boleh diambil sebagai data sokongan dan tidak boleh dianggap sebagai keputusan keseluruhan kerana sampel yang diambil tidak menyeluruh.
Namun, seperti yang semua sedia maklum, kawasan luar bandar merupakan deposit tetap BN kerana pengundi di kawasan tersebut setia dengan parti yang telah lama mereka sokong.
Manakala di kawasan bandar, cukup sinonim dengan pengundi yang menolak BN dan mereka lebih selesa menyokong pembangkang.
Melihat kepada sentimen tersebut – dengan keadaan politik yang sudah berubah disebabkan beberapa perubahan yang telah berlaku kepada struktur parti politik di Malaysia, penulis juga telah melakukan beberapa tinjauan awam bagi mengetahui tahap sokongan rakyat pada ketika ini.
Daripada tinjauan yang dilakukan di kawasan kampung, penulis mendapati Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang yang agak baik untuk meraih sokongan rakyat pada kali ini.
Ia berdasarkan kepada beberapa sebab antaranya pengundi yang tidak suka kepada UMNO/BN disebabkan terpalit dengan isu rasuah dan penyelewengan mahu memberikan undi mereka kepada PN.
Mereka yang rata-ratanya pengundi Melayu Islam melihat PN adalah pilihan yang lebih baik berbanding memberikan sokongan kepada PH yang sudah diketahui dianggotai oleh DAP.
Pengundi luar bandar di kawasan kampung masih tetap dengan pendirian mereka tidak akan sesekali memberikan sokongan atau undi kepada DAP disebabkan agenda parti itu.
Walaupun dengan menampilkan calon-calon Melayu, DAP tidak mudah untuk mempengaruhi pemikiran atau sokongan pengundi di kawasan kampung.
Pengundi luar bandar juga melihat PN yang diterajui Muhyiddin Yassin mempunyai kelebihan dari segi kepimpinan Islam, ditambah pula dengan kekuatan keanggotaan oleh PAS.
Tinjauan di kawasan bandar pula yang melibatkan pengundi yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi pula mendapati pengundi lebih selesa dengan PN disebabkan rekod pentadbiran sebelum ini.
Walaupun kerajaan PN pimpinan Muhyiddin terpaksa mentadbir dalam keadaan dugaan yang datang dari pelbagai sudut, ia dapat diuruskan dengan seimbang dari sudut kesihatan dan ekonomi.
Ciri kepimpinan yang bersih, tidak songlap duit rakyat yang ditonjolkan juga memberikan perspektif baik dari kaca mata pengundi.
Sebahagian daripada penyokong Perikatan Nasional gembira selepas Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan cuti umum sekiranya parti itu memenangi pilihanraya umum ke-15 pada Majlis Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam, baru-baru ini.
GAMBAR: Abd Razak Aid
Bahkan apabila PN melancarkan manifesto baru-baru ini, beberapa janji yang ditawarkan kepada rakyat mendapat reaksi yang positif.
Tawaran yang tidak menjanjikan bulan bintang dan realistik untuk dilaksanakan dilihat mengutamakan kepentingan rakyat dan seiring dalam menghadapi kebimbangan kemelesetan ekonomi pada tahun depan.
Manifesto berkenaan juga menyebabkan parti lawan terkesan, salah satu contoh ialah Facebook Najib Razak yang tidak henti-henti membuat serangan terhadap keupayaan janji ditawarkan PN.
Walaupun ia dibuat dengan niat untuk memesongkan fakta, ia sebenarnya tidak dapat mengubah pendirian rakyat terutamanya mereka yang berada di kawasan bandar.
Misalnya mereka mempertikaikan keupayaan pentadbiran Muhyiddin sebelum ini seperti lockdown separuh masak tetapi di ruangan komen ia ditangkis oleh netizen yang tidak bersetuju dengan apa yang dinyatakan itu.
Kata mereka, walaupun pentadbiran Muhyiddin singkat dan tidak sempurna, ia adalah jauh lebih baik daripada pentadbiran BN terutamanya ketika Najib menjadi PM.
Tambah mereka lagi, Najib yang sudah dibuktikan bersalah kerana penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta dan sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta sepatutnya ‘duduk diam-diam saja’ di dalam penjara.
Gunakan ruang yang ada untuk muhasabah diri kerana penyelewengan yang dilakukan itu melibatkan jumlah yang amat besar.
Masa Najib sudah berlalu dan berikan peluang kepada orang lain untuk mentadbir negara ke arah yang lebih baik di bawah teraju PN.
SAYA tidak ada sebarang halangan terhadap siasatan yang dibuat terhadap buku yang ditulis oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.
Jika dirasa ada asas terhadap tuduhan yang dibuat terhadapnya ataupun sesiapa sahaja termasuk saya, undang-undang ada untuk tindakan seterusnya. Tetapi amat pelik kenapa sehingga kini tidak ada sebarang siasatan atau tindakan diambil terhadap Tan Sri Apandi Ali yang jelas telah melakukan pelbagai kesalahan semasa dia menjadi Peguam Negara sebelum Thomas.
Kesalahannya melepas Datuk Seri Najib dari sebarang tindakan undang-undang juga jelas menunjuk Apandi terbabit di dalam menutup skandal 1MDB.
Bagaimana boleh Apandi sebagai seorang Peguam Negara dengan mudah melepas Najib sedangkan sembilan hakim – bermula dengan seorang hakim mahkamah tinggi, tiga hakim mahkamah rayuan dan lima hakim mahkamah persekutuan – kesemuanya mendapati Najib bersalah.
Bahkan seorang lagi hakim mahkamah tinggi Datuk Azimah Omar, pada 23 Mei 2022, di dalam penghakiman bertulisnya, sebanyak 100 muka surat, yang menolak saman fitnah Apandi terhadap Lim Kit Siang, telah membuat kesimpulan bahawa Apandi, antara lain:
i) Adalah seorang penipu;
ii) Gagal melaksana tugas sebagai Peguam Negara;
iii) Ada asas untuk disiasat kerana disyaki bersubahat dan melindung jenayah 1MDB;
iv) Mempersoal sikap dan tindakan Apandi yang bersungguh-sungguh menutup skandal
1MDB dan menyucikan Datuk Najib dan;
v) Apandi juga menolak bantuan undang-undang bersama dari pihak berkuasa Switzerland dan juga Department of Justice Amerika Syarikat sedangkan dia sedar bantuan mereka perlu untuk siasatan 1MDB.
Azimah turut menyatakan “rasa meluat mahkamah terhadap betapa kejinya kenyataan Apandi yang bercanggah, mengelak dan melakukan penipuan yang jelas.”
Berikutan kenyataan Azimah, banyak laporan polis telah dibuat terhadap Apandi tetapi tiada sebarang tindakan diambil.
Sebaliknya Apandi diberi pampasan jutaan ringgit oleh Kerajaan kerana Kerajaan terdahulu telah menamatkan perkhidmatannya kerana dia gagal menjalankan tugasnya. Tidak cukup dengan pampasan, Apandi yang telah didapati oleh Mahkamah Tinggi sebagai seorang penipu dan perlu disiasat kerana disyaki bersubahat di dalam skandal 1MDB telah dilantik mengetuai jawatankuasa siasatan tuntutan Pulau Batu Puteh.
Saya sebenarnya sudah menduga, setiap kali saya bersuara mengenai salah-laku Kerajaan akan ditimbul perkara-perkara sebegini untuk menutup mulut saya. Mereka boleh cuba, tapi saya mahu ingatkan mereka bahawa selagi ada hayat, saya tidak akan bisu, buta atau tuli apabila melihat kemungkaran yang mereka lakukan.
DATUK Seri Awnar Ibrahim tidak wajar dinamakan calon Perdana Menteri sehingga selesai kes mahkamah atas dakwaan serangan seksual terhadap Yusoff Rawther.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad, ini kerana sudah menjadi amalan di mana-mana negara di dunia, apabila seorang pemimpin menghadapi tuduhan salah laku seksual di mahkamah, maka beliau perlu menarik diri daripada menyertai sebarang pilihan raya.
Berikut adalah kenyataan penuh beliau:
Saya merujuk kepada pengumuman oleh Pakatan Harapan di Perak pada 20hb Oktober 2022 bahawa Anwar Ibrahim adalah calon Perdana Menteri bagi gabungan politik tersebut.
Pengumuman pencalonan Perdana Menteri ini dibuat walaupun terdapat kes dakwaan serangan seksual di Mahkamah Tinggi yang difailkan oleh Yusof Rawther terhadap Anwar Ibrahim yang dikatakan berlaku pada tahun 2018 di kediaman pemimpin PKR tersebut.
Yusof Rawther, bekas pembantu Anwar, memfailkan kes sivil ini terhadap Anwar pada 14 Julai 2021, dan kes ini sedang dibicarakan di mahkamah.
Tambahan pula, pada 19 Oktober 2022, Yusof Rawther telah menang satu kes saman yang berkaitan dengan isu ini terhadap Setiausaha Akhbar Anwar.
Mahkamah memerintahkan ganti rugi RM200,000 dan kos dibayar kepada Yusof.
Di mana-mana negara di dunia, adalah satu kebiasaan bahawa apabila seorang pemimpin menghadapi tuduhan salah laku seksual di mahkamah, maka beliau perlu menarik diri daripada menyertai sebarang pilihan raya atau jawatan kerajaan sehingga selesai kes mahkamah tersebut.
Ini adalah untuk memastikan hanya pemimpin yang bersih dan bermoral tinggi memegang jawatan kerajaan yang penting bagi memelihara keyakinan umum dan reputasi negara.
Oleh demikian, adalah mengejutkan dan amat tidak wajar bagi Pakatan Harapan untuk mencalonkan Anwar Ibrahim sebelum selesainya kes mahkamah Yusof Rawther terhadap beliau.
Nama yang dicalonkan oleh parti-parti politik sebagai Perdana Menteri perlulah nama yang sesuai dihantar ke Istana Negara.
Dalam keadaan ini, adalah terpulang kepada Pakatan Harapan untuk bertanggungjawab dan mengkaji semula pencalonan bagi jawatan Perdana Menteri.
Mereka perlu menghormati proses pilihan raya negara dengan memastikan semua calon, terutamanya calon PM adalah bersih dan penuh integriti.
Sehingga Mahkamah Tinggi memberi satu keputusan dalam kes Yusoff Rawther, Anwar Ibrahim tidak layak dinamakan sebagai calon Perdana Menteri Malaysia.
Datuk Dr. Haji Abdul Latiff Ahmad Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)
KEPUTUSAN Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris untuk tidak bertanding kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini dianggap sebagai tindakan tepat.
Ini kerana, Razali yang berasal dari Kampung Rhu Muda Marang, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dikatakan tidak mempunyai kerusi yang sesuai apatah lagi parti itu hanya dihadkan satu kerusi Parlimen sahaja oleh Pas untuk ditandingi kali ini.
Tujuh lagi kerusi Parlimen dikhaskan untuk calon Pas.
Sebelum ini Razali yang juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pernah beberapa kali memberitahu kepada penulis beliau tidak kisah sekiranya tidak terpilih sebagai calon dalam PRU-15 kali ini.
Apa yang penting katanya ialah perjuangan dirinya untuk parti sekaligus untuk memastikan kemenangan besar Perikatan Nasional (PN) dalam PRU-15.
Bagi penulis, keputusan diambil Razali merupakan satu pengorbanan besar dirinya bagi memberi peluang kepada calon lain lebih layak untuk bertanding.
Justeru, beliau akan memberi tumpuan kepada tugas sebagai Senator yang masih berbaki lebih dua tahun lagi disamping terus memberi sokongan kepada semua calon-calon PN yang bakal bertanding di Terengganu.
Pada PRU-14 tahun 2018 lalu, Razali yang mewakili calon Bersatu-Pakatan Harapan (PH) bertanding di kerusi Parlimen Hulu Terengganu tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Rosol Wahid.
Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Razali mendapat 3,364 undi manakala Rosol memperoleh 30,925 undi.
Seorang lagi calon, Muhyidin Abdul Rashid yang mewakili parti Pas pula mendapat 28,057 undi.
Ketika itu penulis pernah bertanya Razali, kenapa bertanding di Hulu Terengganu, siapa ada di sana? Ada keluarga, pengikut atau rakan-rakan?
Apapun, penulis berasa kagum dengan pendekatan diambil Razali dan Bersatu Terengganu dalam beberapa perkara melibatkan hubungan dengan parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN), iaitu Pas, terutamanya mengenai agihan kerusi.
Bersatu yang berada dalam satu gabungan (PN) bersama parti Pas dan Gerakan tidak pernah menimbulkan sebarang isu berhubung agihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu.
Sebelum ini Razali dan Rosol pernah memaklumkan bahawa sasaran parti itu adalah untuk bertanding di dua kawasan parlimen 10 DUN dimenangi UMNO pada PRU-14 lalu.
Malah, ketika mesyuarat Bersatu Terengganu pada Sabtu lalu, parti itu memutuskan akan akur dengan keputusan dibuat PN, khususnya Pas, dan tidak akan membuat tuntutan bertanding di kerusi lain sekiranya diberi satu kerusi Parlimen sahaja dalam PRU-15 kali ini.
Malah, parti itu menyerahkan kepada PN bagi menentukan kerusi parlimen yang bakal ditandingi Bersatu walaupun sebelum ini mereka idamkan Parlimen Hulu Terengganu dan Besut.
Apa yang membanggakan, parti itu juga dikatakan tidak akan berkecil hati dengan setiap keputusan dibuat selepas ini.
Bagi penulis, itulah sifat terpuji Bersatu Terengganu dalam menjaga hubungan dan setiakawan ketika berhadapan cabaran lebih besar.
Terdahulu, pada Khamis lalu, Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman memaklumkan agihan kerusi Parlimen antara parti komponen PN Terengganu masih mengambil kira status quo iaitu mengekalkan kerusi-kerusi yang dimenangi pada PRU-14 lalu.
Ini bermakna, daripada keseluruhan lapan kerusi Parlimen di negeri itu, secara asasnya tujuh kerusi didominasi Pas manakala hanya satu kerusi untuk Bersatu.
Malah, Ariffin memberitahu, pihaknya mengambil asas status quo iaitu tujuh kerusi Pas dan satu kerusi Bersatu di Parlimen Hulu Terengganu yang mana sebelum ini disandang Rosol yang bertanding atas tiket BN sebelum berhijrah ke parti Bersatu.
Namun, Ariffin percaya Bersatu akan ada tuntutan dan pihaknya menyerah keputusan kepada presiden-presiden parti bagi menentukan berapa kerusi yang akan ditandingi Bersatu dan Pas di Terengganu.
Bagaimanapun, Ariffin menjelaskan setakat ini kerusi Parlimen Hulu Terengganu hampir pasti menjadi milik Bersatu manakala satu lagi kerusi yang disebut-sebut menjadi idaman Bersatu iaitu di Parlimen Besut masih belum diputuskan.
Pada masa sama Ariffin turut menyatakan bahawa Pas dan Bersatu Terengganu telah membentuk kerjasama baik dalam agihan kerusi Parlimen yang akan ditandingi PN di Terengganu.
NAMPAKNYA Ismail Sabri cuba menyalahkan Muhyiddin Yassin dan pemimpin PN di atas keputusan pembubaran Parlimen yang terpaksa dibuat dalam keadaan rakyat tidak setuju PRU-15 diadakan pada tahun ini.
Dengan alasan bahawa surat yang diutus oleh 12 menteri PN kepada Yang di-Pertuan Agong dan kenyataan Muhyiddin bahawa BN musuh PN sebagai penyebab ketidakstabilan kerajaan, pemimpin UMNO sebenarnya cuba mengalihkan tumpuan bahawa UMNO adalah punca sebenar ketidakstabilan politik dalam negara.
Jika kita imbas kembali semasa Muhyiddin cuba menyelamatkan negara daripada gelora pentadbiran setelah Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan, UMNO pada waktu itu tidak pula mendesak mandat dikembalikan kepada rakyat. Mereka yang dahulunya jatuh terduduk setelah dihukum rakyat diberi peluang menganggotai kerajaan PN dengan pemimpin yang bersih dan tidak terpalit dengan kes rasuah diberi jawatan-jawatan penting dalam kerajaan.
Setelah Muhyiddin bersusah payah melakukan pelbagai usaha menyelamatkan ekonomi dan nyawa rakyat negara ini daripada Covid-19, UMNO mula buat onar mensabotaj kerajaan dengan pelbagai serangan. Mereka yang sepatutnya bersama-sama membawa Malaysia pulih daripada Covid-19, melakukan pelbagai gerakan untuk mewujudkan persepsi kerajaan PN gagal mentadbir negara.
Sedangkan di mana-mana negara di dunia ini pada waktu itu, waima kerajaan yang stabil sekalipun masih tidak berjaya secara total untuk mengimbangi misi menyelamat nyawa dan pemulihan ekonomi impak daripada pandemik. Apa yang UMNO tahu hanya mahu mengembalikan kuasa kepada mereka dan tanpa memikirkan rakyat telah menarik sokongan hingga Muhyiddin terpaksa meletakkan jawatan.
Setelah PM dipilih daripada pemimpin parti mereka, sikap mereka yang kemaruk kuasa tidak dapat disorok lagi apabila mengkucar-kacirkan pentadbiran negeri-negeri pula. Mereka melakukan pelbagai strategi mendesak pilihan raya negeri hingga akhirnya matlamat untuk kembali berkuasa secara penuh tercapai.
Tidak habis di situ, mereka berteriak sakan mendesak berulang kali agar Parlimen dibubarkan dengan mencipta pelbagai alasan tidak munasabah sedangkan mandat kerajaan ketika ini tinggal beberapa bulan sahaja lagi untuk tamat dengan sendirinya. Presiden mereka, Ahmad Zahid Hamidi tidak henti-henti meratib supaya Parlimen dibubarkan walaupun keadaan cuaca sebenarnya tidak mengizinkan untuk negara fokus kepada proses pembuangan undi.
Jadi, siapakah sebenarnya punca ketidakstabilan politik dalam negara? Siapa yang tamakkan kuasa sedangkan kerajaan UMNO yang berkuasa sebelum Parlimen dibubarkan? Walau apa pun alasan dicipta, walau apapun tindakan menyalahkan orang lain dibuat, ia tidak akan dapat mengetepikan fakta bahawa UMNO lah punca kepada segala masalah dalam negara ketika ini.
Penulis sendiri telah meninjau reaksi awam dalam media-media sosial dan rata-ratanya mengakui ketidakstabilan politik dalam negara semuanya berpunca daripada pemimpin UMNO dan bukan parti-parti lain.
Jadi, oleh kerana tarikh mengundi pun akan ditetapkan tidak lama lagi, maka kita semua bertanggungjawab untuk memberi pengajaran berharga buat pemimpin UMNO. Mereka perlu dihukum atas sikap penting diri dan tidak memikirkan kepayahan rakyat yang sedang bergelut dengan pelbagai cabaran ekonomi ketika ini.
Kita semua perlu menyatakan bantahan di peti undi untuk menolak UMNO dan BN agar mereka terus jatuh dan tidak boleh lagi bangkit selepas ini. Mereka tidak wajar diberikan peluang kerana sejarah telah membuktikan bahawa UMNO adalah parti yang tidak mengenang jasa dan menikam orang yang membantunya daripada belakang.
Apabila mereka jatuh, mereka akan meminta pertolongan parti lain dan setelah dapat bangkit mereka kembali kepada sikap asal tamakkan kuasa. Lihatlah apa yang telah UMNO lakukan terhadap Pas dalam Muafakat Nasional.
Semua yang berlaku akan diingat sampai bila-bila dan tidak mudah untuk memadamkan sejarah perilaku UMNO itu.
HARI ini (semalam) 8 Oktober 2022, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang (TGHH) membuat kenyataan bahawa Pas akan meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan komitmen ketiga-tiga parti teras Melayu, iaitu Pas, BERSATU dan UMNO bagi menghadapi PRU-15.
Secara peribadi saya melihat kenyataan TGHH ini adalah konsisten dengan pendirian PAS sejak dari awal penubuhan kerajaan Perikatan Nasional yang mahukan ketiga-tiga parti ini bergabung dalam Muafakat Nasional (MN).
Mari saya ceritakan sedikit fakta sejarah berkenaan usaha untuk menggabungkan ketiga-tiga parti ini dalam MN.
Pada 13 Ogos 2020, TGHH bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (DSAZ), telah menulis sepucuk surat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) menjemput BERSATU untuk menyertai MN.
Jemputan ini telah dibincangkan dalam Mesyarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dan atas kesedaran untuk menjayakan penyatuan ummah, keputusan telah dibuat untuk BERSATU menerima jemputan ini.
Seterusnya, TSMY menerusi sepucuk surat kepada TGHH dan DSAZ bertarikh 18 Ogos 2020 telah menyampaikan keputusan BERSATU bersetuju menyertai MN. Tetapi kemudiannya tiada jawapan balas diterima mengenai penyertaan BERSATU dalam MN. Tiada mesyuarat dipanggil untuk mengesahkannya.
Sebaliknya, pemimpin UMNO hampir setiap hari menghentam BERSATU. Tangan persaudaraan dihulur, tetapi pada masa yang sama sepak terajang politik diteruskan.
Kemuncaknya, UMNO membuat ketetapan di dalam Perhimpunan Agungnya pada bulan Mac 2021 untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU dalam PRU-15. Perhimpunan Agung adalah badan tertinggi yang membuat keputusan bagi parti UMNO. Keputusan ini mengikat UMNO dan sehingga kini keputusan tersebut tidak berubah.
Maka, bolehlah dianggap UMNO akan memerangi BERSATU habis-habisan dalam PRU-15. Apabila TSMY menyatakan UMNO/BN adalah ‘musuh utama’ BERSATU dalam PRU-15, inilah sebabnya.
Bagaimana pula dengan usaha PAS untuk mewujudkan penyatuan ummah? Ya, itu juga dasar parti PAS yang diputuskan di dalam muktamarnya. Dasar yang diputuskan oleh PAS ini mesti dihormati. Adakah pendirian PAS ini akan menyebabkan hubungan antara BERSATU dan PAS renggang?
Berdasarkan pemerhatian peribadi saya setakat ini, TIDAK. Mengapa saya kata begitu? Kedua-kedua pucuk pimpinan BERSATU dan PAS, iaitu TSMY dan TGHH bersefahaman dalam hal ini.
Saya hadir dalam hampir setiap pertemuan antara mereka berdua dan saya dapati kedua-duanya sentiasa bersikap berterus terang. Tiada apa perkara penting yang melibatkan hubungan kedua-dua parti diselindungkan.
Malah, jika ada perundingan dengan parti-parti di luar PN yang dibuat sama ada oleh TSMY atau TGHH, kedua-dua mereka sentiasa saling melaporkan hasil pertemuan itu. Jadi tidak ada syak wasangka antara kedua-duanya.
Jadi, jika ada pihak yang ingin melihat BERSATU dan PAS berpecah disebabkan isu rundingan antara PAS dan UMNO ini, lupakan sajalah. Hadapi PRU-15 secara ‘gentlemen’ atas semangat dan prinsip demokrasi.
Saya yakin BERSATU dan PAS matang dalam menilai apa yang baik untuk rakyat dan negara ini, dan rakyat juga bijak menilai apa yang baik untuk mereka, insyaAllah.
*Datuk Dr Marzuki Mohamad adalah bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Ke-8
INSTITUT Masa Depan Malaysia (MASA) menggesa Kerajaan membangunkan ekonomi bernilai tinggi bagi menyelesaikan isu ketidaksamaan ekonomi antara kaum.
Impak pandemik COVID-19 terhadap pendapatan isi rumah telah menjejaskan struktur kumpulan isi rumah, meningkatkan kadar kemiskinan dan meluaskan jurang ketidaksamaan. Tidak dinafikan kumpulan B40, terutamanya golongan miskin dan rentan yang merupakan golongan paling terjejas.
Majoriti pendapatan isi rumah mengalami kemerosotan, kebanyakannya yang berada dalam kumpulan isi rumah berpendapatan tinggi, telah beralih ke kumpulan isi rumah berpendapatan rendah – 20 peratus isi rumah M40 berpendapatan antara RM4,850 hingga RM10,959 telah jatuh kepada kumpulan B40.
Data tahun 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa kumpulan isi rumah B40 mengalami penyusutan lebih besar kepada 15.9 peratus dalam agihan pendapatan.
Isu ini penting untuk diambil perhatian kerana kumpulan Bumiputera merupakan kelompok besar daripada kumpulan B40.
Program-program yang bertujuan menyediakan peluang sosio ekonomi dan memudahkan peningkatkan mobiliti untuk Bumiputera telah dirangka sejak pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971.
Perkembangannya dapat dilihat melalui penubuhan organisasi dan institusi berteraskan Bumiputera, seperti Unit Peneraju Bumiputera (TERAJU) dan pengenalan skim-skim seperti program Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETR). Namun, langkah-langkah ini masih dilihat belum membuahkan hasil.
Negeri-negeri yang mempunyai penduduk Bumiputera yang tinggi (Sabah, Sarawak, Kelantan dan Kedah) mencatatkan insiden kemiskinan tertinggi akibat ketidaksamaan dan pembangunan yang tidak seimbang dari sudut kekayaan, pendapatan, pendidikan dan infrastruktur.
Negeri-negeri ini mendahului peratusan isi rumah berpendapatan di bawah RM7,000. Prestasi ekonomi Sabah dan Sarawak sepanjang lima tahun lepas juga lebih rendah daripada purata negara iaitu 2.7 peratus setahun.
Bumiputera yang mendapat pendidikan lepas menengah merupakan penyumbang terbesar kadar pengangguran berbanding kumpulan etnik lain. Kadar penyertaan tenaga buruh bagi bukan Bumiputera adalah lebih tinggi berbanding Bumiputera dan kumpulan etnik lain di Malaysia iaitu sebanyak 65.8 peratus.
Kerajaan perlu menggariskan hala tuju dan objektif yang jelas dalam membantu golongan Bumiputera, terutamanya mereka yang tergolong di bawah isi rumah berpendapatan penengah.
Sehingga kini, masih belum wujud sebarang pelan strategik berdasarkan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri berhubung Pelan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030).
Pelaksanaan tindakan susulan TPB2030 perlu dimaklumkan kepada umum bagi memastikan ketelusan dan keterangkuman. Pelaksanaan pelan tindakan tersebut hendaklah berasaskan keperluan, dengan tumpuan untuk membangunkan Bumiputera B40 untuk membina daya tahan terhadap sebarang cabaran ekonomi yang mendatang.
Pada peringkat mikro, Kerajaan harus mengutamakan asas modal yang diperlukan oleh usahawan untuk menaiktaraf Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri yang kurang membangun. Ini boleh dilakukan menerusi beberapa langkah dan insentif melalui pemindahan tunai langsung kepada pengusaha perniagaan.
Langkah ini akan menambahbaik ekosistem perniagaan dan menyediakan akses kepada pasaran negara bagi mewujudkan penawaran pekerjaan bergaji tinggi, serta meneroka konsep wakaf bagi mempelbagai sumber kewangan untuk membiayai perniagaan dan meningkatkan ekuiti Bumiputera.
Kerajaan juga harus memanfaatkan sains data untuk memantau kemajuan dan keluaran PKS Bumiputera melalui pembangunan pangkalan data berpusat berasaskan industri.
Natijahnya, isu birokrasi dan pentadbiran mesti dikurangkan bagi mempercepat pemberian bantuan perniagaan dan meminimumkan ketirisan akibat amalan rasuah. Aspek perundangan pelaksanaan tender terbuka juga perlu dipertimbang untuk memastikan ketelusan dalam pembidaan kompetitif terbuka untuk usahawan Bumiputera.
*Azril Mohd Amin adalah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia
KETIKA ini pelbagai bentuk pra sekolah atau taman didikan kanak-kanak (TADIKA) wujud di negara ini. Ada bertaraf ‘sekolah antarabangsa’, namun Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) yang diseliakan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) tetapi menjadi pilihan utama.
Memandangkan dari semasa ke semasa, bidang pendidikan terus mengalami evolusi bersesuaian dengan perkembangan semasa, TABIKA KEMAS juga harus bergerak seiring dengan perubahan.
Sebagai bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid amat memahami tidak kira di peringkat mana sekalipun, penekanan dalam bidang pendidikan amat penting. Justeru itulah salah satu usaha yang beliau lakukan apabila menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar ialah berusaha sebaik mungkin menaikkan imej dan memantapkan TABIKA KEMAS.
Melihat apa yang diberikan penekanan oleh Mahdzir, ternyata ia boleh dianggap usaha mahu mengubah imej TABIKA KEMAS supaya setanding dengan taman bimbingan atau Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) lain.
Atas sebab itulah pada 30 Oktober tahun lalu, Mahdzir mengumumkan KEMAS akan melaksanakan Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak TABIKA KEMAS tahun ini dalam usaha memberi pendedahan awal dan membantu golongan itu menguasai kemahiran digital.
Kata Mahdzir ketika itu, ia akan menjadi aspirasi pembangunan bakat digital kanak-kanak di TABIKA KEMAS dan jabatan itu telah menyiapkan pelan tersebut yang dijangka memberi manfaat kepada hampir 200,000 kanak-kanak.
“Saya punya kehendak adalah supaya kita mulakan dulu (pelan transformasi itu), berapa banyak (Tabika Kemas) tak kisah, jadi sekurang-kurangnya kita dah mula.
“Kita mahu supaya kanak-kanak yang datang belajar di TABIKA KEMAS akan merasai pengalaman yang menyeronokkan dalam melalui proses pembelajaran berteraskan Literasi Digital kerana ini penting untuk memberi pendedahan dari awal agar kanak-kanak ini berkemahiran digital bagi memenuhi keperluan era digital masa hadapan,” katanya.
Bagi mencapai usaha, pelan yang dirancang merangkumi beberapa strategi antaranya memperluas pembekalan peralatan seperti TV pintar, komputer dan akses Internet bagi mewujudkan persekitaran digital di Tabika Kemas.
Ia juga akan memperkasa pembangunan kandungan bahan pengajaran serta pembelajaran digital melalui kerjasama strategik bersama pelbagai pihak antaranya Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Kementerian Pendidikan.
Pada 26 September lalu, Mahdzir membuktikan kesungguhan beliau dan KPLB apabila Memberitahu kementerian itu akan memohon peruntukan menerusi Bajet 2023 bagi menjadikan TABIKA KEMAS sebagai kelas pintar.
KPLB merancang sekurang-kurangnya 10 peratus daripada 11,000 buah Tabika KEMAS dilengkapi peralatan digital.
“Insya Allah kita fight juga bajet (Bajet 2023) untuk KEMAS bagi memulakan sekolah di bilik KEMAS ini dengan dipanggil ‘smart classroom’ dengan sekurang-kurangnya dimulakan dengan 800 kelas pintar,’’ katanya.
Apa yang dilakukan oleh Mahdzir dan KPLB amat tepat sekali kerana elemen pendigitalan dalam pendidikan awal kanak-kanak amat penting ketika ini dan tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada cara pengajaran lama.
Bagi memastikan guru TABIKA KEMAS berkemampuan mengendalikan pengajaran dan pembelajaran digital, Mahdzir berkata mereka akan diberi latihan antaranya kursus anjuran Kemas dengan kerjasama MDEC bagi meningkatkan kemahiran digital masing-masing.
Sebelum ini beliau sudah mengumumkan sebanyak RM1 juta diperuntuk bagi tujuan latihan dan pembekalan peralatan digital kepada hampir 10,416 Pendidik Masyarakat TABIKA KEMAS dan 10,833 kelas taman bimbingan kanak-kanak itu di seluruh negara.
Namun begitu biarpun TABIKA KEMAS akan ke arah pembelajaran digital, Mahdzir menasihatkan ibu bapa tidak perlu risau kerana yuran pembelajaran atau sumbangan daripada ibu bapa bagi TABIKA KEMAS tidak akan dinaikkan sebaliknya ia kekal dan tidak melebihi RM30 sebulan. Selebihnya adalah ditanggung oleh kerajaan melalui subsidi sebanyak RM20 juta setahun.
Selain pembelajaran digital, KEMAS turut akan memperuntukkan RM1 juta bagi melaksanakan program Pintar Botani melibatkan 500 buah TABIKA KEMAS di seluruh negara mulai tahun depan.
Modul Pintar Botani itu adalah aktiviti luar bilik darjah yang menerapkan aspek Sains dan Teknologi serta Amalan Gaya Hidup Sihat melalui makanan seimbang dan berkhasiat.
“Program ini adalah aktiviti mengindahkan persekitaran TABIKA KEMAS dengan mendidik kanak-kanak menanam pokok sayur-sayuran serta buah-buahan dan hasil tuaiannya boleh dimasukkan dalam menu makanan di TABIKA KEMAS yang disediakan oleh pembantu Pemaju Masyarakat Sukarelawan.
‘’Ini sekaligus menjadi usaha KEMAS untuk memastikan kanak-kanak mendapat zat makanan yang seimbang agar tahap kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak yang lebih baik selain mereka mendapat pengalaman yang menyeronokkan sepanjang belajar di TABIKA KEMAS,” kata Mahdzir, kelmarin.
Apa yang akan dilakukan oleh KEMAS itu menepati pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, ia memandangkan seperti mana kata Mahdzir aktiviti di luar bilik darjah menerusi Modul Pintar Botani itu juga akan membantu pembentukan pemikiran kreatif dan sifat bekerjasama dalam kalangan kanak-kanak.
“Program Pintar Botani ini bukan sahaja dapat mengoptimumkan tanah dan menceriakan kawasan TABIKA malah menjadikan persekitaran TABIKA KEMAS lebih menarik dengan penyediaan landskap serta tumbuhan hijau seperti sayur-sayuran dan pokok buah-buahan yang akan ditanam,’’ katanya.
Ternyata biarpun KPLB mempunyai pelbagai agensi lain namun perkembangan pendidikan sentiasa di hati Mahdzir dan kini ia sudah terbukti melalui pelbagai usaha yang beliau lakukan bagi meningkatkan taraf dan imej TABIKA KEMAS.
INSTITUSI Masa Depan Malaysia (MASA) mengesyorkan agar kerajaan meneliti dua bidang fokus khusus dalam Bajet 2023 iaitu konsolidasi fiskal dan memperkukuh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Sehingga Jun 2022, hutang negara dilaporkan mencecah RM1.045 trilion, manakala pembayaran perkhidmatan hutang Kerajaan Persekutuan pula mencecah RM43.1 bilion, atau bersamaan 18.4% daripada hasil pendapatan negara.
Dalam pada itu, sebanyak RM19.8 bilion telah dibelanjakan untuk pembayaran semula kadar faedah hutang sedia ada menjelang akhir Jun 2022. Malaysia memerlukan kedudukan fiskal yang lebih kukuh dengan mengambil kira ketidaktentuan pasaran ekonomi global. Perbelanjaan operasi Malaysia terdiri daripada emolumen merangkumi hampir 37% manakala caj persaraan sebanyak 12% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
Azril Mohd Amin
Dalam hal ini, langkah utama yang wajar dipertimbangkan adalah mengurangkan perbelanjaan kerajaan. Sehubungan itu, kerajaan perlu meneliti pendekatan alternatif bagi menguruskan aliran tunai secara sistematik serta mengurangkan bebanan perbelanjaan lebihan terhadap projek yang kurang memanfaatkan rakyat sebaliknya meletakkan fokus utama kepada taraf kehidupan dan kesejahteraan masyarakat, berbanding pembinaan jalan raya atau pencakar langit.
Kerajaan juga perlu merangka strategi penjanaan pendapatan yang baharu dengan menumpukan kepada peningkatan produktiviti nasional.
Mengambil kira nilai percukaian meliputi hampir 73.2% daripada jumlah hasil pendapatan, sumber pendapatan baharu harus diteroka termasuk memanfaatkan potensi bidang ekonomi digital dan automasi dalam meningkatkan daya saing dan produktiviti negara.
Sebagai pendekatan jangka pendek, sebuah mekanisme percukaian iaitu melebarkan jurang cukai bagi T5 dan T10 dalam kalangan syarikat atau individu berpendapatan tinggi harus dilaksanakan. Kerajaan wajar memanfaatkan peluang ini untuk menjana semula cukai yang hilang akibat pendapatan yang tidak dilaporkan.
Bagi penyelesaian tempoh jangka panjang, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif dari segi reformasi penjanaan pendapatan serta mengharmonikan dasar fiskal demi memastikan konsolidasi kewangan secara lebih teratur.
Selain itu, sektor PMKS juga perlu diberi keutamaan yang bukan sahaja meliputi 97.4% daripada jumlah pertubuhan di Malaysia pada 2021, tetapi juga menyumbang 37.4% daripada KDNK. Sektor ini telah menjadi tunjang ekonomi negara termasuk memberi sumbangan sebanyak 11.7% kepada eksport dan 47.8% dalam sektor pekerjaan.
Tidak dinafikan, PMKS merupakan antara segmen yang paling terkesan akibat COVID-19. Banyak perniagaan kecil dan sederhana masih berdepan situasimencabar dalam fasa pemulihan pasca pandemik di sebalik tekanan ekonomi global seperti peningkatan inflasi, kenaikan kadar faedah, penyusutan nilai ringgit dan kekurangan pekerja asing.
Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak tiga kali turut menjejaskan momentum pemulihan ekonomi negara. Justeru, isu yang dihadapi oleh sektor PMKS perlu ditangani segera dan secara tuntas dalam Bajet 2023, melalui penyelesaian jangka pendek serta panjang yang berimpak tinggi demi menjamin kelangsungan PMKS.
Institusi perbankan harus membenarkan kelonggaran dari segi pembayaran balik serta penstrukturan semula pinjaman. Dengan mengambil kira syor yang dikemukakan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN), moratorium yang spesifik perlu disediakan kepada para peniaga yang terkesan pasca COVID-19.
Pada masa sama, proses pengambilan pekerja asing juga harus dipercepatkan melalui penggunaan teknologi dengan memperkukuh aspek digitalisasi. Koordinasi serta pemantauan antara agensi dan kementerian berkaitan adalah penting dalam menghadapi sebarang situasi permintaan pasaran tenaga buruh asing supaya proses pengambilan tenaga buruh asing adalah lebih cekap dan telus.
Bajet 2023 juga memberi penekanan terhadap pemberian insentif transformasi digital kepada PMKS. Pendekatan yang diambil oleh negara Jepun, Korea Selatan dan Thailand boleh dijadikan sebagai penanda aras ke arah mencapai negara yang berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Bagi membina PMKS yang berdaya saing dan kalis cabaran, penstrukturan semula perniagaan dan transformasi digital adalah penting. Ini termasuk pembangunan aplikasi teknologi digital seperti pembayaran maya, e-dagang, aplikasi berasaskan awan dalam kalangan PMKS yang perlu diteroka secara menyeluruh oleh agensi dan kementerian berkaitan.
*Azril Mohd Amin adalah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA)