Oleh: AZRIL MOHD AMIN

INSTITUT Masa Depan Malaysia (MASA) menggesa Kerajaan membangunkan ekonomi bernilai tinggi bagi menyelesaikan isu ketidaksamaan ekonomi antara kaum.

Impak pandemik COVID-19 terhadap pendapatan isi rumah telah menjejaskan struktur kumpulan isi rumah, meningkatkan kadar kemiskinan dan meluaskan jurang ketidaksamaan. Tidak dinafikan kumpulan B40, terutamanya golongan miskin dan rentan yang merupakan golongan paling terjejas.

Majoriti pendapatan isi rumah mengalami kemerosotan, kebanyakannya yang berada dalam kumpulan isi rumah berpendapatan tinggi, telah beralih ke kumpulan isi rumah berpendapatan rendah – 20 peratus isi rumah M40 berpendapatan antara RM4,850 hingga RM10,959 telah jatuh kepada kumpulan B40.

Data tahun 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa kumpulan isi rumah B40 mengalami penyusutan lebih besar kepada 15.9 peratus dalam agihan pendapatan.

Isu ini penting untuk diambil perhatian kerana kumpulan Bumiputera merupakan kelompok besar daripada kumpulan B40.

Program-program yang bertujuan menyediakan peluang sosio ekonomi dan memudahkan peningkatkan mobiliti untuk Bumiputera telah dirangka sejak pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971.

Perkembangannya dapat dilihat melalui penubuhan organisasi dan institusi berteraskan Bumiputera, seperti Unit Peneraju Bumiputera (TERAJU) dan pengenalan skim-skim seperti program Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETR). Namun, langkah-langkah ini masih dilihat belum membuahkan hasil.

Negeri-negeri yang mempunyai penduduk Bumiputera yang tinggi (Sabah, Sarawak, Kelantan dan Kedah) mencatatkan insiden kemiskinan tertinggi akibat ketidaksamaan dan pembangunan yang tidak seimbang dari sudut kekayaan, pendapatan, pendidikan dan infrastruktur.

Negeri-negeri ini mendahului peratusan isi rumah berpendapatan di bawah RM7,000. Prestasi ekonomi Sabah dan Sarawak sepanjang lima tahun lepas juga lebih rendah daripada purata negara iaitu 2.7 peratus setahun.

Bumiputera yang mendapat pendidikan lepas menengah merupakan penyumbang terbesar kadar pengangguran berbanding kumpulan etnik lain. Kadar penyertaan tenaga buruh bagi bukan Bumiputera adalah lebih tinggi berbanding Bumiputera dan kumpulan etnik lain di Malaysia iaitu sebanyak 65.8 peratus.

Kerajaan perlu menggariskan hala tuju dan objektif yang jelas dalam membantu golongan Bumiputera, terutamanya mereka yang tergolong di bawah isi rumah berpendapatan penengah.

Sehingga kini, masih belum wujud sebarang pelan strategik berdasarkan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri berhubung Pelan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030).

Pelaksanaan tindakan susulan TPB2030 perlu dimaklumkan kepada umum bagi memastikan ketelusan dan keterangkuman. Pelaksanaan pelan tindakan tersebut hendaklah berasaskan keperluan, dengan tumpuan untuk membangunkan Bumiputera B40 untuk membina daya tahan terhadap sebarang cabaran ekonomi yang mendatang.

Pada peringkat mikro, Kerajaan harus mengutamakan asas modal yang diperlukan oleh usahawan untuk menaiktaraf Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri yang kurang membangun. Ini boleh dilakukan menerusi beberapa langkah dan insentif melalui pemindahan tunai langsung kepada pengusaha perniagaan.

Langkah ini akan menambahbaik ekosistem perniagaan dan menyediakan akses kepada pasaran negara bagi mewujudkan penawaran pekerjaan bergaji tinggi, serta meneroka konsep wakaf bagi mempelbagai sumber kewangan untuk membiayai perniagaan dan meningkatkan ekuiti Bumiputera.

Kerajaan juga harus memanfaatkan sains data untuk memantau kemajuan dan keluaran PKS Bumiputera melalui pembangunan pangkalan data berpusat berasaskan industri.

Natijahnya, isu birokrasi dan pentadbiran mesti dikurangkan bagi mempercepat pemberian bantuan perniagaan dan meminimumkan ketirisan akibat amalan rasuah. Aspek perundangan pelaksanaan tender terbuka juga perlu dipertimbang untuk memastikan ketelusan dalam pembidaan kompetitif terbuka untuk usahawan Bumiputera.

*Azril Mohd Amin adalah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here