Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

NAMPAKNYA Ismail Sabri cuba menyalahkan Muhyiddin Yassin dan pemimpin PN di atas keputusan pembubaran Parlimen yang terpaksa dibuat dalam keadaan rakyat tidak setuju PRU-15 diadakan pada tahun ini.

Dengan  alasan bahawa surat yang diutus oleh 12 menteri PN kepada Yang di-Pertuan Agong dan kenyataan Muhyiddin bahawa BN musuh PN sebagai penyebab ketidakstabilan kerajaan, pemimpin UMNO sebenarnya cuba mengalihkan tumpuan bahawa UMNO adalah punca sebenar ketidakstabilan politik dalam negara.

Jika kita imbas kembali semasa Muhyiddin cuba menyelamatkan negara daripada gelora pentadbiran setelah Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan, UMNO pada waktu itu tidak pula mendesak mandat dikembalikan kepada rakyat. Mereka yang dahulunya jatuh terduduk setelah dihukum rakyat diberi peluang menganggotai kerajaan PN dengan pemimpin yang bersih dan tidak terpalit dengan kes rasuah diberi jawatan-jawatan penting dalam kerajaan.

Setelah Muhyiddin bersusah payah melakukan pelbagai usaha menyelamatkan ekonomi dan nyawa rakyat negara ini daripada Covid-19, UMNO mula buat onar mensabotaj kerajaan dengan pelbagai serangan. Mereka yang sepatutnya bersama-sama membawa Malaysia pulih daripada Covid-19, melakukan pelbagai gerakan untuk mewujudkan persepsi kerajaan PN gagal mentadbir negara.

Sedangkan di mana-mana negara di dunia ini pada waktu itu, waima kerajaan yang stabil sekalipun masih tidak berjaya secara total untuk mengimbangi misi menyelamat nyawa dan pemulihan ekonomi impak daripada pandemik. Apa yang UMNO tahu hanya mahu mengembalikan kuasa kepada mereka dan tanpa memikirkan rakyat telah menarik sokongan hingga Muhyiddin terpaksa meletakkan jawatan.

Setelah PM dipilih daripada pemimpin parti mereka, sikap mereka yang kemaruk kuasa tidak dapat disorok lagi apabila mengkucar-kacirkan pentadbiran negeri-negeri pula. Mereka melakukan pelbagai strategi mendesak pilihan raya negeri hingga akhirnya matlamat untuk kembali berkuasa secara penuh tercapai.

Tidak habis di situ, mereka berteriak sakan mendesak berulang kali agar Parlimen dibubarkan dengan mencipta pelbagai alasan tidak munasabah sedangkan mandat kerajaan ketika ini tinggal beberapa bulan sahaja lagi untuk tamat dengan sendirinya. Presiden mereka, Ahmad Zahid Hamidi tidak henti-henti meratib supaya Parlimen dibubarkan walaupun keadaan cuaca sebenarnya tidak mengizinkan untuk negara fokus kepada proses pembuangan undi.

Jadi, siapakah sebenarnya punca ketidakstabilan politik dalam negara? Siapa yang tamakkan kuasa sedangkan kerajaan UMNO yang berkuasa sebelum Parlimen dibubarkan? Walau apa pun alasan dicipta, walau apapun tindakan menyalahkan orang lain dibuat, ia tidak akan dapat mengetepikan fakta bahawa UMNO lah punca kepada segala masalah dalam negara ketika ini.

Penulis sendiri telah meninjau reaksi awam dalam media-media sosial dan rata-ratanya mengakui ketidakstabilan politik dalam negara semuanya berpunca daripada pemimpin UMNO dan bukan parti-parti lain.

Jadi, oleh kerana tarikh mengundi pun akan ditetapkan tidak lama lagi, maka kita semua bertanggungjawab untuk memberi pengajaran berharga buat pemimpin UMNO. Mereka perlu dihukum atas sikap penting diri dan tidak memikirkan kepayahan rakyat yang sedang bergelut dengan pelbagai cabaran ekonomi ketika ini.

Kita semua perlu menyatakan bantahan di peti undi untuk menolak UMNO dan BN agar mereka terus jatuh dan tidak boleh lagi bangkit selepas ini. Mereka tidak wajar diberikan peluang kerana sejarah telah membuktikan bahawa UMNO adalah parti yang tidak mengenang jasa dan menikam orang yang membantunya daripada belakang.

Apabila mereka jatuh, mereka akan meminta pertolongan parti lain dan setelah dapat bangkit mereka kembali kepada sikap asal tamakkan kuasa. Lihatlah apa yang telah UMNO lakukan terhadap Pas dalam Muafakat Nasional.

Semua yang berlaku akan diingat sampai bila-bila dan tidak mudah untuk memadamkan sejarah perilaku UMNO itu.

*Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here