guane

KEPUTUSAN Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris untuk tidak bertanding kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini dianggap sebagai tindakan tepat.

Ini kerana, Razali yang berasal dari Kampung Rhu Muda Marang, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dikatakan tidak mempunyai kerusi yang sesuai apatah lagi parti itu hanya dihadkan satu kerusi Parlimen sahaja oleh Pas untuk ditandingi kali ini.

Tujuh lagi kerusi Parlimen dikhaskan untuk calon Pas.

Sebelum ini Razali yang juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pernah beberapa kali memberitahu kepada penulis  beliau tidak kisah sekiranya tidak terpilih sebagai calon dalam PRU-15 kali ini.

Apa yang penting katanya ialah perjuangan dirinya untuk parti sekaligus untuk memastikan kemenangan besar Perikatan Nasional (PN) dalam PRU-15.

Bagi penulis, keputusan diambil Razali merupakan satu pengorbanan besar dirinya bagi memberi peluang  kepada calon lain lebih layak untuk bertanding.

Justeru, beliau akan memberi tumpuan kepada tugas sebagai Senator yang masih berbaki lebih dua tahun lagi disamping terus memberi sokongan kepada semua calon-calon PN yang bakal bertanding di Terengganu.

Pada PRU-14 tahun 2018 lalu, Razali yang mewakili calon Bersatu-Pakatan Harapan (PH) bertanding di kerusi Parlimen Hulu Terengganu tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Rosol Wahid.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Razali mendapat 3,364 undi manakala Rosol memperoleh 30,925 undi.

Seorang lagi calon, Muhyidin Abdul Rashid yang mewakili parti Pas pula mendapat 28,057 undi.

Ketika itu penulis pernah bertanya Razali, kenapa bertanding di Hulu Terengganu, siapa ada di sana? Ada keluarga, pengikut atau rakan-rakan?

Apapun, penulis berasa kagum dengan pendekatan diambil Razali dan Bersatu Terengganu dalam beberapa perkara melibatkan hubungan dengan parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN), iaitu Pas, terutamanya mengenai agihan kerusi.

Bersatu yang berada dalam satu gabungan (PN) bersama parti Pas dan Gerakan tidak pernah menimbulkan sebarang isu berhubung agihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu.

Sebelum ini Razali dan Rosol pernah memaklumkan bahawa sasaran parti itu adalah untuk bertanding di dua kawasan parlimen 10 DUN dimenangi UMNO pada PRU-14 lalu.

Malah, ketika mesyuarat Bersatu Terengganu pada Sabtu lalu, parti itu memutuskan akan akur dengan keputusan dibuat PN, khususnya Pas, dan tidak akan membuat tuntutan bertanding di kerusi lain sekiranya diberi satu kerusi Parlimen sahaja dalam PRU-15 kali ini.

Malah, parti itu menyerahkan kepada PN bagi menentukan kerusi parlimen yang bakal ditandingi Bersatu walaupun sebelum ini mereka idamkan Parlimen Hulu Terengganu dan Besut.

Apa yang membanggakan, parti itu juga dikatakan tidak akan berkecil hati dengan setiap keputusan dibuat selepas ini.

Bagi penulis, itulah sifat terpuji Bersatu Terengganu dalam menjaga hubungan dan setiakawan ketika berhadapan cabaran lebih besar.

Terdahulu, pada Khamis lalu, Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman memaklumkan agihan kerusi Parlimen antara parti komponen PN Terengganu masih mengambil kira status quo iaitu mengekalkan kerusi-kerusi yang dimenangi pada  PRU-14 lalu.

Ini bermakna, daripada keseluruhan lapan kerusi Parlimen di negeri itu, secara asasnya tujuh kerusi didominasi Pas manakala hanya satu kerusi untuk Bersatu.

Malah, Ariffin memberitahu, pihaknya mengambil asas status quo iaitu tujuh kerusi Pas dan satu kerusi Bersatu di Parlimen Hulu Terengganu yang mana sebelum ini disandang Rosol yang bertanding atas tiket BN sebelum berhijrah ke parti Bersatu.

Namun, Ariffin percaya Bersatu akan ada tuntutan dan pihaknya menyerah keputusan kepada presiden-presiden parti bagi menentukan berapa kerusi yang akan ditandingi Bersatu dan Pas di Terengganu.

Bagaimanapun,  Ariffin menjelaskan setakat ini kerusi Parlimen Hulu Terengganu hampir pasti menjadi milik Bersatu manakala satu lagi kerusi yang disebut-sebut menjadi idaman Bersatu iaitu di Parlimen Besut masih belum diputuskan.

Pada masa sama Ariffin turut menyatakan bahawa Pas dan Bersatu Terengganu telah membentuk kerjasama baik  dalam agihan kerusi Parlimen yang akan ditandingi PN di Terengganu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here