Oleh MOHD. AZAM MOHD. ATAN

KETIKA ini kita dapat lihat pelbagai kaji selidik lapangan dilakukan untuk melihat tahap sokongan orang ramai terhadap sesuatu parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Hasil kajian itu hanya boleh diambil sebagai data sokongan dan tidak boleh dianggap sebagai keputusan keseluruhan kerana sampel yang diambil tidak menyeluruh.

Namun, seperti yang semua sedia maklum, kawasan luar bandar merupakan deposit tetap BN kerana pengundi di kawasan tersebut setia dengan parti yang telah lama mereka sokong.

Manakala di kawasan bandar, cukup sinonim dengan pengundi yang menolak BN dan mereka lebih selesa menyokong pembangkang.

Melihat kepada sentimen tersebut – dengan keadaan politik yang sudah berubah disebabkan beberapa perubahan yang telah berlaku kepada struktur parti politik di Malaysia, penulis juga telah melakukan beberapa tinjauan awam bagi mengetahui tahap sokongan rakyat pada ketika ini.

Daripada tinjauan yang dilakukan di kawasan kampung, penulis mendapati Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang yang agak baik untuk meraih sokongan rakyat pada kali ini.

Ia berdasarkan kepada beberapa sebab antaranya pengundi yang tidak suka kepada UMNO/BN disebabkan terpalit dengan isu rasuah dan penyelewengan mahu memberikan undi mereka kepada PN.

Mereka yang rata-ratanya pengundi Melayu Islam melihat PN adalah pilihan yang lebih baik berbanding memberikan sokongan kepada PH yang sudah diketahui dianggotai oleh DAP.

Pengundi luar bandar di kawasan kampung masih tetap dengan pendirian mereka tidak akan sesekali memberikan sokongan atau undi kepada DAP disebabkan agenda parti itu.

Walaupun dengan menampilkan calon-calon Melayu, DAP tidak mudah untuk mempengaruhi pemikiran atau sokongan pengundi di kawasan kampung.

Pengundi luar bandar juga melihat PN yang diterajui Muhyiddin Yassin mempunyai kelebihan dari segi kepimpinan Islam, ditambah pula dengan kekuatan keanggotaan oleh PAS.

Tinjauan di kawasan bandar pula yang melibatkan pengundi yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi pula mendapati pengundi lebih selesa dengan PN disebabkan rekod pentadbiran sebelum ini.

Walaupun kerajaan PN pimpinan Muhyiddin terpaksa mentadbir dalam keadaan dugaan yang datang dari pelbagai sudut, ia dapat diuruskan dengan seimbang dari sudut kesihatan dan ekonomi.

Ciri kepimpinan yang bersih, tidak songlap duit rakyat yang ditonjolkan juga memberikan perspektif baik dari kaca mata pengundi.

Sebahagian daripada penyokong Perikatan Nasional gembira selepas Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan cuti umum sekiranya parti itu memenangi pilihanraya umum ke-15 pada Majlis Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Bahkan apabila PN melancarkan manifesto baru-baru ini, beberapa janji yang ditawarkan kepada rakyat mendapat reaksi yang positif.

Tawaran yang tidak menjanjikan bulan bintang dan realistik untuk dilaksanakan dilihat mengutamakan kepentingan rakyat dan seiring dalam menghadapi kebimbangan kemelesetan ekonomi pada tahun depan.

Manifesto berkenaan juga menyebabkan parti lawan terkesan, salah satu contoh ialah Facebook Najib Razak yang tidak henti-henti membuat serangan terhadap keupayaan janji ditawarkan PN.

Walaupun ia dibuat dengan niat untuk memesongkan fakta, ia sebenarnya tidak dapat mengubah pendirian rakyat terutamanya mereka yang berada di kawasan bandar.

Misalnya mereka mempertikaikan keupayaan pentadbiran Muhyiddin sebelum ini seperti lockdown separuh masak tetapi di ruangan komen ia ditangkis oleh netizen yang tidak bersetuju dengan apa yang dinyatakan itu.

Kata mereka, walaupun pentadbiran Muhyiddin singkat dan tidak sempurna, ia adalah jauh lebih baik daripada pentadbiran BN terutamanya ketika Najib menjadi PM.

Tambah mereka lagi, Najib yang sudah dibuktikan bersalah kerana penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta dan sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta sepatutnya ‘duduk diam-diam saja’ di dalam penjara.

Gunakan ruang yang ada untuk muhasabah diri kerana penyelewengan yang dilakukan itu melibatkan jumlah yang amat besar.

Masa Najib sudah berlalu dan berikan peluang kepada orang lain untuk mentadbir negara ke arah yang lebih baik di bawah teraju PN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here