Oleh DATUK DR.MARZUKI MOHAMAD

HARI ini (semalam)  8 Oktober 2022, Presiden Pas Tan Sri  Abdul Hadi Awang (TGHH) membuat kenyataan bahawa Pas akan meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan komitmen ketiga-tiga parti teras Melayu, iaitu Pas, BERSATU dan UMNO bagi menghadapi PRU-15.

Secara peribadi saya melihat kenyataan TGHH ini adalah konsisten dengan pendirian PAS sejak dari awal penubuhan kerajaan Perikatan Nasional yang mahukan ketiga-tiga parti ini bergabung dalam Muafakat Nasional (MN).

Mari saya ceritakan sedikit fakta sejarah berkenaan usaha untuk menggabungkan ketiga-tiga parti ini dalam MN.

Pada 13 Ogos 2020, TGHH bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (DSAZ), telah menulis sepucuk surat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) menjemput BERSATU untuk menyertai MN.

 Jemputan ini telah dibincangkan dalam Mesyarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dan atas kesedaran untuk menjayakan penyatuan ummah, keputusan telah dibuat untuk BERSATU menerima jemputan ini.

Seterusnya, TSMY menerusi sepucuk surat kepada TGHH dan DSAZ bertarikh 18 Ogos 2020 telah menyampaikan keputusan BERSATU bersetuju menyertai MN. Tetapi kemudiannya tiada jawapan balas diterima mengenai penyertaan BERSATU dalam MN. Tiada mesyuarat dipanggil untuk mengesahkannya.

Sebaliknya, pemimpin UMNO hampir setiap hari menghentam BERSATU. Tangan persaudaraan dihulur, tetapi pada masa yang sama sepak terajang politik diteruskan.

Kemuncaknya, UMNO membuat ketetapan di dalam Perhimpunan Agungnya pada bulan Mac 2021 untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU dalam PRU-15. Perhimpunan Agung adalah badan tertinggi yang membuat keputusan bagi parti UMNO. Keputusan ini mengikat UMNO dan sehingga kini keputusan tersebut tidak berubah.

Maka, bolehlah dianggap UMNO akan memerangi BERSATU habis-habisan dalam PRU-15. Apabila TSMY menyatakan UMNO/BN adalah ‘musuh utama’ BERSATU dalam PRU-15, inilah sebabnya.

Bagaimana pula dengan usaha PAS untuk mewujudkan penyatuan ummah? Ya, itu juga dasar parti PAS yang diputuskan di dalam muktamarnya. Dasar yang diputuskan oleh PAS ini mesti dihormati. Adakah pendirian PAS ini akan menyebabkan hubungan antara BERSATU dan PAS renggang?

Berdasarkan pemerhatian peribadi saya setakat ini, TIDAK. Mengapa saya kata begitu? Kedua-kedua pucuk pimpinan BERSATU dan PAS, iaitu TSMY dan TGHH bersefahaman dalam hal ini.

Saya hadir dalam hampir setiap pertemuan antara mereka berdua dan saya dapati kedua-duanya sentiasa bersikap berterus terang. Tiada apa perkara penting yang melibatkan hubungan kedua-dua parti diselindungkan.

Malah, jika ada perundingan dengan parti-parti di luar PN yang dibuat sama ada oleh TSMY atau TGHH, kedua-dua mereka sentiasa saling melaporkan hasil pertemuan itu. Jadi tidak ada syak wasangka antara kedua-duanya.

Jadi, jika ada pihak yang ingin melihat BERSATU dan PAS berpecah disebabkan isu rundingan antara PAS dan UMNO ini, lupakan sajalah. Hadapi PRU-15 secara ‘gentlemen’ atas semangat dan prinsip demokrasi.

Saya yakin BERSATU dan PAS matang dalam menilai apa yang baik untuk rakyat dan negara ini, dan rakyat juga bijak menilai apa yang baik untuk mereka, insyaAllah.

*Datuk Dr Marzuki Mohamad adalah bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Ke-8

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here