Author: Admin

  • Apa yang Najib merepek ni…

    Apa yang Najib merepek ni…

    *Masuk saja akaun kerajaan..tu duit rakyat

    TT tak tahu apa ada dalam kepala Najib Razak bila beliau kata, tiada satu senpun wang rakyat digunakan oleh kerajaan untuk bayar balik jumlah hutang pokok 1MDB. Bekas PM yang selalu bijak sangat bercakap pasal ekonomi dan kewangan juga kata kerajaan masih belum bayar sebarang hutang principal 1MDB.

    Tak sampai beberapa jam, pakar ekonomi pun bidas Najib, mereka kata apa ‘boss kau’ cakap itu tak betul, macam tu juga Tengku Zafrul Tengku Aziz yang kata, hutang 1MDB dah ‘start’ bayar. Jadi macam mana Najib kata belum bayar, Najib dapat maklumat mana?

    Tak kiralah macam manapun yang penting bila hutang kerajaan kena bayar, tu duit rakyat…macam Muhyiddin Yassin cakap RM21 bilion tu banyak macam-macam boleh buat untuk rakyat. Kalau Najib tak cari bahana buka 1MDB, Jho Low pun tak wujud, Malaysia pun tak malu satu dunia, kerajaan pun tak payah nak tanggung hutang berbilion-bilion ringgit.

    Kalau Najib kata bukan duit rakyat, kerajaan cari duit mana? 1MDB tubuh dulu guna duit mana? Tak kira macam mana pun asal duit, bila masuk dalam akaun kerajaan..itu duit rakyat.Kerajaan nak guna duit tu untuk rakyat…untuk bangunkan negara..bila bangunkan negara maknanya itu untuk rakyat, maka itu ‘duit rakyat’!

    Tak kan duit kerajaan hanya untuk guna bagi belanja kat pak-pak menteri atau kakitangan kerajaan, mestilah duit tu kena belanja untuk rakyat, nak buat macam-macam projek untuk rakyat. Tapi sekarang duit tu, ada yang kena bayar hutang 1MDB, tak pasal-pasal kerajaan terpaksa tanggung, sapa punya angkara? Najib la..

    Jadi Najib tak payah dok merepek sangat. Ingat pesan orang tua-tua, jangan cakap bohong takut lama-lama mencuri. Sekarang pun macam-macam Najib dah dapat gelaran..TT tak mau sebut..semua orang tau. TT percaya kalau orang biasa tak ada apa-apa nama atau jawatan, mereka  pasti malu kalau kena macam Najib.

    Tapi Najib macam Muhyiddin kata, tak tau malu…sebab dia tau ramai lagi dok sanjung dia. Apa saja dia cakap, ada orang terima…macam pasal bayar hutang tu la, walaupun Najib cakap tak masuk akal bila kata bukan duit rakyat tak ada sapa tanya ‘’habis duit datang dari mana…tak kan turun dari langit kot?’’

    Macam jugak duit cukai, tu bukan duit kerajaan…tu kutip daripada rakyat yang kena bayar cukai, lepas disalurkan semula untuk kegunaan rakyat dan negara. Jangan pula,  nanti Najib yang didakwa tak bayar cukai…nak cakap tu bukan duit rakyat jugak?

    *Bila BN Johor sebut integriti dalam ‘manifesto’

    TT tak pertikai niat BN Johor nak tubuh kerajaan negeri yang ada integriti. Perkataan ‘integriti’ tu pun dah lama TT tak dengar disebut oleh pemimpin-pemimpin BN, sejak ‘dua taiko besar’ parti itu kena dakwa di mahkamah.

    Apa yang TT tahu kat akar umbi waima dalam kalangan oran BN pun, mereka dah rasa rimas bila isu ‘kluster mahkamah’ mula jejas imej BN. Bila BN sebut ‘integriti’ ada yang senyum sinis..tambahan pula di Johor, BN bergantung sepenuhnya kepada ‘Kluster mahkamah’ untuk raih undi.

    Maknanya, kalau BN Johor menang, ‘kluster mahkamah’  dapat nama, bukan pemimpin lain. Macam tu juga imej UMNO sampai bila-bila pun tak boleh nak dibersihkan. Ni benda yang ahli-ahli UMNO kena faham. Betul lah yang tanding kat Johor…semua bersih tak ada rekod rasuah atau salahguna kuasa, tapi yang kuasai UMNO sekarang siapa?

    TT ada ramai jugak kawan-kawan dari Johor, bila tanya mereka pasal hal ni…dia orang tak tahu nak cakap apa? Jawapan yang selalu dia orang beri…’’Nak buat macam mana..dalam UMNO ramai pemimpin penakut’’.

    Kalau pemimpin UMNO penakut nak buat perubahan, rakyat la buat perubahan. Bangsa Johor kena tolak BN supaya ‘kluster mahkamah’ tidak terus kuat. Bangsa Johor kena tau, kalau BN menang yang dapat nama ‘kluster mahkamah’, bila media antarabangsa buat laporan, mereka akan sebut nama Johor dan nama pemimpin ‘kluster mahkamah’ – satu dunia akan tahu Bangsa Johor pilih parti ‘kluster mahkamah’.

    Tapi kalau BN kalah di Johor, ia dah pasti beri impak untuk UMNO buat perubahan dengan membersihkan parti itu daripada ‘kluster mahkamah’ sekaligus imej UMNO akan bersih seperti sebersihnya ia dilahirkan di Johor pada 1946. Kalau tak buat keputusan macam tu sampai bilapun…apabila sebut aje UMNO…orang akan ingat perangai buruk pemimpinya..tak kan itu yang penyokong BN/UMNO mau? ..jangan biarkan perkataan ‘integriti’ BN Johor jadi bahan jenaka…

    *Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 35 tahun dalam bidang kewartawanan.

  • Pembangunan modal insan tonik majukan Bukit Pasir – Nur Iqbal 

    Pembangunan modal insan tonik majukan Bukit Pasir – Nur Iqbal 

    BERBEZA dengan calon yang lain, Muhd. Nur Iqbal Abd Razak, 37, memilih untuk lebih fokus usaha menekankan pembangunan modal insan jika dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir, Johor. 

    Baginya, sebagai wakil parti Pas yang bertanding di atas tiket Perikatan Nasional (PN), pembangunan modal insan itu adalah asas utama untuk mencipta kejayaan lain dalam pelbagai sektor. 

    “Itulah keutaaman parti. Sudah tentu kita juga fokus kepada soal pembangunan serta isu utama di sini iaitu soal kemudahan asas,” katanya ketika ditemui SatuBerita. 

    Antaranya ialah membantu menyelesaikan masalah banjir kilat yang kerap melanda kawasan berkenaan dan masih gagal ditangani secara berkesan sehingga ke hari ini. 

    “Kawasan ini berada di pinggir bandar, dikelilingi kawasan bandar.  Sudah tentu kita mengharapkan limpahanya akan sampai ke sini dan penduduk mendapat manfaatnya.

    “Tetapi beberapa isu utama harus diselesaikan terlebih dahulu iaitu kemudahan asas dan pada masa sama, kita mahu membentuk pembangunan modal insan,” katanya yang memiliki Diploma Kejuruteraan Elektrik.

    Mengulas isu pembangunan ekonomi rakyat, Iqbal yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Kemasyarakatan Bukit Pasir serta ahli perniagaan berkata, PN akan lebih fokus kepada pendekatan bagaimana nak membantu anak mudah mendapatkan pekerjaan. 

    “Ramai antara mereka yang masih belum habis bekajar dan ada yang belum mendapat kerja.  Jadi, kita perlu bantu mereka membentuk ekonomi sendiri walaupun bukan dengan bekerja secara makan gaji,” katanya. 

    Ini kerana, katanya peluang menjana pendapatan di Bukit Pasir memang terbuka luas kerana terdapat banyak peluang untuk diteroka terutama dalam bidang pertanian dan penternakan. 

    Jika diberi peluang untuk dilantik sebagai ADUN, Iqbal mahu menarik lebih ramai generasi muda terbabit dalam kedua-dua sektor berkenaan bagi menjana pendapatan. 

    Katanya, ketika ini dianggarkan terdapat kira-kira 32,000 pengundi muda atau pengundi kali pertama di DUN Bukit Pasir yang perlu diberi perhatian dan dibimbing. 

    “Saya mengharapkan mereka, pertama kali mengundi, kalau boleh bagi 100 peratus sokongan untuk keluar mengundi, pada kali ini dan dan bagi sokongan kepada PN, insha Allah,” katanya. 

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac dan hari mengundi awal pada 8 Mac ini.

  • PRN Johor: Calon BN dan PN bertembung – “Tak ada gaduh-gaduhnya, macam pilih ketua kelas”

    PRN Johor: Calon BN dan PN bertembung – “Tak ada gaduh-gaduhnya, macam pilih ketua kelas”

    itik patah kaki johor

    AKTIVITI bertemu penduduk Taman Sri Bakri III, di Muar hari ini berada dalam suasana sangat harmoni walaupun dua calon yang bertanding, Datuk Lokman Md Don dari Barisan Nasional (BN) dan calon Perikatan Nasional (PN) dari Pas, Zarul Salleh ‘bertembung’ di sebuah rumah di situ.

    Kedua-dua calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram itu kelihatan cerita dan berbual mesra sambil melihat sendiri keadaan sebuah rumah penduduk yang dilanda ribut baru-baru ini.

    Ketika ditemui UtusanTV di lokasi itu, Lokman berkata, tidak timbul soal hendak lawan antara satu sama lain kerana kedua-duanya merupakan rakan lama.

    “Kita sudah kawan lama, mana ada nak lawan-lawan. Kita kempen macam biasa sahaja,” katanya.

    Semasa aktiviti mengunjungi rumah penduduk, Lokman sempat mempelawa Zarul untuk bersamanya meneruskan ziarah ini, namun Zarul mempunyai aktiviti yang sama di lokasi yang lain.

    Kata Zarul, mereka sudah berkawan lama, malah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini diibaratkan memilih ketua dalam bilik darjah.

    “Kami ini ibarat, macam dekat kelas, hendak lantik ketua darjah. Itu sahaja. Tak ada gaduh-gaduhnya,” katanya seperti yang dilaporkan UtusanTV.

    Pada PRN Johor ini, DUN Simpang Jeram ditandingi empat calon iaitu Lokman, Zarul, Mahaizal Mahmor (Pejuang) dan penyandang, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Salahuddin memenangi kerusi ini dengan majoriti 7,687 undi.

    DUN Simpang Jeram mempunyai 40,014 pengundi berdaftar.

  • Pecah amanah RM6.6 bilion : Permohonan Najib, Mohd Irwan dilepas tanpa dibebas ditolak

    Pecah amanah RM6.6 bilion : Permohonan Najib, Mohd Irwan dilepas tanpa dibebas ditolak

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, untuk dilepaskan tanpa dibebaskan daripada enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion membabitkan International Petroleum Investment Company (IPIC) yang dihadapi mereka.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam keputusannya berkata mahkamah memutuskan untuk menolak permohonan tersebut, mengambil kira faktor pihak pendakwaan telah bersedia dengan perbicaraan.

    “Tarikh perbicaraan selama 32 hari pada September 2021 sudah ditetapkan sebelum ini, namun telah dilapangkan atas permohonan pihak pendakwaan dan ia tidak dibantah oleh pihak pembelaan.

    “Permohonan untuk dilepaskan tanpa dibebaskan mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah hanya boleh dibenarkan jika pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan kes,” katanya dan menetapkan 1 hingga 4 April 2023, 8-11 April dan sepanjang Mei tahun depan sebagai tarikh perbicaraan baharu kes tersebut.

    Najib, 68, dan Mohd. Irwan, 63, memohon dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu hari ini, semasa pengurusan kes berkenaan atas alasan mereka telah dituduh sejak 2018 namun masih belum dibicarakan sehingga kini.

    Terdahulu, peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib berhujah walaupun selepas didakwa empat tahun lepas, kes terhadap anak guamnya masih tergantung dan perbicaraan belum lagi bermula.

    “Pada masa sama, kami memohon beberapa dokumen daripada pihak pendakwaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah, tetapi ia masih belum dilengkapkan. Oleh itu, kami pohon satu perintah lepas tanpa bebas diberikan kepada anak guam kami,” katanya.

    Peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Mohd. Irwan berkata, pihaknya tidak meragui proses mahkamah atau pihak pendakwaan, tetapi kes yang dihadapi anak guamnya masih lagi tergantung dan disebut sebanyak 14 kali di mahkamah sejak Oktober 2018.

    “Kes ini telah tergantung kerana tiada kesesuaian tarikh bicara berikutan tertuduh pertama iaitu Datuk Seri Najib sedang dibicarakan di beberapa mahkamah berbeza, dan pihak kami mendapat makluman daripada peguam beliau, tarikh yang masih tersedia hanyalah pada tahun 2023.

    “Sekiranya Yang Arif membenarkan permohonan ini (lepas tanpa bebas), pihak pendakwaan boleh mengemukakan semula pendakwaan pada bila-bila masa,” katanya.
     
    Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi bagaimanapun membantah permohonan itu, atas alasan tidak adil bagi mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh dilepas tanpa dibebaskan pada peringkat ini (sebelum perbicaraan).

    Beliau berkata, pihak pendakwaan bersedia untuk menjalankan kes, di mana sudah tiga kali serahan dokumen dibuat mengikut Seksyen 51A  dan mengikut peruntukan undang-undang, mereka boleh mengemukakan dokumen tambahan jika ada sebelum perbicaraan.

    “Pendakwa raya mewakili 34 juta orang awam yang ingin melihat kes ini dibicarakan, bukan boleh dilepas tanpa dibebaskan begitu sahaja. Kami bersedia untuk membuktikan tuduhan terhadap kedua-dua tertuduh,” katanya.

    Pada 24 Oktober 2018, Najib dan Mohd. Irwan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan bayaran kepada IPIC.

    Mereka dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – Bernama

  • Malaysia tidak iktiraf tuntutan waris Sultan Sulu-Saifuddin

    Malaysia tidak iktiraf tuntutan waris Sultan Sulu-Saifuddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEPUTUSAN pihak yang mendakwa pewaris Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram II terhadap Sabah menerusi prosiding timbang tara antarabangsa di Perancis tidak menjejaskan kedaulatan Sabah .

    Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan itu, begitu juga kerajaan Sabah.

    “Kita tidak iktiraf langsung sebaliknya kita teruskan proses mahkamah di Madrid. Jabatan Peguam Negara yang mengetuai kerajaan Malaysia dalam kes tersebut dan kita akan lihat bagaimana.

    “Hakikatnya, tuntutan itu tidak sedikit pun menjejaskan kedudukan Sabah sebagai sebuah wilayah berdaulat dalam Malaysia, kerajaan negeri Sabah tak iktiraf, kerajaan Malaysia juga tak iktiraf tuntutan itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Taklimat sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Johor Bahru, hari ini.

    Semalam, Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan tidak mengiktiraf tuntutan pihak yang mendakwa sebagai pewaris Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram II menerusi prosiding timbang tara antarabangsa di Perancis.

    Menurut kenyataan bersama-sama Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara itu, Malaysia juga tidak mengambil bahagian dalam prosiding oleh waris Sultan Sulu di ibu kota Paris tersebut.

  • Peluang PN lebih cerah pada PRN Johor

    Peluang PN lebih cerah pada PRN Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERIKATAN Nasional (PN) yakin mampu mencapai keputusan lebih baik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berbanding PRN Melaka tahun lalu.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, ini kerana
    persediaan jentera PN jauh lebih tersusun, lebih kemas, lebih baik dan lebih bersedia pada PRN Johor.

    “Permulaan yang baik itu akan menghasilkan keputusan yang juga baik. Setiap PN negeri sudah ditugaskan untuk membantu di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

    “Bilik gerakan setiap DUN juga sudah beroperasi, ini berbeza dengan Melaka yang saya akui memang bermula dengan perlahan.

    “Semua pihak yang bertanding pasti merasakan mereka mempunyai peluang untuk menang, kita juga ada peluang baik untuk menang sejumlah kerusi DUN,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas taklimat sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri di Bangunan MBJB, Johor Bahru, hari ini.

    Saifuddin berkata, PN bagaimanapun mengingatkan semua parti politik bertanding agar berpolitik secara berhemah dan terhormat dengan tidak melibatkan diri dalam kaedah mencaci, mengutuk dan melakukan pembunuhan karektor.

    Setakat ini katanya, kempen-kepmen masih berjalan dengan sederhana, tiada tindakan agresif dan mencaci antara satu sama lain.

    Beliau juga sudah mengingatkan calon dan penceramah PN agar tidak mengaibkan mana-mana pihak.

    “Apatah lagi kita berkempen sesama kawan (PN dan Barisan Nasional), boleh kata semua menteri Kabinet turun berkempen termasuk saya, kita semua kawan jadi berhemah, jangan kutuk mengutuk sebalik promosi parti dan dasar masing-masing,” katanya.

  • Tidak menolak dua lagi rakyat Malaysia ada di Ukraine-Saifuddin

    Tidak menolak dua lagi rakyat Malaysia ada di Ukraine-Saifuddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah memaklumkan, terdapat seorang dua lagi rakyat Malaysia yang tidak berdaftar dengan pihak kedutaan masih berada dalam Ukraine.

    Maklumat itu katanya, diperoleh secara tidak dan mengharapkan jika masih ada rakyat Malaysia di negara tersebut dan memerlukan bantuan, mereka diminta menghubungi kedutaan Malaysia di Warsaw, Poland.

    “Ketika ini, status kedutaan Malaysia di Ukraine sedang tergantung kerana tiada pegawai bertugas di negara terbabit, namun kita tahu kemungkinan ada seorang dua rakyat Malaysia yang tidak berdaftar masih berada di negara berkenaan.

    “Kita memang tidak pernah wajibkan mana-mana rakyat Malaysia yang keluar negara untuk berdaftar, namun dalam situasi berlaku bencana atau tragedi seperti ini, kita akan tetap cuba membantu mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas taklimat sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Johor Bahru, hari ini.

    Mengenai konflik antara Rusia dan Ukraine ketika ini, beliau berkata, Malaysia menyokong resolusi ‘Tindakan Keganasan Ke Atas Ukraine’ bersama 140 negara antarabangsa lain.

    “Dalam undian itu, 141 negara menyokong termasuk Malaysia, lima negara membantah manakala 35 mengambil pendirian berkecuali.

    “Walaupun Malaysia mempunyai hubungan baik dengan kedua-dua negara, namun kita tetap berpegang kepada prinsip menghormati kedaulatan, integriti dan kemerdekaan sesebuah negara,” katanya.

    Beliau berkata, Malaysia berpandangan kedua-dua negara terlibat perlu mencari jalan penyelesaian melalui dialog dan rundingan damai.

    Pada 1 Mac lalu, media melaporkan tujuh rakyat Malaysia bersama-sama dua tanggungan warga asing yang sebelum ini dilaporkan terkandas di Ukraine telah selamat tiba di tanah air pada pukul 3.06 petang.

  • PRN Johor: ‘Orang cuma nak tengok ‘perompak’ – Muhyiddin

    PRN Johor: ‘Orang cuma nak tengok ‘perompak’ – Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan sambutan orang ramai terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak yang turun berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan kerana kembali diterima rakyat.

    Sebaliknya kata bekas Perdana Menteri itu, mereka hanya ingin melihat bekas Presiden UMNO itu selepas Najib dijatuhkan hukuman penjara kerana kesalahan berkaitan dana 1MDB dan SRC International Sdn. Bhd.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, sepatutnya Najib berasa malu untuk berhadapan dengan orang ramai, apatah lagi dengan keadaan beliau masih terpaksa turun naik ke mahkamah ekoran beberapa lagi kes yang masih dalam perbicaraan.

    “Biasalah siapa datang pun, dia tengok muka siapa pun, ada yang suka datang, ada yang tak suka pun datang.

    “Rakyat nak tengok dekat-dekat betul ke dia ni perompak, betul ke dia ini yang dijatuhkan hukuman.

    “Jadi jangan kita andaikan ramai datang itu kerana suka, ramai datang nak tengok muka sebenar dia, adakah ini orang yang telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun, denda RM200 juta yang terbabit dengan kes SRC, orang ini juga yang telah ulang-alik naik turun di mahkamah,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Ikrar dan Aku Janji Integriti PN di Hotel Impiana, Senai, Kilai, hari ini.

    Mengulas lanjut, katanya perkara itu dianggap sebagai sesuatu yang memalukan.

    “Bagi saya ini satu perkara yang memalukan, jadi kalau ramai itu, dia rasa seronoklah. Tapi biasa kita sebut, dia patut ada rasa malu. Tak perlu saya sebut lagi,” katanya.

    Mengulas mengenai tindakan segelintir Ahli Parlimen yang mahu mengemukakan usul meminta Najib dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa cuba mengelirukan dewan dengan ucapannya mengenai 1MDB, Muhyiddin berkata mereka mempunyai hak berbuat demikian.

    “Itu hak Ahli Parlimen, dibentang di Parlimen, dibawa ke Parlimen, dan perkara ini adalah satu perkara kepentingan umum yang bagi saya akan terima oleh speaker, kerana ini adalah hak speaker untuk benarkan atau tidak.

    “Tetapi kalau kenyataan Datuk Seri Najib membuat itu satu kenyataan yang mengelirukan, sebagai Ahli Parlimen ada hak untuk bangkitkan perkara itu di dalam Parlimen dan speaker untuk membuat keputusan apa untuk dibuat dengan kenyataan-kenyataan itu,” katanya.

    Semalam, Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua memberitahu Dewan Rakyat, beberapa tindakan Najib itu boleh dilihat sebagai penghinaan kepada Ahli Parlimen dan memaklumkan, usul itu telah dihantar ke pejabat Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun.

  • Pembangkang bawa usul rujuk Najib ke JK Hak dan Kebebasan Parlimen

    Pembangkang bawa usul rujuk Najib ke JK Hak dan Kebebasan Parlimen

    SATU usul dikemukakan oleh pembangkang meminta supaya Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa cuba mengelirukan dewan.

    Memetik laporan BH, usul itu dikemuka Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua kepada pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun hari ini, berhubung kenyataan Najib dalam sesi perbahasannya di Dewan Rakyat, semalam.

    “Saya ingin merujuk Ahli Parlimen Pekan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen seperti yang diperuntuk dalam Perkara 36(12) Peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Rakyat.

    “Perkara ini sudah disampaikan ke pejabat Speaker dalam bentuk surat. Beliau dalam ucapannya semalam sudah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dewan dan boleh disifatkan sebagai menghina majlis,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Pemimpin DAP itu menambah, secara spesifiknya, Najib sudah mengelirukan dalam beberapa perkara yang dibangkitkan, termasuk menyatakan tiada satu sen prinsipal hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pernah dibayar oleh kerajaan.

    “Ini palsu kerana kerajaan sudah membayar sebanyak RM8.8 bilion prinsipal dan faedah semasa beliau menjadi Menteri Kewangan.

    “Keduanya, beliau sudah menyebut penjimatan kepada penyelesaian perjanjian berat sebelah pengeluar tenaga bebas (IPP), peninggalan zaman Perdana Menteri keempat yang diselesaikan dengan bantuan 1MDB mengambil alih IPP ini sudah menjimatkan sebanyak RM50 bilion. Ini adalah palsu,” katanya.

    Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, yang mempengerusikan mesyuarat itu seterusnya memaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat akan meneliti usul itu, sebelum sebarang keputusan dibuat.

    “Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat akan mempertimbang surat berkenaan dan buat jawapan sewajarnya,” jelasnya..

    Semalam, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama sehari selepas beliau ingkar arahan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor untuk duduk selepas berkali-kali cuba mengganggu perbahasan Najib.

    Dalam perbahasan Najib itu, Rayer dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkali-kali membangkitkan isu 1MDB dan meminta penjelasan dari Ahli Parlimen Pekan itu.

    Najib bagaimanapun, tidak memberi laluan kepada sebarang pencelahan.

  • 56 calon PN angkat sumpah aku janji integriti, tolak rasuah

    56 calon PN angkat sumpah aku janji integriti, tolak rasuah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 56 calon Perikatan Nasional (PN) hadir dalam Majlis Ikrar dan Tandatangan Aku Janji Integriti Calon PN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 di Hotel Impiana, Senai, Kulai, hari ini.

    Majlis bacaan ikrar menolak rasuah dan salah guna kuasa itu diketuai Setiausaha PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal sambil disaksikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Turur hadir Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr Dominic, Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr. Dominic Lou Hoe Chai; Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Timbalan Pengerusi PN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

    Muhyiddin yang juga Presiden Parti Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam ucapannya berkata, integriti amat besar nilainya dan tanpa integriti masyarakat dan negara akan rosak.

    Jelasnya, PN ingin bina negara dan masyarakat atas nilai yang murni selain mendidik masyarakat dan generasi akan datang betapa pentingnya kepimpinan yang berasaskan nilai yang murni.

    Hanya dengan amalan nilai yang murni katanya, akan dapat lahirkan kepimpinan yang berintegriti, cekap dan prihatin rakyat.

    “Apabila pemimpin berintegriti, maka wujudlah masyarakat dan negara yang makmur, sejahtera dan sentosa. Melahirkan kepimpinan yang berintegriti bermula daripada kita.

    “Sebagai calon-calon wakil rakyat yang akan dipilih oleh rakyat negeri Johor untuk mentadbir negeri Johor kelak, anda semua memikul satu amanah yang berat dan tanggungjawab yang besar untuk memastikan nilai integriti sentiasa dijunjung.

    “Ingatlah sabda Rasululullah S. A. W – Kullukum ra’in wa kullu ra’in mas’ulun an ra’iyyatihi. Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab ke atas orang yang dipimpin” katanya.

    Bekas Perdana Menteri itu menyeru pengundi dan seluruh Bangsa Johor supaya menjadikan PRN Johor sebagai permulaan pembentukan sebuah kerajaan yang berasaskan nilai integriti dan prihatin rakyat seperti yang ditawarkan PN.

    “Anda adalah benteng utama untuk menyekat kemaraan semula kumpulan kleptokrat dan politik lama mereka yang berasaskan rasuah dan penyelewengan.

    “We must at all cost stop the return of the kleptocrats and their old politics of corruption and abuse of power,” katanya.