Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan sambutan orang ramai terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak yang turun berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan kerana kembali diterima rakyat.
Sebaliknya kata bekas Perdana Menteri itu, mereka hanya ingin melihat bekas Presiden UMNO itu selepas Najib dijatuhkan hukuman penjara kerana kesalahan berkaitan dana 1MDB dan SRC International Sdn. Bhd.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, sepatutnya Najib berasa malu untuk berhadapan dengan orang ramai, apatah lagi dengan keadaan beliau masih terpaksa turun naik ke mahkamah ekoran beberapa lagi kes yang masih dalam perbicaraan.
“Biasalah siapa datang pun, dia tengok muka siapa pun, ada yang suka datang, ada yang tak suka pun datang.
“Rakyat nak tengok dekat-dekat betul ke dia ni perompak, betul ke dia ini yang dijatuhkan hukuman.
“Jadi jangan kita andaikan ramai datang itu kerana suka, ramai datang nak tengok muka sebenar dia, adakah ini orang yang telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun, denda RM200 juta yang terbabit dengan kes SRC, orang ini juga yang telah ulang-alik naik turun di mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Ikrar dan Aku Janji Integriti PN di Hotel Impiana, Senai, Kilai, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya perkara itu dianggap sebagai sesuatu yang memalukan.
“Bagi saya ini satu perkara yang memalukan, jadi kalau ramai itu, dia rasa seronoklah. Tapi biasa kita sebut, dia patut ada rasa malu. Tak perlu saya sebut lagi,” katanya.
Mengulas mengenai tindakan segelintir Ahli Parlimen yang mahu mengemukakan usul meminta Najib dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa cuba mengelirukan dewan dengan ucapannya mengenai 1MDB, Muhyiddin berkata mereka mempunyai hak berbuat demikian.
“Itu hak Ahli Parlimen, dibentang di Parlimen, dibawa ke Parlimen, dan perkara ini adalah satu perkara kepentingan umum yang bagi saya akan terima oleh speaker, kerana ini adalah hak speaker untuk benarkan atau tidak.
“Tetapi kalau kenyataan Datuk Seri Najib membuat itu satu kenyataan yang mengelirukan, sebagai Ahli Parlimen ada hak untuk bangkitkan perkara itu di dalam Parlimen dan speaker untuk membuat keputusan apa untuk dibuat dengan kenyataan-kenyataan itu,” katanya.
Semalam, Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua memberitahu Dewan Rakyat, beberapa tindakan Najib itu boleh dilihat sebagai penghinaan kepada Ahli Parlimen dan memaklumkan, usul itu telah dihantar ke pejabat Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun.
Leave a Reply