Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KEPUTUSAN pihak yang mendakwa pewaris Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram II terhadap Sabah menerusi prosiding timbang tara antarabangsa di Perancis tidak menjejaskan kedaulatan Sabah .

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan itu, begitu juga kerajaan Sabah.

“Kita tidak iktiraf langsung sebaliknya kita teruskan proses mahkamah di Madrid. Jabatan Peguam Negara yang mengetuai kerajaan Malaysia dalam kes tersebut dan kita akan lihat bagaimana.

“Hakikatnya, tuntutan itu tidak sedikit pun menjejaskan kedudukan Sabah sebagai sebuah wilayah berdaulat dalam Malaysia, kerajaan negeri Sabah tak iktiraf, kerajaan Malaysia juga tak iktiraf tuntutan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Taklimat sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Johor Bahru, hari ini.

Semalam, Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan tidak mengiktiraf tuntutan pihak yang mendakwa sebagai pewaris Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram II menerusi prosiding timbang tara antarabangsa di Perancis.

Menurut kenyataan bersama-sama Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara itu, Malaysia juga tidak mengambil bahagian dalam prosiding oleh waris Sultan Sulu di ibu kota Paris tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here