Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SERAMAI 56 calon Perikatan Nasional (PN) hadir dalam Majlis Ikrar dan Tandatangan Aku Janji Integriti Calon PN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 di Hotel Impiana, Senai, Kulai, hari ini.

Majlis bacaan ikrar menolak rasuah dan salah guna kuasa itu diketuai Setiausaha PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal sambil disaksikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turur hadir Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr Dominic, Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr. Dominic Lou Hoe Chai; Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Timbalan Pengerusi PN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam ucapannya berkata, integriti amat besar nilainya dan tanpa integriti masyarakat dan negara akan rosak.

Jelasnya, PN ingin bina negara dan masyarakat atas nilai yang murni selain mendidik masyarakat dan generasi akan datang betapa pentingnya kepimpinan yang berasaskan nilai yang murni.

Hanya dengan amalan nilai yang murni katanya, akan dapat lahirkan kepimpinan yang berintegriti, cekap dan prihatin rakyat.

“Apabila pemimpin berintegriti, maka wujudlah masyarakat dan negara yang makmur, sejahtera dan sentosa. Melahirkan kepimpinan yang berintegriti bermula daripada kita.

“Sebagai calon-calon wakil rakyat yang akan dipilih oleh rakyat negeri Johor untuk mentadbir negeri Johor kelak, anda semua memikul satu amanah yang berat dan tanggungjawab yang besar untuk memastikan nilai integriti sentiasa dijunjung.

“Ingatlah sabda Rasululullah S. A. W – Kullukum ra’in wa kullu ra’in mas’ulun an ra’iyyatihi. Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab ke atas orang yang dipimpin” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu menyeru pengundi dan seluruh Bangsa Johor supaya menjadikan PRN Johor sebagai permulaan pembentukan sebuah kerajaan yang berasaskan nilai integriti dan prihatin rakyat seperti yang ditawarkan PN.

“Anda adalah benteng utama untuk menyekat kemaraan semula kumpulan kleptokrat dan politik lama mereka yang berasaskan rasuah dan penyelewengan.

“We must at all cost stop the return of the kleptocrats and their old politics of corruption and abuse of power,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here