Pembangkang bawa usul rujuk Najib ke JK Hak dan Kebebasan Parlimen

SATU usul dikemukakan oleh pembangkang meminta supaya Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa cuba mengelirukan dewan.

Memetik laporan BH, usul itu dikemuka Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua kepada pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun hari ini, berhubung kenyataan Najib dalam sesi perbahasannya di Dewan Rakyat, semalam.

“Saya ingin merujuk Ahli Parlimen Pekan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen seperti yang diperuntuk dalam Perkara 36(12) Peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Rakyat.

“Perkara ini sudah disampaikan ke pejabat Speaker dalam bentuk surat. Beliau dalam ucapannya semalam sudah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dewan dan boleh disifatkan sebagai menghina majlis,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Pemimpin DAP itu menambah, secara spesifiknya, Najib sudah mengelirukan dalam beberapa perkara yang dibangkitkan, termasuk menyatakan tiada satu sen prinsipal hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pernah dibayar oleh kerajaan.

“Ini palsu kerana kerajaan sudah membayar sebanyak RM8.8 bilion prinsipal dan faedah semasa beliau menjadi Menteri Kewangan.

“Keduanya, beliau sudah menyebut penjimatan kepada penyelesaian perjanjian berat sebelah pengeluar tenaga bebas (IPP), peninggalan zaman Perdana Menteri keempat yang diselesaikan dengan bantuan 1MDB mengambil alih IPP ini sudah menjimatkan sebanyak RM50 bilion. Ini adalah palsu,” katanya.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, yang mempengerusikan mesyuarat itu seterusnya memaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat akan meneliti usul itu, sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat akan mempertimbang surat berkenaan dan buat jawapan sewajarnya,” jelasnya..

Semalam, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama sehari selepas beliau ingkar arahan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor untuk duduk selepas berkali-kali cuba mengganggu perbahasan Najib.

Dalam perbahasan Najib itu, Rayer dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkali-kali membangkitkan isu 1MDB dan meminta penjelasan dari Ahli Parlimen Pekan itu.

Najib bagaimanapun, tidak memberi laluan kepada sebarang pencelahan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *