Tidak menolak dua lagi rakyat Malaysia ada di Ukraine-Saifuddin

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

MENTERI Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah memaklumkan, terdapat seorang dua lagi rakyat Malaysia yang tidak berdaftar dengan pihak kedutaan masih berada dalam Ukraine.

Maklumat itu katanya, diperoleh secara tidak dan mengharapkan jika masih ada rakyat Malaysia di negara tersebut dan memerlukan bantuan, mereka diminta menghubungi kedutaan Malaysia di Warsaw, Poland.

“Ketika ini, status kedutaan Malaysia di Ukraine sedang tergantung kerana tiada pegawai bertugas di negara terbabit, namun kita tahu kemungkinan ada seorang dua rakyat Malaysia yang tidak berdaftar masih berada di negara berkenaan.

“Kita memang tidak pernah wajibkan mana-mana rakyat Malaysia yang keluar negara untuk berdaftar, namun dalam situasi berlaku bencana atau tragedi seperti ini, kita akan tetap cuba membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas taklimat sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Johor Bahru, hari ini.

Mengenai konflik antara Rusia dan Ukraine ketika ini, beliau berkata, Malaysia menyokong resolusi ‘Tindakan Keganasan Ke Atas Ukraine’ bersama 140 negara antarabangsa lain.

“Dalam undian itu, 141 negara menyokong termasuk Malaysia, lima negara membantah manakala 35 mengambil pendirian berkecuali.

“Walaupun Malaysia mempunyai hubungan baik dengan kedua-dua negara, namun kita tetap berpegang kepada prinsip menghormati kedaulatan, integriti dan kemerdekaan sesebuah negara,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia berpandangan kedua-dua negara terlibat perlu mencari jalan penyelesaian melalui dialog dan rundingan damai.

Pada 1 Mac lalu, media melaporkan tujuh rakyat Malaysia bersama-sama dua tanggungan warga asing yang sebelum ini dilaporkan terkandas di Ukraine telah selamat tiba di tanah air pada pukul 3.06 petang.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *