Author: Wartawan WartaRakyat

  • Aidiladha disambut hari Ahad, 10 Julai

    Aidiladha disambut hari Ahad, 10 Julai

    UMAT Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada Ahad, 10 Julai susulan tarikh 1 Zulhijjah 1443 jatuh pada Jumaat ini.

    Perkara itu diumumkan Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Mohd Aseral Jusman sebentar tadi, selepas aktiviti cerapan dilaksanakan di 29 lokasi di seluruh negara, petang tadi.

    “Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka dengan ini saya bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1443 Hijrah ialah pada Jumaat, 1 Julai 2022.

     “Oleh yang demikian, Hari Raya Korban (10 Zulhijah) bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Ahad, 10 Julai 2022,” katanya menerusi pengumuman yang disiarkan malam ini.

  • ”Peranan beliau sebagai wakil rakyat amat besar”- Abdul Hakim bidas Mohamaddin

    ”Peranan beliau sebagai wakil rakyat amat besar”- Abdul Hakim bidas Mohamaddin

    KETUA  Bersatu Lahad Abdul Hakim Gulam Hassan bidas dakwaan Mohamaddin Ketapi yang mengumumkan keluar parti itu kerana tidak diberi peranan.

    Beliau sebagai Ahli Parlimen Lahad Datu dan ADUN Segama yang sebelum ini mewakili Bersatu, Mohamaddin memikul peranan lebih besar untuk membantu rakyat.

    “Jadi tidak timbul soal tidak diberi peranan kerana sebagai Ahli Parlimen dan ADUN, peranan beliau sebagai wakil rakyat adalah amat besar. Seperkara lagi, selepas menyertai Bersatu, beliau (Mohamaddin) sebenarnya adalah AJK (ahli jawatankuasa) Bersatu Lahad Datu, kerana perlembagaan parti ini jelas menyatakan bahawa setiap wakil rakyat adalah secara automatik menjadi AJK bahagian.

    “Selaku AJK bahagian parti yang dianggotai juga tidak pernah menghalang beliau untuk menjalankan peranannya,” katanya pada sidang media di Lahad Datu, lapor FMT.

    mohamaddin ketapi
    Mohamaddin Ketapi

    Hakim berkata, jika Mohamaddin inginkan jawatan lebih tinggi seperti ketua bahagian, beliau perlu menunggu sehingga pemilihan parti akan datang.

    “Selepas pemilihan parti yang lalu saya telah dipilih sebagai ketua bahagian dan menjadi tanggungjawab saya untuk mengurus tadbir parti dan juga ahli. Sekiranya beliau mahu jadi ketua bahagian, beliau perlu bertanding pada pemilihan akan datang, kena tunggu dan sabarlah,” katanya.

    Hakim berkata, beliau juga tidak tahu langsung berkenaan dakwaan Mohamaddin yang mengatakan dijanjikan peranan dalam Bersatu di Lahad Datu.

    Katanya, beliau kurang jelas apakah bentuk peranan yang konon dijanjikan kepada Mohamaddin seperti dikatakan dalam sidang medianya semalam.

    “Sebenarnya, saya tidak tahu apa-apa tentang janji tersebut, saya tidak tahu siapa yang menjanjikan beliau dan saya tidak tahu apa sebenarnya dijanjikan kepada beliau.

    “Tetapi, sekiranya maksud beliau dijanjikan peranan untuk memimpin parti adalah jawatan tertentu dalam parti atau bahagian, maka selaku ahli politik yang cukup berpengalaman dan lama terlibat dalam empat parti besar iaitu sejak PBS, PKR, Warisan dan kemudian Bersatu, beliau sepatutnya sedia maklum, untuk menjawat satu-satu jawatan dalam parti harus menawarkan diri bertanding merebut jawatan dalam pemilihan parti,” katanya.

    Sementara itu, Hakim juga menyelar sindiran sinis Mohamaddin terhadapnya yang mengatakan beliau berlagak seperti wakil rakyat.

    “Sebetulnya, saya sebagai ketua parti di peringkat bahagian, saya tidak mempunyai apa-apa peruntukan yang boleh disalurkan kepada rakyat, tetapi saya berusaha semampu yang boleh untuk membantu rakyat. Saya hanya mahu berkhidmat kepada rakyat, walaupun sedar tidak dapat memenuhi atau membantu keseluruhan rakyat di kawasan saya, adakah dengan membantu rakyat itu perlu berlagak sebagai wakil rakyat,” katanya.

    Mohamaddin yang menyertai Bersatu selepas keluar Warisan pada November lalu mengumumkan keluar daripada parti itu untuk menjadi wakil rakyat bebas mesra kerajaan.

  • Mustapa nafi seleweng dana PRU-14 UMNO Kelantan

    Mustapa nafi seleweng dana PRU-14 UMNO Kelantan

    AHLI Parlimen jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini menafikan sekeras-kerasnya kenyataan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi bahawa beliau menyeleweng peruntukan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Mustapa turut menafikan tuduhan Ahmad Zahid bahawa penyertaannya dalam Bersatu adalah bertujuan untuk mengelak siasatan oleh pihak berkuasa.

    Berikut kenyataan penuh Mustapa;

     Saya merujuk kepada laporan media mengenai perbicaraan di Mahkamah Tinggi melibatkan Ahli Parlimen Bagan Datuk yang telah membuat kenyataan bahawa saya, Ahli Parlimen Jeli merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan pada masa itu, telah menyeleweng peruntukan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan Ahli Parlimen Bagan Datuk bahawa saya telah menyeleweng peruntukan yang disalurkan kepada UMNO Kelantan.

    Semua dana parti telah diuruskan mengikut garis panduan parti termasuklah dana untuk pilihan raya. Ianya diuruskan oleh Jawatankuasa berkenaan di peringkat Badan Perhubungan.

    Saya juga menafikan bahawa penyertaan saya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah bertujuan untuk mengelak siasatan oleh pihak berkuasa.

    Selepas PRU-14, saya telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa sebanyak dua kali, iaitu pada akhir tahun 2018 dan pada awal tahun 2019. Saya dipanggil memberi keterangan mengenai perkara- perkara berikut:

    i) Sebagai bekas Ahli Jemaah Menteri, saya diminta memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan minit Mesyuarat Jemaah Menteri mengenai projek Trans Sabah Gas Pipeline; dan

    ii) Sebagai bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, saya telah memberi keterangan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan dana yang dimasukkan ke dalam akaun Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan yang didakwa diperolehi daripada sumber 1MDB.

    Kenyataan Ahli Parlimen Bagan Datuk pernah dibangkitkan oleh beberapa pihak sebelum ini. Pihak SPRM telah menafikan perkara ini pada 20 September 2018 manakala Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan pada masa itu telah memberi penjelasan mengenai pengurusan dana PRU-14 pada 16 Januari 2019.

    Tuduhan-tuduhan seumpama ini berniat untuk mencemarkan reputasi saya sebagai Ahli Jemaah Menteri dan Ahli Parlimen.

    Saya tidak pernah menerima tekanan daripada mana-mana pihak untuk menyertai PPBM dan tidak pernah menyeleweng dana Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan bagi PRU-Saya bersedia untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan.

  • Setiap ahli politik sangat memerlukan wang – kata Zahid ketika bela diri

    Setiap ahli politik sangat memerlukan wang – kata Zahid ketika bela diri

    BEKAS  Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram ke atasnya bermotifkan politik.

    Ahmad Zahid berkata ia adalah hakikat sebenar yang berlaku kepadanya dan pemimpin politik lain yang diheret ke mahkamah.

    Beliau berkata demikian semasa disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran pada prosiding membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi (YAB).

    Raja Rozela: Sepanjang beberapa tahun kes ini berjalan, tiada keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan yang boleh dikaitkan sebagai bermotifkan politik, selain fakta yang anda seorang ahli politik.

    Ahmad Zahid: Dari segi pendakwaan secara atas kertas memang tidak, tapi di belakang, saya mengetahui sangat ia bertujuan untuk bermotifkan politik.

    Raja Rozela: Saya tertarik dengan keterangan Datuk Seri (Ahmad Zahid) semalam, Datuk Seri sebut tentang isu penyelewengan wang atau pecah amanah dan Datuk Seri sebutkan nama tiga Ahli Parlimen dalam konteks itu. Bila saya dengar, terlintas dalam fikiran tentang isu politik dan wang yang mana isu politik dan wang ini bagaikan tidak dapat dipisahkan, munasabah saya cakap begitu?

    Ahmad Zahid: Setiap ahli politik parti mana pun, seseorang itu sangat memerlukan wang bagi melaksanakan aktiviti politik. Wang bukan segalanya, tetapi segalanya perlukan wang.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak bersetuju dengan Raja Rozela bahawa kes rasuah, penyelewengan dan penipuan semakin berleluasa di negara ini.

    Raja Rozela: Maknanya Datuk Seri tak baca artikel baru-baru ini di The World Street Journal bahawa Malaysia berada di kedudukan pertama dalam negara paling ‘corrupt’ di dunia, sedih dengar. Datuk Seri ada baca?

    Ahmad Zahid: Baca tajuk dan sepintas lalu.

    Kepada soalan Raja Rozela, sama ada terdapat kebenaran dalam perkara yang dilaporkan dalam The World Street Journal, Ahmad Zahid menjawab: “Tulisan begitu berdasarkan dua elemen iaitu rasuah dan persepsi rasuah yang pada hemat saya persepsi lebih diutamakan daripada indeks sebenar”.

    Beliau bagaimanapun bersetuju dengan cadangan Raja Rozela bahawa kes rasuah masih membimbangkan.

    Ahmad Zahid juga bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya itu bahawa negara mempunyai prinsip kedaulatan undang-undang iaitu tidak kira sama ada seseorang itu miskin atau kaya, semuanya sama di sisi undang-undang.

    “Tetapi bukan untuk tuduhan-tuduhan terpilih,” kata Ahmad Zahid.

    Raja Rozela: Saya beri contoh, sekiranya seseorang ahli politik dituduh mengambil rasuah, antara alasan yang diberikan pertuduhan adalah konspirasi berbaur politik, tetapi sekiranya yang dituduh berkaitan rasuah adalah seorang tukang kebun sekolah, tak mungkin ia akan menimbulkan alasan yang sama (konspirasi berbaur politik) setuju?

    Ahmad Zahid: Kalau tukang kebun itu ketua cawangan atau pemegang jawatan dalam parti politik, perkara yang sama akan berlaku terhadap tukang kebun itu.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.

    — BERNAMA

  • Pijak kepala lelaki tidak dikenali sehingga maut, peniaga dihukum gantung

    Pijak kepala lelaki tidak dikenali sehingga maut, peniaga dihukum gantung

    TINDAKAN seorang peniaga membunuh dengan memijak kepala seorang lelaki yang tidak dikenali sehingga menyebabkan kematian, enam tahun lalu membawa padah apabila dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Melaka hari ini.

    Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin menetapkan hukuman itu terhadap tertuduh, S Pandiaraj, 33, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pembelaan.

    Ahmad Nasfy dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati kecederaan yang dialami mangsa, S Ammos Devaprraven, yang ketika itu berusia 27 tahun sehingga menyebabkan kematian tidak konsisten dengan kemalangan jalan raya, lapor Astro AWANI.

    Sebaliknya, berdasarkan penelitian keterangan saksi pendakwaan dan disokong oleh saksi forensik, tindakan tertuduh sendiri telah menyebabkan kecederaan fatal (membawa kematian).

    Justeru katanya, selepas melakukan pertimbangan, mahkamah turut berpuas hati bahawa tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

    Terdahulu, mengikut pertuduhan, tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas didakwa bagi mencapai niat bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap mangsa dalam kejadian di Jalan Tun Ali, kira-kira 4.30 pagi, pada 23 Oktober 2016.

    Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Ahmad Sazali Omar dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nabilalif Mohd Rosli manakala tertuduh diwakili peguam Paul Krishnaraja.

    Pihak pendakwaan dalam hujahannya memaklumkan, mangsa telah dipijak selama seminit di bahagian kepala oleh tertuduh selepas lelaki itu tidak berpuas hati dengan kata-kata yang dikeluarkan oleh mangsa.

    Mangsa kemudian dibawa ke hospital oleh dua individu, dan membuat laporan palsu bahawa si mati telah dilanggar lari sebelum memaklumkan perkara sebenar bahawa mangsa sebenarnya telah dipijak di muka.

    Pendakwaan dibuat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

    Seramai 16 saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang prosiding berjalan sejak tahun 2018 lalu.

  • Sokong sesiapa sahaja menang PRU-15: Warisan parti tiada prinsip – Yadzil

    Sokong sesiapa sahaja menang PRU-15: Warisan parti tiada prinsip – Yadzil

    PENDIRIAN Warisan diketuai Datuk Seri Shafie Apdal untuk menyokong sesiapa sahaja yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti menunjukkan parti itu tiada prinsip perjuangan.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, bukan sahaja parti, malah pendirian itu menunjukkan ketua parti itu juga tiada prinsip dan sanggup menjual diri kepada sesiapa sahaja yang berkuasa asalkan mereka diberi ruang memegang jawatan.

    “Jika Shafie ada prinsip, sepatutnya prinsip itulah yang diperjuangkan tanpa mengira siapa yang menang. Bukan melupakan prinsip hanya kerana mahu diterima oleh pemenang,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau mengulas kenyataan Shafie dalam satu sesi live streaming yang memberitahu Warisan sedia bekerjasama dengan mana-mana gabungan parti politik menang PRU-15 sebagai tanda menghormati pilihan rakyat.

    Mohd Yadzil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bemban berkata, kenyataan Shafie juga membuktikan dia sudah tahu Warisan tidak akan menang dengan signifikan dalam pilihanraya.

    “Maka Shafie tiada pilihan melainkan mengikut saja mana-mana parti lain yang boleh beri Warisan jawatan. Shafie memposisikan Warisan sebagai parti yang rela mengekori orang lain sahaja,” katanya.

    Justeru, katanysa, rakyat Malaysia mesti sedar hakikat sebenar mengenai Warisan.

    “Ia adalah sebuah parti yang semakin lumpuh, tidak ada prinsip, dan dipimpin oleh mereka yang sanggup menjual parti kepada sesiapa sahaja asalkan diberi sedikit kuasa.

    “Warisan adalah parti yang tiada asas perjuangan,’ katanya

  • Suami Isteri bawa dadah tinggalkan mayat anak selepas kereta terlibat kemalangan

    Suami Isteri bawa dadah tinggalkan mayat anak selepas kereta terlibat kemalangan

    SUAMI isteri tergamak meninggalkan mayat anak selepas cemas kenderaan dinaiki yang disyaki membawa dadah terbabit kemalangan di Jalan Sungai Kelamah-Jelai-Gemas, Negeri Sembilan.

    Dalam kejadian kira-kira 11.30 malam kelmarin, pasangan berusia lingkungan 20-an dan 30-an itu melarikan diri dengan menaiki pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

    Portal FMT melaporkan, difahamkan, kenderaan itu milik seorang pengguna jalan raya yang berhenti untuk memberikan bantuan awal kepada mangsa terlibat kemalangan.

    Ketua Polis Tampin, Anuwal Ab Wahab, berkata kemalangan berlaku ketika pasangan terbabit bersama seorang anak berusia dua tahun dalam perjalanan dari Felda Jelai ke Felda Bukit Jalor.

    Sebaik tiba di lokasi kejadian, katanya, suspek lelaki yang memandu kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback itu cuba memotong sebuah lori sebelum gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke kanan jalan.

    “Kenderaan itu berpusing beberapa kali sebelum bergesel dengan sebuah lori. Akibat kemalangan itu, kedua-dua penumpang kereta tercampak keluar.

    “Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tercampak di tengah-tengah jalan raya, kemudian digilis sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti,” katanya menurut laporan Kosmo.

    Anuwal berkata, pasangan terbabit berjaya ditahan di rumah mereka di Felda Bukit Jalor dan pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan yang dipandu lelaki berkenaan telah menemui dadah.

    Beliau berkata, polis membuka tiga kertas siasatan iaitu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1985.

  • Kerja mereka tukar PM, bukan hendak tadbir negara – Tun Mahathir

    Kerja mereka tukar PM, bukan hendak tadbir negara – Tun Mahathir

    PENGERUSI Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad membidas usaha pihak tertentu yang lebih berminat untuk menukar Perdana Menteri dan bukannya mentadbir negara.

    Walau bagaimanapun, bekas Perdana Menteri tersebut tidak menyatakan pihak atau parti politik mana yang dimaksudkan.

    Memetik laporan BH, beliau berpandangan, mereka memainkan isu menukar Perdana Menteri bagi menarik sentimen rakyat.

    “Nampak banyak perkara berlaku yang disembunyi daripada rakyat. Ada pakatan usaha untuk adakan seorang Perdana Menteri baharu, jadi mereka main isu tukar Perdana Menteri.

    “Itulah kerja mereka…bukan hendak mentadbir negara,” kata Dr Mahathir kepada pemberita di luar pekarangan Jabatan Peguam Negara, Putrajaya hari ini.

    Beliau mengulas pendedahan dibuat Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman semalam yang mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tidak layak memimpin parti dan perlu undur diri secara terhormat.

    Tajuddin mendakwa, Ahmad Zahid Hamidi tidak akan berpuas hati selagi tidak dilantik menjadi Perdana Menteri.

    Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu berkata, beliau tidak faham dengan sikap Ahmad Zahid yang masih ‘bising-bising’ mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dilangsungkan lebih awal walaupun Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini menerajui jentera pentadbiran negara.

    Pada masa yang sama, Tajuddin mencadangkan agar Ahmad Zahid ‘berehat’ daripada menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO.

    Menurut beliau, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berdepan jumlah kes yang banyak sehingga menjejaskan kemampuannya menerajui sebuah parti yang besar seperti UMNO.

    Beliau turut mendakwa sebelum ini hampir 130 ketua UMNO bahagian mahu Ahmad Zahid berundur.

    Menurut Tajuddin, timbul gerakan mendesak Ahmad Zahid melepaskan jawatan Presiden pada 2020, diketuai Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, namun gerakan tersebut tidak berhasil.

  • Krisis harga barangan, kos sara hidup semakin parah – PAS

    Krisis harga barangan, kos sara hidup semakin parah – PAS

    KRISIS yang berpunca daripada kenaikan harga barangan dan kos sara hidup dijangka bertambah parah sekiranya kerajaan tidak mengambil penyelesaian yang tuntas dan holistik dalam masa terdekat.

    Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin berkata, isu yang menekan rakyat itu perlu diatasi segera.

    “PAS menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyeru semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah untuk mencari penyelesaian dalam apa jua permasalahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Sehubungan itu, beliau berkata, PAS ingin mencadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beberapa langkah yang akan dapat membantu kerajaan menangani krisis tersebut:

    1. Mengadakan perbincangan bersama dengan semua ketua parti politik daripada pihak kerajaan dan juga pembangkang untuk mencari solusi terbaik dalam mengatasi peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barangan.
    2. Mengkreditkan secara bersasar bantuan tunai bulanan melalui kad pengenalan atau e-dompet kepada golongan B40 dan sebahagian M40 untuk membeli barang keperluan harian dan langkah ini adalah selaras dengan prinsip Islam. Kerajaan perlu memungut dan mengagihkan kekayaan secara adil dan saksama. Pemberian bantuan tunai bulanan secara bersasar ini akan dapat membantu meringankan beban rakyat yang jelas amat terkesan disebabkan oleh krisis kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup.
    3. Mengadakan sidang Parlimen khas bagi membincangkan isu ini secara mikro untuk mendapatkan pandangan dan cadangan penyelesaian dari ahli Parlimen yang lebih dekat dengan rakyat di kawasan mereka.

    Khairil Nizam menambah, PAS yakin dengan kebijaksanaan dan kerjasama semua pihak, isu ini dapat ditangani dan diselesaikan dengan sebaiknya.

    “PAS menyeru semua pemimpin politik untuk bersama menyumbangkan idea dan tenaga dalam usaha membantu kerajaan menyelesaikan krisis kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup ini.

    “Jadikan kesejahteraan rakyat keutamaan dalam masa sukar ini dan lupakan perbalahan yang merugikan negara,” jelasnya.

  • Mohamaddin Ketapi keluar Bersatu, jadi wakil rakyat bebas

    Mohamaddin Ketapi keluar Bersatu, jadi wakil rakyat bebas

    AHLI Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi mengumumkan keluar dari Bersatu dan menjadi wakil rakyat bebas.

    Memetik laporan FMT, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama itu memberi alasan beliau tidak diberi apa-apa peranan sejak menyertai parti itu November lalu.

    Beliau akan menjadi Ahli Parlimen dan ADUN bebas yang menyokong kerajaan.

    Mohamaddin pernah mencetuskan kontroversi semasa berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sekitar September 2020 apabila mendakwa insiden serangan kumpulan pengganas Kiram di Kampung Tanduo, Lahad Datu sebagai sandiwara.

    Ketika itu beliau masih bersama Warisan dan berkempen di Kampung Wawasan Lahad Datu.

    “Sandiwara bohong membunuh orang. Kamu ingat dahulu PRU (pilihan raya umum) yang lalu, dia bilang Filipina mau ambil Sabah, jadi ada peperangan, datanglah jet dibomnya kelapa sawit orang, habis semua kelapa sawit orang.

    “Habis rumah orang, koyak ditembak, ini kenyataan. Disuruh kereta kebal masuk kampung suruh berperang sama ayam, ayam sama anjing lawan dia berperang, apabila habis pilihan raya tiada pula peperangan itu.

    “Tetapi saya ingat, saya wakil rakyat Lahad Datu,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

    Dalam insiden itu, seramai 10 wira negara terkorban dalam Op Daulat semasa mempertahankan bumi Sabah daripada pencerobohan pengganas Sulu, termasuk serangan hendap di Tanduo, Lahad Datu dan Simunul, Semporna.

    Tidak cukup dengan itu, Mohamaddin yang pernah menjadi Menteri Pelancongan dan Kebudayaan semasa era rejim Pakatan Harapan (PH) pernah mendakwa kononnya penularan COVID-19 yang meningkat semasa PRN Sabah sebagai konspirasi politik.