SUAMI isteri tergamak meninggalkan mayat anak selepas cemas kenderaan dinaiki yang disyaki membawa dadah terbabit kemalangan di Jalan Sungai Kelamah-Jelai-Gemas, Negeri Sembilan.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 malam kelmarin, pasangan berusia lingkungan 20-an dan 30-an itu melarikan diri dengan menaiki pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Portal FMT melaporkan, difahamkan, kenderaan itu milik seorang pengguna jalan raya yang berhenti untuk memberikan bantuan awal kepada mangsa terlibat kemalangan.

Ketua Polis Tampin, Anuwal Ab Wahab, berkata kemalangan berlaku ketika pasangan terbabit bersama seorang anak berusia dua tahun dalam perjalanan dari Felda Jelai ke Felda Bukit Jalor.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, katanya, suspek lelaki yang memandu kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback itu cuba memotong sebuah lori sebelum gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke kanan jalan.

“Kenderaan itu berpusing beberapa kali sebelum bergesel dengan sebuah lori. Akibat kemalangan itu, kedua-dua penumpang kereta tercampak keluar.

“Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tercampak di tengah-tengah jalan raya, kemudian digilis sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti,” katanya menurut laporan Kosmo.

Anuwal berkata, pasangan terbabit berjaya ditahan di rumah mereka di Felda Bukit Jalor dan pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan yang dipandu lelaki berkenaan telah menemui dadah.

Beliau berkata, polis membuka tiga kertas siasatan iaitu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1985.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here