PIHAK polis sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai dakwaan rogol seorang tukang besi terhadap anak saudaranya di Bandar Mutiara, Sungai Petani kira-kira pukul 12.30 tengah malam Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya tidak menolak sekiranya suspek berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian.

Menurutnya, lelaki berusia 34 tahun yang merupakan bapa saudara mangsa melakukan perbuatan itu ketika remaja perempuan berumur 15 tahun itu sedang menumpang tidur di rumahnya.

“Turut berada dalam bilik tidur sama ialah ibu saudara (isteri suspek) dan dua sepupu mangsa yang berusia tujuh dan lapan tahun.

“Kita percaya pasangan suami isteri itu berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian berlaku,” kata Zaidy semasa dihubungi Sinar Harian.

Tambah beliau, meskipun percaya pasangan itu sedang mabuk, pihaknya masih tidak mengetahui jenis minuman yang diambil kedua-dua mereka.

Dalam kejadian Sabtu lalu itu, suspek dikatakan memasuki bilik tidur sebelum meraba dan merogol mangsa.

Mangsa difahamkan tidak menjerit disebabkan perasaan takut terhadap tindakan bapa saudaranya sendiri itu.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa terdapat seorang remaja dirogol ketika menumpang tidur di rumah bapa saudara kerana nenek yang menjaga mangsa pulang ke kampung di Pendang selama dua hari.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here