Oleh DATUK AHMAD YAHAYA

SAYA menekuni kenyataan Rafizi Ramli semalam mengenai agihan peruntukan kepada negeri-negeri yang ditadbir oleh parti pembangkang kepada kerajaan Persekutuan khususnya Kedah, Kelantan Perlis dan Terengganu.

Beliau mengatakan negeri-negeri ini menerima peruntukan yang lebih dalam belanjawan, namun tiada perancangan ekonomi yang baik.

Kenyataan tersebut tidak kurang lebih bersifat dendam politik yang tidak berkesudahan.

Soal peruntukan pembangunan kepada negeri-negeri miskin yang ditadbir oleh PAS-PN ketika ini bertujuan mengurangkan kesenjangan ekonomi antara wilayah yang menjadi fokus utama Kementerian beliau.

Perkara ini telah dihadam dengan lumat dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Parlimen.

Adakah Rafizi Ramli masih tidak memahami antara tugas dan tanggungjawab beliau dalam Kementerian Ekonomi meskipun selepas lebih lapan bulan mentadbir?

Soal prestasi ekonomi negeri-negeri ini tidak sepatutnya diukur dengan prestasi semasa semata-mata. Ia perlu menilai kepada unjuran peningkatan petunjuk utama ekonomi negeri-negeri bagi beberapa tahun akan datang.

Kesemua yang diatur berdasarkan kepada RMK12 mempunyai sasaran tertentu dan bertempoh. Ia bukan satu kayu magik yang boleh mengubah dunia dalam sekelip mata.

Ini bukan formula turun harga minyak boleh selesai semua masalah seperti yang pernah dibentangkan oleh seorang tokoh politik negara dahulu.

Rafizi seharusnya faham soal kesan pengganda (multiplier effect) dalam projek-projek pembangunan yang disalurkan kepada ‘negeri-negeri pembangkang’ ini.

Apatah lagi masing-masing mempunyai garis tanggungjawab yang tersendiri baik di peringkat Persekutuan mahupun Negeri sebagaimana yang termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Saya menyarankan Rafizi agar segera menanggalkan jaket kepartian ketika menjalankan tanggungjawab beliau di Putrajaya.

Serba-serbi beliau mahu menunjukkan politiking yang berlebihan. Ini adalah masa bekerja untuk rakyat, bukan untuk kepentingan kepartian.

Datuk Ahmad Yahaya adalah Pesuruhjaya Pas Kedah merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here