Oleh MOHD. AZAM. MOHD ATAN

KITA semua sudah menyaksikan perjalanan politik Anwar Ibrahim daripada dia mula dipecat oleh Dr Mahathir Mohamad sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Macam-macam kisah yang berlaku dalam politik negara dan kebanyakannya meninggalkan kesan besar dalam kehidupan rakyat.

Ramai yang diheret sama dalam perjuangan politiknya sehingga berlaku rusuhan, penentangan, protes dan mengheret kepada ketidakstabilan politik dalam negara.

Daripada hukuman kes liwat di mahkamah, kisah di penjara sehinggalah kepada pengampunan diraja, pengosongan kerusi secara sengaja, cubaan menukar kerajaan dan macam-macam lagi kejadian.

Semuanya sudah tercatat dalam lipatan sejarah perjalanan hidup Anwar untuk memenuhi cita-citanya menjadi Perdana Menteri.

Dan kini, setelah mendapat jawatan yang diidam-idamkan sejak sekian lama itu, terbongkarlah watak sebenar Anwar Ibrahim.

Rupanya pemimpin yang banyak bertukar kawasan Parlimen itu tidak layak untuk menjadi PM kerana ‘lebih banyak berpolitik daripada melakukan kerja’.

Sepanjang lapan bulan memerintah, prestasi yang ditunjukkan tidaklah sepertimana yang diharapkan kebanyakan rakyat ketika ini.

Anwar dilihat masih membawa karakternya sebagai pembangkang yang leka berpolitik 24 jam.

Sudah banyak kegagalan kerajaan PH-BN diperkatakan oleh rakyat kerana mereka tidak menjangka prestasi Anwar berada di bawah par.

Sindrom menyalahkan kepimpinan terdahulu, salah laku rasuah dan ketirisan hingga negara menanggung hutang yang banyak dijadikan modal mereka sukar untuk menguruskan ekonomi negara dengan baik.

Cakap berpusing-pusing untuk menunaikan segala janji juga perbuatan yang tidak boleh dimaafkan sebahagian besar rakyat.

Sebenarnya rakyat ketika ini tidak mahu mendengar pelbagai alasan kerana peluang yang diberikan untuk memerintah sepatutnya diambil peluang dengan pantas untuk menunjukkan bukti seseorang pemimpin itu pandai menguruskan negara.

Sempena PRN enam negeri ini juga kita dapat lihat bagaimana begitu agresifnya Anwar dan pimpinannya turun berkempen siang malam dan bersungguh-sungguh mahu merampas Kedah, Kelantan, Terengganu serta mengekalkan kuasa di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Anwar dan pimpinannya juga sudah mula berkempen sebelum penamaan calon dan menyalahgunakan jentera kerajaan yang dulunya ditentang ketika mereka menjadi pembangkang.

Mereka juga menggunakan kapasiti sebagai kerajaan mengumumkan pelbagai sumbangan dan bantuan kepada rakyat yang secara jelas ditakrifkan sebagai gula-gula politik.

Belum pernah ada dalam sejarah seorang PM seperti Anwar yang tidak henti-henti turun berkempen seperti mana yang dilakukannya sekarang.

Penulis melihat bahawa tindakan agresif Anwar ketika PRN ini tidak ubah seperti tindakannya berpuluh tahun lalu yang mahu menjadi PM.

Andai kata rakyat memberikan sokongan kepada calon PH-BN pada PRN ini, situasi sama akan berulang yang mana segala penipuan, mungkir janji dan kegagalan pengurusan negara akan berlaku di peringkat negeri pula.

Oleh itu, bagi rakyat Malaysia yang layak untuk mengundi kali ini, usah biarkan onar yang dilakukan Anwar dan pimpinannya di peringkat Pusat berjangkit di peringkat negeri.

Pertahankanlah kepimpinan sedia ada di tiga negeri dan tunjukkan referendum bantahan dengan mengundi calon Perikatan Nasional (PN) di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Turunlah beramai-ramai untuk menunaikan tanggungjawab kerana setiap undi adalah besar nilainya untuk menunjukkan protes terhadap kepimpinan PH-BN yang banyak menipu rakyat.

Semoga dengan signal penentangan ini dapat membuka mata rakyat Malaysia lain supaya melakukan perkara sama pada pilihan raya umum akan datang dan menamatkan kuasa PH-BN kepada hanya sepenggal sahaja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here