Tag: Pulau Batu Puteh

  • Tarik semula tuntutan Batu Puteh, Dr Mahathir jawab tuduhan

    Tarik semula tuntutan Batu Puteh, Dr Mahathir jawab tuduhan

    MALAYSIA menarik balik tuntutannya dalam kes Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa ialah bagi menghormati perjanjian terdahulu dengan Singapura.

    Menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, perjanjian dengan Singapura dengan ICJ
    ialah segala keputusan oleh mahkamah akan diterima oleh kedua-dua pihak.

    Katanya, perjanjian yang sama dibuat antara Malaysia, Indonesia dan mahkamah antarabangsa berkenaan Sipadan dan Ligitan.

    “Jika Malaysia tidak menepati dengan syarat mahkamah antarabangsa bahawa keputusan mesti diterima oleh kedua-dua pihak, Indonesia juga boleh buat tuntutan untuk tidak menepati perjanjian yang sama berkenaan Pulau Sipadan dan Ligitan.

    “Janji antarabangsa oleh sebuah negara berdaulat hendaklah ditunai sebagai amanah. Jika tidak, Malaysia tidak akan dipercayai akan tunai perjanjian dengan negara lain. Malaysia akan hilang kredibiliti,” katanya.

    Beliau menyatakannya dalam entri di Facebooknya bertajuk “Empat Soalan Apandi”.

    Mahkamah Keadilan Antarabangsa memutuskan Sipadan dan Ligitan milik Malaysia pada 2002.

    Mengulas lanjut Dr Mahathir berkata, kesalahan bermula dengan pegawai kerajaan Johor menyatakan kepada British bahawa Batu Puteh bukan milik Johor.

    “Lagipun Malaysia mendapat ‘Middle Rock’ yang boleh ditebus guna sehingga menjadi pulau besar seperti yang diperbuat dengan Pulau Layang-Layang.

    “Fakta baharu, jika ada, sepatutnya dikemukakan kepada mahkamah antarabangsa semasa membuat representasi bahawa Pulau Batu Putih adalah hak Malaysia,” katanya.

    Mengenai tuntutan Sulu, Dr Mahathir berkata, Datuk Seri Najib Razak telah bertindak tanpa mengikuti proses pentadbiran dan tiada bukti tindakannya dipersetujui oleh Peguam Negara pada masa itu atau Kabine.

    “Tuntutan oleh pewaris Sultan Sulu dibuat semasa pemerintahan kerajaan BN (Barisan Nasional) bawah Najib. Kerajaan BN tidak bertindak untuk menolak kuasa perundangan mahkamah Sepanyol atau membayar balik bayaran yang telah dihentikan,” katanya.

  • Laporan penuh kematian Adib, Pulau Batu Puteh, Tommy Thomas Ogos ini:Wan Junaidi

    Laporan penuh kematian Adib, Pulau Batu Puteh, Tommy Thomas Ogos ini:Wan Junaidi

    KERAJAAN akan menerima laporan penuh siasatan dan kajian kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim pada Ogos ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan juga akan menerima laporan isu dan tindakan perundangan kes Pulau Batu Puteh serta siasatan dakwaan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya pada tempoh sama.

    “Jawatankuasa yang dilantik pada Disember tahun lalu minta untuk sambung (tempoh) lagi bagi pihak mereka memperhalusi serta meneliti laporan terbabit.

    “Tempoh lanjut diperlukan bagi kerja-kerja penterjemahan ke bahasa Melayu berikutan ada laporan yang ditulis dalam bahasa Inggeris.

    “Kita akan bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mempunyai kepakaran menterjemah dalam pelbagai bidang demi memastikan tiada kesalahan yang berlaku sekiranya terjemahan selesai dilaksanakan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, jawatankuasa juga berdepan dengan kesukaran untuk memperoleh dokumen dan saksi.

    “Ada kes contohnya kita sukar untuk dapatkan dokumen yang disimpan oleh individu tertentu. Begitu juga dengan saksi… Ada yang yang telah pulang ke negara masing-masing,” katanya.

    Wan Junaidi berkata, kerajaan turut menggunakan semua kepakaran dari dalam dan luar negara di dalam siasatan kes Pulau Batu Puteh.

    “Kita ada menggunakan khidmat pakar dari The Hague, Belanda dan England. Sepatutnya boleh dapat laporan menjelang Ogos,” katanya.

    Sebelum ini Wan Junaidi memaklumkan laporan akhir siasatan kes kematian Muhammad Adib akan dibentang kepada kabinet pada bulan ini.

    12)

  • Pulau Batu Puteh: Rakyat patut tahu sebab di sebalik keputusan PH

    Pulau Batu Puteh: Rakyat patut tahu sebab di sebalik keputusan PH

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, sebab-sebab keputusan kerajaan terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH) tidak meneruskan semakan semula kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan perlu dijadikan pengetahuan umum.

    Baginda menegaskan perkara itu kepada Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan kerajaan Persekutuan bagi menyemak isu-isu dan tindakan perundangan berhubung kes berkenaan.

    “Ini adalah soal kedaulatan negeri Johor. Rakyat Johor berhak untuk mengetahui mengapa kerajaan PH mengambil keputusan sedemikian,” titah baginda, hari ini.

    Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan untuk menerima laporan daripada Pasukan Petugas Khas serta taklimat yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Pengerusi Pasukan Petugas Khas, Tan Sri Mohamed Apandi Ali di Istana Polo, Johor Bahru.

    Yang turut berangkat, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

    Pada 29 Oktober tahun lalu, Kabinet bersetuju membentuk pasukan berkenaan ekoran keputusan kerajaan ketika pentadbiran PH di bawah Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak meneruskan permohonan semakan semula kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2018.

    Ketika itu, Sultan Ibrahim bertitah bahawa keputusan sedemikian seolah-olah mengaku kalah sebelum memasuki gelanggang di mahkamah berkenaan, walaupun ada pertemuan bukti baharu yang memihak kepada Malaysia.

    “Kenapa keputusan untuk tidak meneruskan permohonan itu diambil? Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu,” soal baginda.

  • Kalau hilang Langkawi, bagaimana rasa orang Kedah? – Sultan Johor

    Kalau hilang Langkawi, bagaimana rasa orang Kedah? – Sultan Johor

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, tindakan mesti diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab jika benar ada pihak yang melakukan kecuaian dan kekhilafan dalam tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh.

    Baginda mahukan penjelasan di sebalik tindakan kerajaan ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2018 untuk tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

    “Tindakan sedemikian seolah-olah mengalah sebelum masuk gelanggang. Kenapa keputusan untuk tidak meneruskan permohonan itu diambil sedangkan kita telah menemui bukti baharu yang berpihak kepada kita? Ini yang menyebabkan saya cukup terkilan.

    “Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu? Adakah kita negeri anak tiri? Kalau tak suka Johor… Cuba kalau Malaysia kehilangan Pulau Langkawi kepada Thailand, bagaimana rasa orang Kedah agaknya?

    “Saya mahu pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri dapat menjelaskan punca kerajaan sewaktu pimpinan Dr. Mahathir menarik balik semakan kes berkenaan. Ambil tindakan setegas-tegasnya jika benar berlaku kekhilafan. Ini adalah soal kedaulatan kita,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini,

    Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dalam satu kenyataan telah memaklumkan kerajaan negeri Johor memberi jaminan akan bekerjasama dan membantu pasukan petugas khas kerajaan Persekutuan.

    Penubuhan pasukan itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar perundangan antarabangsa berkenaan kes Pulau Batu Puteh.

  • Pulau Batu Puteh: Khaled jangan tutup kelemahan BN

    Pulau Batu Puteh: Khaled jangan tutup kelemahan BN

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PARTI Amanah Negara (Amanah) menggesa Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tidak cuba menutup kelemahan Barisan Nasional (BN) dengan menuding jari kepada Pakatan Harapan (PH) dalam isu Pulau Batu Puteh.

    Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan bekas Menteri Besar Johor itu lebih kepada bermotifkan politik semata-mata kerana mahu menutup kecuaian kerajaan BN yang di bawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu.

    Ujar Dzulkefly, BN ketika itu bertanggungjawab dalam mengurus serta berunding dengan pelbagai pihak yang mampu mendapatkan hak pulau berkenaan.

    “Kelemahan dan kecuaian BN pada masa itu telah menyumbang kepada kegagalan Malaysia dalam mempertahankan hak tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh di hadapan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang akhirnya terlepas kepada Singapura.

    “Sehubungan itu, Amanah Johor mendesak kerajaan bersikap telus membentangkan kelemahan dan kecuaian dalam mengemukakan bukti diperlukan ketika menuntut hak pulau itu semasa sebutan kes di ICJ pada 2008,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Ahad lalu, Mohamed Khaled mendakwa kerajaan PH bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad harus bertanggungjawab kerana bertindak menarik balik semakan ke atas penghakiman kes berkenaan.

    Namun, Dzulkefly berkata, pada tahun 2018 semasa pemerintahan PH, proses berada di peringkat semakan semula penghakiman (judicial review) ke atas keputusan yang telah dibuat ICJ pada 23 Mei 2008.

    “Tindakan Mohamed Khaled cuba mempolitikkan isu Pulau Batu Puteh ini amat dikesali kerana isu ini adalah berkaitan dengan maruah dan kedaulatan negara serta negeri Johor itu sendiri.

    “Peruntukan semakan semula penghakiman ini diperuntukan di bawah Perkara 61, Statue ICJ,” jelasnya.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum itu berkata, Jemaah Menteri bersetuju pasukan petugas khas diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

    Beliau berkata, usaha tersebut bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pulau Batu Puteh.

  • Pulau Batu Puteh: Bawa pihak terkhilaf ke muka pengadilan

    Pulau Batu Puteh: Bawa pihak terkhilaf ke muka pengadilan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    MENTERI Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menggesa pihak yang melakukan kecuaian dan kekhilafan kerana tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran dalam kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh dibawa ke muka pengadilan.

    Hasni berkata, isu tuntutan Pulau Batu Puteh amat dekat dengan rakyat Johor sama ada daripada sudut sejarah mahupun kedudukan lokasinya.

    “Kerajaan negeri setuju dan akan memberikan sokongan penuh tindakan undang-undang di bawah ‘tort of misfeasance’ ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan kerana tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes tersebut.

    “Perkara itu perlu disegerakan agar mereka yang bertanggungjawab dibawa segera ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    MM2H Johor Pulau Batu Puteh
    HASNI MOHAMAD

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jemaah Menteri bersetuju pasukan petugas khas diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

    Menurut Perdana Menteri, usaha tersebut bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pulau Batu Puteh.

    Sehubungan itu, Hasni memberi jaminan kerajaan negeri Johor akan bekerjasama dan membantu kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan dokumen dan pandangan yang diperlukan oleh pasukan petugas khas berkenaan.

    Tambah beliau, kerajaan negeri juga amat mengalu-alukan dan menyambut baik keputusan dibuat Jemaah Menteri untuk menyemak semula undang-undang berkenaan kes Pulau Batu Puteh.

    “Berdasarkan hasil siasatan itu kelak, kerajaan negeri juga bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab.

    “Johor amat berharap jawatankuasa khas yang ditubuhkan ini dapat melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin dan mendoakan semoga usaha tersebut dipermudahkan dan dikurniakan kejayaan,” ujarnya.

  • Kerajaan tubuh JK khas siasat kematian Adib

    Kerajaan tubuh JK khas siasat kematian Adib

    KABINET memutuskan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet semalam.

    Menurut beliau, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

    “Penubuhan jawatankuasa khas ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kes kematian Allahyarham Adib, 24, yang juga anggota unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mendapat keadilan dan sekali gus pelaku kematian Adib dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Muhammad Adib mengalami cedera parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

    Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

    Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

    Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, Kabinet turut bersetuju untuk menubuhkan sebuah pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap dakwaan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, dalam bukunya yang bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’..

    Beliau menambah, pasukan petugas itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara yang akan dilantik dalam masa terdekat manakala Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak sebagai urus setia.

    “Pasukan petugas khas siasatan yang dicadangkan ini antara lain bertujuan untuk menyiasat dakwaan Tommy Thomas mengenai penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah
    kerahsiaan,” jelasnya.

    Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Kabinet juga bersetuju agar pasukan petugas khas diwujudkan berhubung kes Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca.

    Menurut beliau, pasukan berkenaan akan membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

    “Usaha ini bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pedra Branca/ Pulau Batu
    Puteh.

    “Pasukan petugas khas ini akan dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali,” ujarnya.

    Pada masa yang sama, Ismail Sabri berkata, Kabinet juga telah membuat keputusan untuk mendapatkan pandangan undang-undang awal berkenaan tindakan undang-undang di bawah ‘Tort of Misfeasance’ ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan ekoran tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh.

    Beliau turut menyatakan, ketiga-tiga jawatankuasa yang dipersetujui oleh Kabinet itu akan diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet untuk tindakan susulan.