SEBUAH bot tunda dan tongkang (barge) ditahan pada jarak 0.92 kilometer timur Pulau Kendi, Pulau Pinang semalam kerana disyaki bersauh tanpa kebenaran serta menggajikan kru asing tanpa permit yang sah.
Bot tunda bersama tongkang itu ditahan kapal Maritim (KM) SIKUATI Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang yang sedang melaksanakan Op Pertiwi, sekitar pukul 9 pagi.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot tunda itu dikendalikan lima kru termasuk nakhoda terdiri daripada empat warga tempatan dan seorang warga Indonesia berusia 22 hingga 34 tahun.
Menurutnya, kesemua tahanan didapati memilki dokumen pengenalan diri serta permit kerja namun gagal mengemukakan dokumen kebenaran berlabuh dari Pengarah Laut Malaysia.

Sementara itu katanya, tongkang bermuatan jentera dan bahan binaan pula dikendalikan tiga warga Myanmar berumur 29 hinggga 50 tahun dan mereka ditahan kerana disyaki tinggal di Malaysia melebihi tempoh dibenarkan.
“Nakhoda bersama dua kru bot tunda serta tiga kru tongkang itu dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.
“Kes akan disiasat di bawah kesalahan Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Abd. Razak, jika sabit kesalahan mereka boleh denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu katanya, di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 pula, mereka boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tegas beliau, Maritim Malaysia mengingatkan semua pemilik kapal supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi mengikut undang-undang di laut yang sedia ada.
“Pihak Maritim Malaysia akan sentiasa memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara dipelihara.
“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan boleh menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.
Leave a Reply