Oleh RAHIMI MOHAMAD
MENTERI Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menggesa pihak yang melakukan kecuaian dan kekhilafan kerana tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran dalam kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh dibawa ke muka pengadilan.
Hasni berkata, isu tuntutan Pulau Batu Puteh amat dekat dengan rakyat Johor sama ada daripada sudut sejarah mahupun kedudukan lokasinya.
“Kerajaan negeri setuju dan akan memberikan sokongan penuh tindakan undang-undang di bawah ‘tort of misfeasance’ ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan kerana tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes tersebut.
“Perkara itu perlu disegerakan agar mereka yang bertanggungjawab dibawa segera ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jemaah Menteri bersetuju pasukan petugas khas diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.
Menurut Perdana Menteri, usaha tersebut bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pulau Batu Puteh.
Sehubungan itu, Hasni memberi jaminan kerajaan negeri Johor akan bekerjasama dan membantu kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan dokumen dan pandangan yang diperlukan oleh pasukan petugas khas berkenaan.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga amat mengalu-alukan dan menyambut baik keputusan dibuat Jemaah Menteri untuk menyemak semula undang-undang berkenaan kes Pulau Batu Puteh.
“Berdasarkan hasil siasatan itu kelak, kerajaan negeri juga bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab.
“Johor amat berharap jawatankuasa khas yang ditubuhkan ini dapat melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin dan mendoakan semoga usaha tersebut dipermudahkan dan dikurniakan kejayaan,” ujarnya.