Oleh RIZQI ZABIDI

Masih ada insan yang dikesan sanggup melakukan perbuatan kejam terhadap haiwan dengan pelbagai cara.

Tanpa diketahui tujuan mereka berbuat demikian sama ada untuk kepuasan diri atau sekadar suka melihat haiwan terseksa, perbuatan kejam seumpama itu boleh dianggap tidak bertanggungjawab.

Terkini, seekor anjing yang disembur cat mirip harimau ditemukan mati dan terbiar di tepi jalan berhampiran sebuah pasar raya, di Kulim, Kedah baru-baru ini.

Penemuan bangkai anjing itu dimuat naik oleh seorang pemilik akaun apliksasi TikTok dalam rakaman video yang berdurasi 39 saat.

Individu terbabit mendakwa dia dalam perjalanan pulang dan memaklumkan tidak menyangka masih ada lagi ada harimau di kawasan perumahan.

Pemilik akaun TikTok itu juga mendakwa yang anjing terbabit adalah anak harimau dan bernasib malang kerana mati selepas dilanggar.

Malah, dia sempat berpesan kepada penduduk supaya berhati-hati kerana kononnya bangkai anjing berkenaan adalah harimau belang yang berkeliaran di kawasan perumahan itu.

Tidak dapat dipastikan sama ada badan anjing terbabit disembur ketika ia masih hidup atau sudah mati.

Selain itu, foto tiga anjing dengan badan seekor daripadanya disembur cat mirip harimau turut tular dalam media sosial.

Sumber: YouTube

Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada anjing yang disembur cat itu adalah haiwan sama yang video bangkainya dimuat naik pemilik akaun TikTok terbabit.

Setakat ini, motif individu yang menyembur cat pada badan haiwan terbabit masih belum diketahui namun tindakan itu mengundang kecaman warganet di media sosial.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah Jamalun Nasir Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kes terbabit semalam dan mendapati haiwan yang didakwa harimau itu adalah palsu.

“Kakitangan Perhilitan yang membuat pemeriksaan mendapati haiwan berkenaan sebenarnya adalah anjing yang disembur cat dan kelihatan mirip harimau.

“Kita tidak pasti motif sebenar individu yang sanggup berbuat demikian terhadap anjing terbabit dan kejadian sebegini memang amat dikesali,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here