Tag: Perikatan Nasional

  • Jom Balik Mengundi: Pemuda PN kempen jalan kaki 200 km

    Jom Balik Mengundi: Pemuda PN kempen jalan kaki 200 km

    PEMUDA Perikatan Nasional (PN) melancarkan kempen ‘Jom Balik Mengundi’ dalam usaha menggalakkan pemuda berumur 18 tahun ke atas untuk balik mengundi.

    Kempen unik berjalan kaki mulai 5 hingga 9 Mac itu diharapkan dapat meniupkan semangat para pemuda untuk PRN kali ini.

    Timbalan Ketua Pemuda PN, Wong Chia Zhen berkata, kempen berjalan kaki itu bukan sekadar satu gimik mulut atau omongan kosong sahaja.

    Menurut beliau, Jom Balik Mengundi merupakan satu kempen yang simbolik dengan melibatkan acara berjalan kaki sejauh 200 kilometer dari Ibu Pejabat Gerakan di Cheras sehingga ke Pagoh, Johor.

    “Pemuda PN terutamanya ahli-ahli dari Pemuda GERAKAN akan turut serta dalam pergerakan ini dengan azam semoga ianya dapat menghantar satu mesej tentang kepentingan balik mengundi kepada anak muda,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Chia Zhen turut berkata, PRN Melaka dan Sarawak yang berlangsung baru-baru ini menunjukkan angka tidak melebihi 65.85 peratus dan 60.67 peratus keluar mengundi.

    Beliau memberitahu, semasa PRN Melaka, dengan hanya memenangi jumlah peratusan mengundi sebanyak 37 peratus ia sudah mencukupi untuk Barisan Nasional (BN) menguasai dua pertiga kerusi DUN.

    Kata Chia Zhen, situasi ini jauh berbeza kalau dibandingkan dengan PRU-14 di mana peratusan keluar mengundi lebih tinggi iaitu sebanyak 82.32 peratus,” jelasnya

    “Jom anak muda, Jom balik mengundi. Pergerakan ini bukan sahaja sebuah aktiviti biasa, tetapi ianya digarap untuk menampilkan kepentingan balik mengundi dan seterusnya melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia. Setiap undi adalah penting untuk menjamin masa depan negara”.

    “Ramai anak muda bersikap dingin dan tidak berminat dengan politik negara. Rata rata mengatakan ia tidak penting. Akan tetapi sekiranya semua pemuda yang layak mengundi keluar untuk mengundi, impak ini adalah cukup besar untuk mempengaruhi keputusan PRN Johor nanti.

    “Pada saat yang genting ini, kita perlu berganding bahu. Pemuda PN akan memberi khidmat yang terbaik untuk kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” jelasnya.

    Beliau menambah, ramai anak muda berpendirian bahawa semua parti politik adalah sama, tidak turun mengundi pun tidak memberikan sebarang kesan.

    Jelasnya, pemikiran sedemikian adalah sangat berbahaya, kerana tatkala semua rakyat berfikiran begitu, negara akan dipimpin oleh parti politik yang tidak mampu untuk mentadbir negara seterusnya menjejaskan dasar sosial dan ekonomi negara.

    Chia Zhen memberitahu, pihak beliau telah menjemput parti-parti politik yang lain termasuk daripada BN, Pakatan Harapan (PH), Muda, Warisan dan Parti Bangsa Malaysia.

    “Selain daripada parti politik, NGO-NGO yang turut dijemput termasuk UNDI18 dan Bersih. Hal ini kerana, usaha menggalakkan pemuda keluar mengundi tidak patut dibuat berdasarkan latar belakang politik sahaja.

    “Selagi anda bersetuju dengan kami maka kedatangan anda adalah amat dialu alukan untuk menyertai kempen ini,” ujarnya.

  • PN guna perkataan ‘ikrar’, PH rosakkan maksud ‘manifesto’

    PN guna perkataan ‘ikrar’, PH rosakkan maksud ‘manifesto’

    Oleh RIZQI ZABIDI

    ‘KEROSAKAN’ dilakukan Pakatan Harapan (PH) terhadap maksud perkataan ‘manifesto’ ketika gabungan tersebut diberi peluang memerintah negara sebelum ini, menjadi penyebab mengapa Perikatan Nasional (PN) memilih perkataan ‘ikrar’ bagi merujuk kepada perkara-perkara yang akan dilaksanakan mereka sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

    Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, melalui ikrar tersebut, PN telah meletakkan azam untuk bersungguh-sungguh melaksanakan segala perkara yang telah dijanjikan.

    “Kita tak lagi sebut manifesto sebaliknya perkara itu dipanggil ikrar. Sebabnya sebelum ini ada orang yang telah merosakkan manifesto dengan mengatakan manifesto bukan kitab suci.

    “Sewaktu pemerintahan PH, manifesto boleh diketepikan apabila ia gagal dilaksanakan dengan alasan manifesto bukan kitab suci. Jadi kita tukar manifesto menjadi ikrar dan ia menunjukkan bahawa kita berazam bersungguh-sungguh serta berjanji melaksanakan segala yang dinyatakan,” katanya.

    Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Nurul Hidayah di Pekan Naka, Padang Terap hari ini.

    Semalam Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan ikrar berteraskan lapan tunjang utama berpacukan 24 strategi dan berlandaskan 144 pendekatan yang akan dilaksanakan PN jika mereka memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor nanti.

    Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, lapan tunjang utama yang menjadi fokus PN itu ialah kepemimpinan berintegriti dan bebas, keutuhan ekonomi Johor, keutamaan tangani kos sara hidup, keprihatinan kepada rakyat, kesejahteraan sosial, kecekapan infrastruktur, merancakkan sektor pelancongan dan kelestarian alam sekitar.

    Muhammad Sanusi menambah, ikrar yang dilancarkan itu jelas menjadi satu tawaran menyeluruh buat Johor merangkumi aspek penting pada waktu ini, bagi memulihkan kehidupan rakyat selain membangunkan semula Johor berikutann kehadiran pandemik Covid-19.

    “Saya harap ini akan jadi tawaran terbaik baut pengundi di Johor untuk mereka memilih PN ketika mengundi nanti. Apatah lagi tawaran dalam ikrar tersebut dilihat cukup realistik untuk dicapai.
     
    “Sebagai contoh tawaran 20 meter padu air percuma buat keluarga berpendapatan rendah. Sebelum ini banyak negeri lain yang dah laksanakan perkara tersebut dan kita berikrar untuk melaksanakannya di Johor jika menang nanti,” katanya.

    Sementara itu katanya, tindakan segelintir pihak yang merosakkan poster mahupun banner PN di sepanjang tempoh berkempen di Johor mungkin dilakukan oleh individu yang tidak tahu akan nilai sebenar demokrasi.

    “Saya rasa ini kerja orang tak ada kerja atau tak tahu erti demokrasi. Sekarang ini orang sudah bersikap terbuka dan kempen secara brutal mahu pun samseng tidak akan lagi diterima.

    “Rasanya rakyat sendiri pun tahu siapa yang selalu buat perangai begitu. Saya tak mahulah tuduh sesiapa tetapi rasanya orang Johor pun tahu siapa punya kerja,” katanya.

  • 5 sebab mengapa Bangsa Johor mesti undi PN

    5 sebab mengapa Bangsa Johor mesti undi PN

    DALAM masa sembilan hari lagi, Bangsa Johor akan mengundi untuk memberi mandat kepada parti yang diyakini mampu melonjakkan negeri itu ke tahap yang lebih cemerlang.

    Sememangnya, Perikatan Nasional (PN) yang meletakkan calon-calonnya bertanding di kesemua 56 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan satu-satunya pilihan terbaik berbanding Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) serta parti-parti yang lain.

    Berikut adalah lima sebab mengapa Bangsa Johor mesti mengundi PN:

    1. Bebas daripada cengkaman kluster mahkamah

    Seperti yang sedia diketahui ramai, BN yang didominasi UMNO kini diterajui oleh sekumpulan pemimpin yang dilabelkan sebagai kluster mahkamah. Nilai yang terlibat dalam kes mereka bukan sedikit, sehingga mencecah angka bilion ringgit.

    Situasi yang memalukan negara itu tidak berlaku dalam PN di mana setiap pemimpinnya lebih-lebih lagi Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah bersih dan berintegriti tinggi.

    Malah, setiap calon PN dikehendaki melafazkan ikrar tolak rasuah sebagai manifestasi bahawa mereka akan menjunjung integriti dan amanah setelah membentuk kerajaan negeri Johor nanti.

    1. Ikrar PN bersifat inklusif, bukan retorik

    Ikrar Perikatan Nasional#DemiBangsaJohor yang dilancarkan oleh Muhyiddin semalam dilihat lengkap dalam usaha memastikan tiada mana-mana kelompok terpinggir daripada mendapat limpahan manfaat hasil pembangunan pesat negeri ini dalam pelbagai sektor ekonomi serta sosial.

    Apa yang ditawarkan PN kepada rakyat Johor adalah jauh lebih baik berbanding ‘ikhtiar’ BN yang lebih merupakan gula-gula pilihan raya yang belum tentu akan ditunakan.

    1. PN berpengalaman dalam pemulihan ekonomi

    Barisan kepimpinan PN yang diketuai Muhyiddin mempunyai pengalaman yang diperlukan untuk menerajui Johor dalam era pasca krisis pandemik COVID-19.

    Selaku bekas Perdana Menteri dan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Muhyiddin merupakan aset berharga bagi membantu kerajaan negeri Johor yang baharu di bawah PN nanti untuk memulihkan ekonomi negeri itu.

    Sebaliknya, BN masih belum menunjukkan prestasi memuaskan dalam memulihkan ekonomi Johor yang terjejas akibat COVID-19.

    1. Barisan calon PN lebih seimbang

    Orang baru dan orang lama. Lelaki dan wanita. Berpendidikan dan berpengalaman. Semua dapat dirangkumkan dalam calon-calon yang diketengahkan oleh PN.

    Gandingan yang mantap ini amat diperlukan untuk memperkasakan lagi Bangsa Johor dalam segenap aspek agar lebih gah lagi.

    1. Prihatin aspek kesejahteraan dan kebajikan rakyat

    Dalam bab ini, PN sememangnya nombor satu. Ketika pihak lawan bermain kotor menyerang pimpinan tertinggi PN, calon-calon tetap istiqamah dalam berkempen secara bersih.

    Mereka tidak terjebak menyerang kembali pimpinan parti lawan kerana apa yang lebih penting adalah menyantuni rakyat di kawasan yang bakal diwakili mereka.

    Bangsa Johor juga sudah semakin bosan dengan gelagat murahan yang sering ditunjukkan oleh BN dan PH. Pastinya, sikap prihatin yang ditonjolkan oleh calon-calon PN lebih menarik perhatian mereka berbanding politik kotor yang dimainkan oleh pihak lawan.

  • Aspirasi prihatin rakyat PN pikat pengundi Semerah, Sri Medan

    Aspirasi prihatin rakyat PN pikat pengundi Semerah, Sri Medan

    PERIKATAN Nasional (PN) dijangka mampu menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah walaupun berdepan pertandingan lima penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

    Memetik laporan infojohor, calonnya, Datuk Ariss Samsudin, selaku orang lama dalam politik di kawasan itu, dijangka mampu meraih sokongan pengundi di DUN Semerah walupun diasak empat calon Melayu lain dari Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), PKR dan PUTRA.

    “Peluang semua calon adalah seimbang dan sama rata. Cuma rekod perkhidmatan saya sebelum ini menjadi taruhan untuk dinilaikan oleh pengundi.

    “Saya akan meneruskan pelan saya untuk DUN ini menerusi aspirasi Semerah Prihatin. Ia merangkumi soal kemasyarakatan dan kebajikan, Pendidikan, kesihatan, ekonomi, pembangunan perusahaan mikro dan kecil (PMK), selain peluang ekonom serta pekerjaan untuk belia.

    “Kita rangkumkan ini menerusi prinsip prihatin sebagaimana aspirasi PN dan diperincikan mengikut keadaan di DUN Semerah,” katanya.

    Sebagai anak tempatan, beliau menegaskan: “Sudah tentu saya tidak kekok apatah lagi dalam urusan rakyat; setiap penjuru DUN Semerah saya amat arif di mana rata dan di mana yang berkelok.”

    DUN Semerah mempunyai 46,640 pengundi. Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), DUN Semerah dimenangi calon PKR, Khuzzan Abu Bakar hanya dengan majoriti 98 undi.

    Pada masa sama, Ariss melakukan gerak kerja bagi menyantuni akar umbi sambil menyampaikan mesej serta aspirasi perjuangan PN yang bertunjangkan integriti, prihatin rakyat dan kemakmuran negara.

    Antaranya, beliau semalam melakukan sesi bertemu komuniti di sekitar Pusat Daerah Mengundi (PDM) Peserai dan Simpang Lima selain sesi ramah mesra bersama penduduk perumahan Seri Sulong dan pengunjung pasar malam di situ.

    Gambar: Halim Othman Kepol

    Sementara itu.di DUN Sri Medan, calon PN, Halim Othman Kepol berdepan calon BN, PKR dan Pejuang. DUN Sri Medan mempunyai 32,696 pengundi.

    Antara gerak kerja Halim adalah mengunjungi sekitar Pasar Sri Pasir, dan bersarapan dengan penduduk Parit Sauh selepas solat subuh. Dalam program lain, beliau menyantuni pengunjung dan peniaga di Dataran Peladang Sri Medan.

    Beliau turut mendokong dan menawarkan aspirasi prihatin rakyat untuk penduduk DUN Sri Medan.

  • Ikrar tolak rasuah bukti calon PN junjung integriti

    Ikrar tolak rasuah bukti calon PN junjung integriti

    PAGI lusa akan berlangsung majlis pelancaran Ikrar Perikatan Nasional (PN) #DemiBangsaJohor di sebuah hotel di Johor Bahru.

    Majlis yang bakal disempurnakan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu akan menyaksikan seramai 56 calon PN menandatangani aku janji dan mengangkat sumpah menolak segala perbuatan rasuah, salah guna kuasa dan berikrar memikul tanggungjawab serta amanah bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih.

    Seperti yang dijelaskan beliau sebelum ini, setiap calon yang terpilih telah menjalani dan melepasi proses tapisan yang ketat bagi memastikan mereka bersih daripada sebarang salah laku, bebas daripada kes mahkamah seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

    Malah, beliau menyifatkan, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini adalah peluang keemasan kepada rakyat negeri itu untuk menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang bersih, berintegriti, bertanggungjawab dan prihatin rakyat.

    Sememangnya rakyat Johor berhak menerima kerajaan negeri yang jauh lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

    Semua orang tahu bahawa BN ketika ini dibelenggu oleh kes mahkamah melibatkan pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO.

    Undi yang diberikan kepada BN boleh diterjemahkan sebagai tanda ‘merestui’ penyelewengan dan salah guna kuasa yang didakwa dilakukan oleh mereka semasa berkuasa sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Tidak pasti sama ada BN berani mewajibkan semua calonnya melafazkan ikrar yang serupa seperti yang dilakukan oleh PN.

    Calon-calon PN pada PRN Melaka juga telah melafazkan ikrar yang sama namun pengundi di sana telah tersalah pilih.

    Diharap pengundi di Johor tidak mengulangi kesilapan yang berlaku di Melaka dan memilih PN yang terbukti bersih, prihatin dan berintegriti seperti yang ditunjukkan oleh pentadbiran Muhyiddin ketika beliau menjadi Perdana Menteri dahulu.

  • Anak muda keliru punca tidak mengundi – Calon PN Parit Yaani

    Anak muda keliru punca tidak mengundi – Calon PN Parit Yaani

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor tidak seharusnya menjadi medan untuk memburukkan satu sama lain sebaliknya perlu menjadi medan politik yang sihat sekali gus membentuk budaya politik baharu.

    Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, cara berpolitik lama dengan menyerang antara satu sama lain perlu dihentikan.

    Beliau yang juga Ketua Pemuda PN Pusat itu berkata, keadaan itu menjadi antara faktor yang menjauhkan anak muda untuk keluar mengundi.

    “Kita kena tahu dan kenal pasti kenapa mereka tidak keluar mengundi, kadang-kadang mereka keliru. Kenapa politik menjadi medan pertempuran, bergaduh dan bermacam-macam lagi.

    “Jadi kita kena kenal pasti sebab adik-adik kita ini tidak mahu keluar mengundi, takut ke, tak ‘clear’ ke, tidak rasa ‘confident’ ke. Ini peranan kita sebagai abang-abang untuk beri penerangan yang meyakinkan.

    “Saya cuba ketengahkan politik lebih segar, politik baharu, nafas lebih segar, kita generasi muda bawa politik yang menerangkan. Apa yang kita boleh bawa apa kepada masyarakat,” katanya dalam Program Apa Khabar di Parit Yaani, Batu Pahat, malam tadi.

    Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas Johor itu berkata, penerangan perlu diberi kepada anak muda bahawa PN tidak membawa politik tikam menikam tetapi menawarkan kerajaan yang stabil dan bersih.

    Jelas beliau, sekiranya mana-mana calon menang pilihan raya dengan budaya politik tidak sihat dengan mencaci dan menghina lawan, satu pembentukan budaya politik yang buruk akan berlaku pada masa depan.

    “Kalau kita menang dengan memburukkan orang lain, itu sebenarnya satu pembentukan budaya politik dan bila jadi kerajaan akan dikutuk dan dimaki orang, ini tidak berbaloi. Kita mahukan negeri dan negara yang stabil,” katanya.

    Beliau juga kesal kerana terdapat parti lawan yang menyuburkan budaya tidak malu apabila menampilkan pemimpin dengan gelaran ‘kluster mahkamah’ untuk berkempen dalam PRN Johor.

    “Anak muda ada terkesan dengan kluster mahkamah. Ya, sebenarnya ini sangat mengelirukan, orang yang duduk dalam kluster mahkamah selamba ja keluar berkempen. Anak muda pasti kecewa, kenapa orang ini macam tidak tahu malu, oh ‘tagline’ Malu Apa Bosku, memang takde malu la,” katanya.

  • Israk Mikraj peristiwa penting, mulia – Muhyiddin

    Israk Mikraj peristiwa penting, mulia – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Israk Mikraj merupakan peristiwa penting dan sangat dimuliakan oleh umat Islam.

    Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, Israk Mikraj merupakan perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidilharam ke Masjidil Aqsa (Israk) dan seterusnya ke Sidratul Muntaha (Mikraj) bagi memperoleh perintah solat lima waktu.

    “Marilah kita hayati makna dan roh di sebalik peristiwa ini bagi menjadikan kita manusia yang sentiasa mengingati kebesaran Allah SWT.

    “Semoga peristiwa ini menjadikan kita umat Islam yang sentiasa berlumba-lumba melakukan kebaikan. Salam Israk Mikraj 1443H/2022M,” katanya dalam hantaran Facebook malam ini.

  • Pengalaman Zulkifli jadi wartawan kelebihan fahami rakyat

    Pengalaman Zulkifli jadi wartawan kelebihan fahami rakyat

    PENGALAMAN bertugas sebagai wartawan menjadi kelebihan buat calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Bujang dalam memahami keperluan rakyat seterusnya membantu menyelesaikan isu dihadapi mereka, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, bekas wartawan Bernama TV berusia 44 tahun itu berkata, beliau menceburi bidang kewartawanan sejak berusia 18 tahun, kerjaya yang mengajarnya untuk menyampaikan suara rakyat kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

    “Sebagai wartawan saya bawa isu rakyat kepada pengetahuan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan di sesuatu kawasan, kerana kita faham apa dikehendaki rakyat dan sebagai media kita menjadi pengantara untuk menyampaikan suara mereka (rakyat).

    “Apabila saya menjadi calon di Larkin ini, saya rasa amat faham apa diperlukan oleh rakyat… jadi saya rasa perlu laksanakan apa yang pernah dilalui dahulu. Kalau orang perlukan bantuan maka cari penyelesaian untuk keselesaan penduduk. Maka, itu yang boleh saya tawarkan kepada penduduk khususnya di DUN Larkin ini,” katanya.

    Bekas Setiausaha Akhbar Menteri Dalam Negeri itu berkata demikian semasa menjadi tetamu pada program Suara Johor terbitan Bernama TV hari ini.

    Beliau berkata, pengalaman bekerja dalam sektor awam juga menjadi kelebihan buat dirinya terutama dari aspek pentadbiran dan perkara itu dilihat adalah kualiti yang perlu ada untuk menjadi wakil rakyat.

    Justeru, beliau berharap pengalaman yang dimilikinya itu akan menjadi penanda aras atau ukuran bagi pengundi untuk menilai kualitinya sebagai seorang calon yang bertanding pada PRN Johor.

    Zulkifli berdepan pertandingan enam penjuru, menentang Mohd Hairi Mad Shah (Barisan Nasional), Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Parti Pejuang Tanah Air), Dr Zamil Najwah Arbain (PKR), Rasid Abu Bakar (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) dan NorRamadan Buan (Bebas).

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac depan sebagai hari pengundian PRN Johor manakala undi awal pada 8 Mac.- BERNAMA

  • Tekad Sahruddin selesai isu perumahan generasi kedua Felda

    Tekad Sahruddin selesai isu perumahan generasi kedua Felda

    NAMA Datuk Dr Sahruddin Jamal sememang tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Johor khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong yang diwakilinya sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Bekas Menteri Besar Johor berusia 46 tahun itu dilihat sebagai seorang pemimpin muda yang bersih dan mempunyai tahap integriti yang tinggi.

    Faktor tersebut pasti memberi kelebihan kepada beliau untuk terus kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berakhir.

    Lebih-lebih lagi apabila mengenangkan reputasi Barisan Nasional (BN) yang semakin tercalar ekoran penguasaan kluster mahkamah.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu juga mudah didekati masyarakat setempat dan sentiasa bersedia membantu mereka.

    Salah satu isu yang diberi keutamaan oleh beliau adalah perumahan generasi kedua peneroka Felda.

    Seperti yang dilaporkan Sinar Harian semalam, Sahruddin menjelaskan isu tersebut berpunca daripada masalah tanah yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

    Nampaknya, kerajaan negeri Johor yang diketuai UMNO dan BN gagal menyelesaikan masalah yang membelenggu generasi kedua Felda itu.

    Situasi bakal berubah apabila PN diberi mandat untuk membentuk kerajaan negeri di Johor bagi menggantikan BN.

    Memang terbukti kepimpinan PN khususnya Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa prihatin dengan kebajikan warga Felda.

    Sahruddin pasti memberi komitmen sepenuhnya untuk menyelesaikan isu yang dihadapi generasi kedua Felda di sekitar kawasan DUN Bukit Kepong.

    Malah, sekiranya beliau menjadi Menteri Besar sekali lagi, sudah tentu Sahruddin akan melakukan perkara serupa di seluruh Johor.

    Semua itu hanya dapat direalisasikan jika pengundi memberi kepercayaan kepada Sahruddin dan bukannya calon BN, Ismail Mohamad atau Nur Afiqah M Zulkifli dari Muda dan Md Taib Md Suhut dari Pejuang.

  • BN akan tumbang di Buloh Kasap – Norazman

    BN akan tumbang di Buloh Kasap – Norazman

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap, Norazman Md Diah yakin mampu menumbangkan penyandang dari Barisan Nasional (BN), Datuk Zahari Rasip.

    Beliau berazam untuk menghadiahkan kemenangan buat PN di kerusi tersebut.

    “Bila sebut tentang perasaan, saya lebih bersemangat untuk memastikan kemenangan di DUN Buloh Kasap ini.

    “Malah, ketika diumumkan sebagai calon, perasaan saya juga lebih ke arah komitmen memikul tanggungjawab besar untuk memenangkan parti pada PRN Johor ini,” katanya seperti dipetik dari laporan infojohor.

    Norazman ingin menyampaikan mesej kepada pengundi bahawa PN adalah sebuah parti yang berintegriti, bebas rasuah serta sentiasa prihatin kepada rakyat.

    Pada masa yang sama beliau ingin menarik minat anak muda untuk mengundi PN.

    Norazman, 51, merupakan seorang ahli perniagaan yang aktif dalam kegiatan kemasyarakatan.

    Beliau juga ialah Pengerusi Persatuan Badan Kebajikan Masyarakat Jementah.

    Selain Norazman dan Zahari, C Subramani (PKR) dan Mohd Hanafi Ahmad (Pejuang) turut bertanding di DUN Buloh Kasap.

    Zahari memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan beroleh majoriti 877 undi.