POLIS sedang menyiasat satu rakaman video berbaur ugutan yang dibuat semasa satu ceramah politik bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan tular dalam media sosial.

Memetik laporan Utusan TV, dalam video berdurasi 1:22 saat itu menunjukkan penceramah telah meminta pihak polis melanjutkan tempoh masa berkempen, namun tidak dibenarkan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, penceramah tersebut kemudiannya telah mengeluarkan ungkapan “Bila kita jadi kerajaan balik, korang taulah nanti” dalam bahasa Cina.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, ceramah yang diadakan pada 26 Februari di bilik gerakan sebuah parti politik di Yong Peng, Batu Pahat bermula pukul 8.30 malamdan berakhir pada pukul 10 malam.

“Ceramah berkenaan mempunyai permit polis dan tiada pelanggaran SOP dikesan semasa pemantauan dilakukan.

“Susulan daripada itu juga pihak polis telah menerima laporan daripada orang awam berkaitan video tersebut dan sedang menjalankan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Mengulas lanjut Ismail berkata, pihak polis menyeru kepada semua parti politik yang bertanding supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Mereka juga diminta mematuhi arahan Pegawai Penguatkuasa yang bertugas bagi sama-sama membendung penularan COVID-19,” tambahnya.

Difahamkan, ceramah politik tersebut melibatkan seorang Ahli Parlimen pembangkang yang pernah menjadi menteri Kabinet semasa rejim Pakatan Harapan (PH) berkuasa dahulu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here