Tag: PDRM

  • Lelaki maut, rakan parah dalam kemalangan 3 kereta

    Lelaki maut, rakan parah dalam kemalangan 3 kereta

    SEORANG lelaki maut manakala rakannya cedera parah selepas kereta Perodua Axia dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan dua lagi kenderaan dalam kejadian di Jalan Raja Uda, di Butterworth tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Mohd Radzi Ahmad berkata, lelaki berusia 29 tahun yang merupakan penumpang hadapan maut ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan rakannya berumur 20-an yang duduk di kerusi belakang dalam keadaan kritikal dirawat di hospital sama.

    Katanya, pemandu kereta Perodua Axia iaitu seorang lelaki berusia 20-an mengalami cedera ringan dalam kemalangan yang berlaku pada 12.15 tengah malam itu.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Axia yang sedang membelok ke kanan jalan bertembung dengan kereta Honda City yang datang dari arah bertentangan.

    “Akibat perlanggaran itu, kereta Perodua Axia berpusing dan melanggar Perodua Alza yang sedang berhenti di tepi jalan di situ, kedua-dua lelaki yang memandu Honda City dan Perodua Axia mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Radzi berkata, siasatan lanjut berhubung kemalangan itu masih dijalankan menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Geng Nigeria seludup keluar minyak masak paket guna cerek

    Geng Nigeria seludup keluar minyak masak paket guna cerek

    POLIS Klang Utara menahan tiga lelaki warga Nigeria yang dipercayai menyeludup keluar minyak masak paket bersubsidi 1 kilogram (kg) pelbagai jenama menggunakan cerek air dan periuk nasi elektrik di sebuah premis perniagaan di Bandar Baru Klang, tiga hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP S Vijaya Rao berkata, kegiatan tiga individu berusia sekitar 30-an hingga 40-an yang menjalankan perniagaan jual beli alat ganti kenderaan terpakai itu terbongkar selepas pihaknya melakukan serbuan sekitar 2 petang di premis tersebut rentetan daripada aduan orang awam berhubung kegiatan mereka.

    Vijaya Rao berkata, pihaknya turut merampas antaranya 1,100 paket minyak masak bersubsidi 1kg pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM2,750; 225 unit cerek air terpakai pelbagai kapasiti liter bernilai RM7,000 dan 51 peralatan elektrik pelbagai jenis bernilai RM3,000 dengan nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM18,910.

    “Modus operandi mereka ini adalah dengan membeli minyak masak paket bersubsidi daripada orang tempatan. Mereka kemudiannya menyembunyikan dua hingga tiga paket minyak di dalam sebuah cerek dan periuk nasi elektrik mengikut kapasiti sebelum dihantar ke Nigeria menggunakan kontena dari negara ini.

    “Kami percaya harga minyak masak yang tinggi di Nigeria membuatkan mereka bertindak menyeleweng barang bersubsidi ini. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung berapa banyak minyak paket yang telah dihantar ke sana,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, hari ini.

    Vijaya Rao berkata, semakan rekod mendapati pasport ketiga-tiga suspek itu telah tamat tempoh sejak tiga tahun lepas dan mereka telah menyewa premis perniagaan itu daripada seorang pemilik tempatan sejak lima tahun lalu serta premis itu mempunyai lesen untuk beroperasi.

    “Kita kini sedang giat mengesan pemilik premis tersebut dan ketiga-tiga mereka direman empat hari yang akan tamat esok dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961; Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 55B serta Seksyen 39 (b) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – BERNAMA

  • Kumpulan Tiger tumpas, senjata Colt M-4 dirampas

    Kumpulan Tiger tumpas, senjata Colt M-4 dirampas

    POLIS menumpaskan kumpulan Tiger yang aktif dalam pelbagai kegiatan jenayah sejak 2009 selepas penahanan seorang peniaga sayur dipercayai ahli terakhir kumpulan itu, Ahad lepas.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, suspek berumur 35 tahun merupakan adik kepada suspek yang ditembak mati dalam serbuan pada malam 18 Jun lepas di Salak Selatan, di sini.

    Beliau berkata, suspek warga tempatan itu ditahan di Kampung Tumbok di Tanjung Sepat, Selangor.

    “Penahanan itu telah memaksa suspek mendedahkan maklumat penyimpanan senjata api jenis Colt M-4 yang telah dipisahkan di dalam sebuah paip PVC di sebuah reban ayam di kampung berkenaan.

    “Turut ditemukan di dalam paip berukuran 150 mm x 94 cm itu ialah dua kelopak dan 69 butir peluru jenis 5.6 mm,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata, suspek dan sembilan lagi yang ditahan sejak 18 Jun lepas disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 7 Bahan Letupan 1957.

    Sementara itu, Azmi tidak menolak kemungkinan kesemua empat senjata jenis CZ 75 Compact, CZ 75 D Compact, Smith & Wesson dan Colt M-4 dan sebutir bom yang dirampas telah digunakan kumpulan Tiger dalam tiga kes bunuh dan jenayah lain seperti yang dilaporkan sebelum ini.

    Kumpulan yang dianggotai suspek berumur 28 hingga 67 tahun itu dipercayai telah melakukan 15 kes samun, tiga kes bunuh dan pelbagai kes melibatkan dadah, pecah rumah dan curi kenderaan.

    Pada 18 Jun, polis menahan sembilan suspek dan menembak mati seorang daripadanya dalam operasi di sebuah kondominium di Salak Selatan. – BERNAMA

  • Nur Hidayati hilang sejak 20 Jun, bantuan orang ramai diperlukan

    Nur Hidayati hilang sejak 20 Jun, bantuan orang ramai diperlukan

    POLIS sudah menerima laporan berhubung kehilangan seorang remaja perempuan dikenali sebagai Nur Hidayati Duwaijah Mazlan sejak 20 Jun lepas di Kampung Bandar Dalam, Sentul, Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, laporan mengenai kehilangan remaja berusia 17 tahun itu diterima daripada ibunya pada 21 Jun lepas.

    Beliau berkata, siasatan mendapati remaja itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya iaitu sebuah kondominium di Kampung Bandar Dalam pada 7.20 petang.

    “Remaja berkenaan dikatakan telah keluar dari rumah mereka untuk ke kedai dan sehingga kini, masih gagal dihubungi,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

    Beh berkata, Nur Hidayati berketinggian kira-kira 145 sentimeter itu, yang berkulit cerah, berbadan sederhana dan kedua-dua matanya berwarna coklat, kali terakhir dilihat memakai baju berwarna merah serta seluar hitam dan kehilangannya telah dihebahkan melalui Nur Alert.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Noramalina Md Jamil di talian 017-318 5868 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2222. – BERNAMA

  • Lima ditahan curi kereta jual sebagai besi buruk

    Lima ditahan curi kereta jual sebagai besi buruk

    LIMA individu termasuk seorang wanita ditahan dalam dua operasi Ahad lepas kerana disyaki mencuri sejumlah kereta lama untuk dijual sebagai besi buruk.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak berkata, susulan penahanan itu polis turut menemukan dua kereta yang dilaporkan hilang pada Sabtu lepas di Bandar Baru Ampang.

    “Sabtu lepas (18 Jun) kira-kira 8 pagi, seorang lelaki berusia 54 tahun yang bekerja sebagai pemandu van mendapati kereta jenis Mitsubishi Tredia dan Mitsubishi Galant miliknya yang diletakkan di bahu jalan Bandar Baru Ampang hilang dipercayai dicuri.

    “Susulan itu, polis pada keesokan harinya menahan seorang lelaki berumur 42 tahun di sekitar Ampang dan suspek kemudian membawa polis ke sebuah premis menjual besi buruk lalu menemukan sebuah lori dan dua kereta yang dilaporkan hilang pada Sabtu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata polis seterusnya menahan empat lagi individu berusia antara 20 dan 40 tahun termasuk seorang wanita di sekitar Jinjang, Wangsa Maju dan Ampang.

    Tiga daripada mereka termasuk wanita itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan semua mereka direman hingga esok bagi membantu siasatan Seksyen 379A Kanun Keseksaan, katanya. – BERNAMA

  • Suspek kes dadah mati ketika dalam tahanan polis

    Suspek kes dadah mati ketika dalam tahanan polis

    SEORANG tahanan polis warga tempatan mati mengejut pada Isnin lepas ketika menerima rawatan di Hospital Shah Alam.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, lelaki berumur 39 tahun itu telah ditahan di Lokap Berpusat Shah Alam pada 15 Jun bagi siasatan di bawah Sekyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

    Beliau berkata, pada hari yang sama, lelaki berkenaan cuba menggantung diri di lokap tersebut namun telah diselamatkan dan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan.

    “Dia dirawat di Hospital Shah Alam mulai 15 Jun, namun pada 20 Jun pukul 5.40 petang pegawai perubatan telah mengesahkan bahawa lelaki itu telah meninggal dunia di hospital tersebut.

    “Punca kematian belum diketahui dan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut,” katanya. – BERNAMA

  • Wanita warga asing disyaki curi barang kemas majikan RM15,000

    Wanita warga asing disyaki curi barang kemas majikan RM15,000

    POLIS menahan seorang wanita warga asing semalam kerana disyaki mencuri barang kemas milik majikannya, yang dianggarkan bernilai RM15,000.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata, suspek berusia 35 tahun itu, ditahan kira-kira 2 petang semalam di sebuah rumah di Pasir Puteh di Ipoh.

    Katanya, penahanan itu dibuat susulan laporan polis diterima daripada seorang wanita pada 3 petang Sabtu lepas, apabila mengesyaki barang kemas miliknya dicuri oleh suspek yang datang menjalankan kerja-kerja pembersihan di rumahnya, di Taman Rapat Setia Baru di Ipoh.

    “Dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas laporan polis diterima, polis berjaya menahan suspek yang baharu sahaja bekerja di rumah mangsa sejak sebulan lalu, dengan melakukan kerja-kerja pembersihan sebanyak tiga kali seminggu.

    “Polis turut merampas pelbagai barang kes disyaki milik mangsa bernilai kira-kira RM13,000 dan resit-resit pajak gadai semasa tangkapan dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Yahaya berkata, suspek direman selama empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan. – BERNAMA

  • Ali Imran hilang sejak Khamis

    Ali Imran hilang sejak Khamis

    POLIS memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang sejak Khamis lepas.

    Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, remaja itu dikenali sebagai Ali Imran Naseruddin yang beralamat di No 5, Nilam Terraces, Bandar Bukit Puchong 2.

    “Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang Sarjan Nur Arfidah Mohamed di talian 012-7955 961 atau balai berdekatan untuk tindakan lanjut,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kali terakhir Ali Imran dikesan melalui kamera litar tertutup pos kawalan sedang berjalan kaki seorang diri keluar dari kawasan perumahan itu pada 3.57 pagi.

    “Laporan polis dibuat oleh ibu remaja berkenaan pada 6.52 pagi hari yang sama.

    “Remaja berkenaan memakai seluar jeans, kemeja T, jaket, bertopi, kasut serba hitam dan menggalas sebuah beg kalis air berbentuk silinder warna biru, mempunyai ketinggian 170 sentimeter dan berambut hitam pendek,” katanya. – BERNAMA

  • Rugi RM583,555 ditipu pelaburan melalui WhatsApp

    Rugi RM583,555 ditipu pelaburan melalui WhatsApp

    SEORANG peniaga wanita dari Port Dickson kerugian RM583,555 selepas menjadi mangsa skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan menerusi aplikasi WhatsApp pada 14 Feb lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Supt Aibee Ab Ghani berkata, mangsa berusia 35 tahun itu telah menerima pesanan menerusi WhatsApp daripada seorang lelaki tidak dikenali yang menawarkan skim pelaburan melalui aplikasi ‘RRR68.club’.

    “Tertarik dengan tawaran tersebut, wanita berkenaan melakukan pembayaran sebanyak 52 transaksi berjumlah RM583,555 ke dalam 13 akaun bank bermula 15 Feb sehingga 23 April lepas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, mangsa berasa ditipu selepas mendapati aplikasi WhatsAppnya telah disekat oleh individu terbabit pada bulan lepas.

    Katanya, mangsa telah membuat laporan polis dua hari lepas dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Lelaki warga emas maut motosikal terperosok bawah treler

    Lelaki warga emas maut motosikal terperosok bawah treler

    SEORANG lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya terperosok di bawah treler dalam insiden kemalangan di Jalan Industri Semambu 6, Semambu, Kuantan, semalam.

    Memetik laporan Sinar Harian, penunggang motosikal jenis Demak EX90 yang dikenali sebagai P Rajakamaran, 62, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi itu.

    Pembonceng motosikal, V Karthigesu, 18, dan pemandu treler, Muhamad Alif Jani, 30, tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berlaku ketika treler tanpa muatan itu dalam perjalanan dari arah Jalan Industri Semambu 6 menghala ke Jalan Industri Semambu 5.

    Beliau berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, treler tersebut membelok ke kiri untuk memasuki simpang ke Jalan Industri Semambu 5.

    “Motosikal yang dinaiki mangsa bersama pembonceng yang datang dari arah sama terlanggar bahagian tayar hadapan treler berkenaan.

    “Mangsa terjatuh terperosok di bawah kenderaan itu bersama motosikalnya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian ekoran kecederaan parah yang dialaminya,” katanya.

    Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan bomba sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.

    Menurut beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.