Tag: PDRM

  • PDRM, SPRM kongsi maklumat siasatan pemimpin politik terlibat aktiviti judi dalam talian

    PDRM, SPRM kongsi maklumat siasatan pemimpin politik terlibat aktiviti judi dalam talian

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang berkongsi maklumat siasatan berhubung terdapat penglibatan pihak politik dalam aktiviti judi dalam talian.

    Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, pihaknya sentiasa memantau kegiatan yang menimbulkan kemudaratan kepada masyarakat dan negara.

    Beliau memberitahu, PDRM telah menerima maklumat bahawa terdapat penglibatan pemimpin politik dalam aktiviti judi dalam talian.

    “PDRM mengulangi komitmen yang tidak akan membiarkan kegiatan yang menimbulkan kemudaratan kepada masyarakat dan negara serta segala langkah yang diambil adalah berteraskan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam mengesahkan kegiatan perjudian dalam talian dinaungi pemimpin politik.

    Menurutnya, elemen itu menjadi kekangan terbesar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PRDM serta kerajaan secara keseluruhannya dalam usaha membanteras kegiatan itu.

  • Dadah RM4.5 juta dirampas dari dalam kereta, kondominium

    Dadah RM4.5 juta dirampas dari dalam kereta, kondominium

    POLIS merampas dadah seberat 123.2 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM4.5 juta dan menahan seorang lelaki disyaki pengedar dalam operasi khas di Cheras dan Selangor pada hari Jumaat dan Sabtu lepas.

    Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata lelaki berumur 29 tahun itu ditahan di tempat letak kereta di sebuah pasar raya di Cheras, dan selepas diperiksa polis menemukan 114 kg dadah jenis syabu di dalam kereta jenis Toyota Vellfire milik suspek.

    Beliau berkata susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah kondominium di Ampang yang disewa suspek pada 15 April, dan hasil pemeriksaan pihaknya merampas 1.8 kg ekstasi; 1.3 kg eramin 5; 3 kg ketamin dan 3.1 kg syabu.

    “Ujian saringan awal polis mendapati suspek negatif daripada sebarang jenis dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Suspek juga tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan itu sebagai pendapatan utama.

    “Polis percaya suspek mendapatkan bekalan dadah dari utara Semenanjung dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan ahli-ahli sindiket yang lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

    Yahaya berkata modus operandi kegiatan pengedaran dadah itu adalah dengan menjadikan rumah “gated and guarded” dan kereta mewah sebagai stor simpanan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

    “Jumlah keseluruhan rampasan dadah itu mampu untuk menampung penggunaan seramai 750,000 orang. Suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – BERNAMA

  • Hanya bayar RM50 bagi saman trafik sehingga 21 Mei – PM

    Hanya bayar RM50 bagi saman trafik sehingga 21 Mei – PM

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan memberikan kadar khas bayaran saman selama sebulan mulai Jumaat, 21 April ini sehingga 21 Mei depan bagi semua saman trafik.

    Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, setiap saman boleh dilunaskan dengan kadar harga hanya RM50.

    Bagaimanapun beliau menjelaskan, kadar khas itu adalah bagi kesalahan tahun 2022 dan sebelumnya.

    Selain itu katanya, kadar khas tersebut tidak terpakai bagi saman trafik yang dikeluarkan tahun ini.

    “Walaupun begitu, PDRM komited untuk terus memastikan keselamatan jalan raya pada tahap yang optimum terutama pada musim perayaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena Hari Raya Aidilfitri, hari ini.

    Mengulas lanjut, Anwar berkata, PDRM akan melaksanakan Op Lancar selama dua hari sehingga esok bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

    Beliau berkata, Op Lancar akan memfokuskan kepada laluan yang dijangka mengalami kesesakan.

    “Selanjutnya, Op Selamat 20 pula akan dilaksanakan bermula 20 April bagi tempoh tujuh hari dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’.

    “Bagi tujuan ini, PDRM juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk memastikan laluan-laluan hotspots seperti susur masuk dan keluar di plaza tol misalnya, tidak mengalami kesesakan lalu lintas,” jelas beliau.

  • Tak boleh main bunga api ganggu ketenteraman selepas 12 tengah malam – PDRM

    Tak boleh main bunga api ganggu ketenteraman selepas 12 tengah malam – PDRM

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan, bermain bunga api selepas pukul 12 tengah malam sehingga mengganggu ketenteraman atau membahayakan orang lain adalah kesalahan yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13, Akta Kesalahan Kecil 1955 [Akta 336].

    Amaran itu dikeluarkan Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin menerusi satu kenyataan hari ini.

    Menurutnya, akta berkenaan memperuntukkan denda tidak melebihi RM100, jika sabit kesalahan.

    “Bunga api merupakan bahan letupan dikategorikan sebagai Dangerous Good Cargo (DGC) dan Hazard Class Division (HCD) 1.4g. Sekiranya dimainkan secara merbahaya boleh mendatangkan kecederaan.

    “Bermain bunga api hendaklah membakarnya di kawasan lapang agar tidak mengganggu ketenteraman awam dan mendatangkan kegusaran kepada penduduk setempat,” katanya.

    Mengulas lanjut Noorsiah berkata, individu yang sengaja menyebabkan letupan atau menyimpan bahan letupan dengan niat untuk menyebabkan bahaya kepada nyawa atau harta benda pula boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957.

    Katanya, ia membawa hukuman penjaran tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    “PDRM mengingatkan seluruh masyarakat terutamanya ibu bapa, hendaklah mengawasi anak-anak ketika bermain bunga api, bertanggungjawab serta mengamalkan langkah-langkah keselamatan semasa mengendalikan bunga api dalam mana-mana sambutan perayaan,” katanya menurut laporan Astro AWANI.

  • Tiada lesen jual bunga api, 120 ditahan babit rampasan lebih RM3 juta

    Tiada lesen jual bunga api, 120 ditahan babit rampasan lebih RM3 juta

    POLIS menahan sebanyak 120 individu di seluruh negara kerana melanggar syarat, tidak mempunyai lesen dan menjual bunga api yang tidak dibenarkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM3,389,180.

    Rampasan itu bagi tempoh 28 Mac hingga 9 April lalu.

    Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata kesemua kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

    “Polis Diraja Malaysia sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan secara menyeluruh serta berterusan di seluruh negara termasuk terhadap penjualan bunga api dan mercun secara dalam talian melalui platform media sosial serta e-dagang.

    “Orang ramai diingatkan supaya tidak terlibat dengan penjualan bunga api dan mercun secara haram kerana tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut Noorsiah berkata polis telah menerima sebanyak 6,526 permohonan bagi mendapatkan lesen menjual bunga api dan mercun di seluruh negara sempena perayaan Aidilfitri tahun ini.

    Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 5,188 permohonan diluluskan, manakala 1,338 telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

  • Diskaun kompaun dan saman PDRM sehingga 60 peratus

    Diskaun kompaun dan saman PDRM sehingga 60 peratus

    SEMPENA Hari Polis Ke-216, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pengurangan kadar kompaun dan saman sehingga 60 peratus bermula hari ini.

    PDRM berkata, tawaran itu diberikan kepada pesalah trafik tertakluk kepada saman terpilih sehingga 31 Mac ini.

    “Tawaran pengurangan kompaun saman trafik secara dalam talian sehingga 60 peratus tertakluk kepada saman terpilih melalui aplikasi MyBayar Saman dan secara fizikal di semua kaunter bayaran trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Daerah di seluruh negara.

    “Pengurangan kompaun tidak ditawarkan bagi kesalahan termasuk kemalangan, bicara mahkamah, waran, kenderaan berat, memotong secara bahaya, menggunakan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat, pengubahsuaian ekzos dan saman Op Selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Orang ramai yang mahu membuat bayaran boleh mendaftar MyBayar Saman dan tidak perlu beratur panjang di kaunter bayaran trafik.

    Pendaftaran boleh dibuat menerusi portal https://mybayar.rmp.gov.my; Google playstore; Apple store dan Huawei Appstore.

  • ‘Jangan bagi muka, tangkap peserta pesta LGBT’ – Pekemas

    ‘Jangan bagi muka, tangkap peserta pesta LGBT’ – Pekemas

    PERTUBUHAN Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) menggesa pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat video tular dipercayai ada kaitan dengan pesta lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) atau perarakan kumpulan seks songsang yang didakwa berlaku di ibu negara.

    Presidennya, Faizan Mohd Noor berkata, jika benar wujud perarakan sedemikian, pihak polis harus menangkap semua peserta dan mengenakan tindakan sewajarnya sebagai pengajaran agar acara seperti itu tidak berulang.

    Menurutnya, walaupun tidak dinamakan secara khusus, perarakan LGBT itu dilihat berselindung di sebalik penganjuran perhimpunan Women’s March Malaysia 2023 apabila kebanyakan peserta dilihat memegang bendera pelangi yang jelas merupakan simbol LGBT.

    “Jangan bagi muka, keadaan sebegini boleh menimbulkan huru-hara dalam negara.

    “Pemimpin politik kerajaan juga harus bertindak dan menyiasat siapa dalang di sebalik penganjuran acara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro AWANI.

    Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya dalam satu kenyataan bertegas, penganjur perhimpunan itu akan dipanggil untuk disoal siasat berhubung perarakan yang diadakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka di ibu negara.

    Jawatankuasa penganjur Women’s March Malaysia 2023 bagaimanapun mengecam sekeras-kerasnya siasatan polis terhadap perhimpunan dan perarakan yang didakwa sempena Women’s March Malaysia 2023.

    Sekitar 150 individu terdiri daripada aktivis hak asasi (NGO), mahasiswa dan ahli parti politik menyertai perhimpunan tersebut sambil memegang plakad, yang antaranya tertulis “Imagine If Men Are As Disgusted With Rape As With Periods, Child Not Bride, Trans Women Are Women, Police Your Behaviour Not My Body”, dan lain-lain lagi.

    Kesemua individu yang sedang dikenal pasti terlibat dalam perhimpunan tersebut akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk diambil keterangan bagi siasatan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Kesalahan Kecil 1955.

    Baru-baru ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memuji pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengiktiraf LGBT serta konsep negara sekular.

    Titah baginda, jaminan itu bertepatan waktunya untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan serius memelihara prinsip Islam berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

  • PDRM, Rela siap sedia kawal di mahkamah

    PDRM, Rela siap sedia kawal di mahkamah

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) bersedia sedia seawal pagi bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

    Selain memastikan suasana terkawal, anggota keselamatan negara itu berusaha memastikan laluan ke lokasi bangunan kehakiman tersebut berjalan lancar.

    Selain anggota polis, petugas daripada Jabatan Sularelawan Malaysia (Rela) turut bersiap sedia di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

    Semua langkah keselamatan itu digerakkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan memastikan suasana terkawal apabila Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di mahkamah pagi ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu akan menghadapi tujuh pertuduhan berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dan dana parti, lapor Sinar Harian.

  • Kes kait MB Selangor, projek pelebaran Sungai Klang diserah kepada SPRM

    Kes kait MB Selangor, projek pelebaran Sungai Klang diserah kepada SPRM

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kes mendakwa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ada kaitan dengan sebuah syarikat dianugerahkan tender projek pedalaman dan pelebaran Sungai Klang.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, oleh kerana dakwaan dibuat wakil Perikatan Nasional (PN) itu mengandungi unsur rasuah, maka pihaknya menyerahkan kepada SPRM untuk tindakan lanjut.

    “Setakat ini hanya satu laporan diterima dan ia dilihat mempunyai elemen rasuah, justeru kes berkenaan diserahkan kepada SPRM,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

    Semalam, PN Selangor menggesa PDRM menyiasat pembabitan Amirudin dengan sebuah syarikat didakwa dianugerahkan projek bernilai RM700 juta secara rundingan terus oleh kerajaan negeri.

    Gesaan itu selepas tular di media sosial mendakwa Amirudin menyalah guna kuasa dan mempunyai konflik kepentingan dengan menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar bagi menganugerahkan projek terbabit kepada syarikat berkenaan.

    Namun semalam, Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Syaiful Azmen Nordin dilaporkan berkata, projek bagi tujuan meningkatkan kapasiti sungai untuk menangani isu pencemaran dan banjir itu, tidak membabitkan suntikan tunai daripada kerajaan Selangor.

    Beliau berkata, kos itu akan dibiayai melalui tanggungan premium tanah yang bakal dibangunkan berjumlah RM117 juta, tanggungan hutang RM54 juta dan selebihnya melalui penerokaan pembiayaan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor).

    Katanya lagi, kertas cadangan mengenai pendalaman serta pelebaran dibawa syarikat itu kepada kerajaan negeri selepas kejadian banjir besar pada 2021 dan anggaran kos projek RM700 juta diperolehi selepas sesi libat urus dengan agensi berkaitan serta pihak perunding.

    Semalam juga, Amirudin menyifatkan laporan polis dibuat PN terhadapnya berhubung ibarat menghantar ‘peluru kapur’, sebagai tindakan untuk menyerang kerajaan negeri pimpinannya, selain seolah-olah mahu menggambarkan bahawa terdapat kepentingan peribadi dalam isu berkait syarikat itu.

    Beliau menjelaskan, kehadirannya dan EXCO Selangor, Izham Hashim dalam syarikat terbabit bukan atas dasar peribadi, sebaliknya mewakili kerajaan negeri untuk memastikan kepentingan kerajaan negeri dijamin dengan selesa, tidak terganggu dan tidak terkurang.

  • PN gesa polis siasat dakwaan MB Selangor salah guna kuasa beri projek RM700j

    PN gesa polis siasat dakwaan MB Selangor salah guna kuasa beri projek RM700j

    PERIKATAN Nasional (PN) Selangor menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat pembabitan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan sebuah syarikat didakwa dianugerahkan projek bernilai RM700 juta secara rundingan terus oleh kerajaan negeri itu.

    Gesaan itu dibuat selepas tular di media sosial semalam mendakwa Amirudin menyalah guna kuasa dan konflik berkepentingan dengan menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar bagi menganugerahkan projek terbabit kepada syarikat berkenaan.

    Menurut Ketua Penerangan PN Selangor, Mohd Shukor Mustaffa, pihaknya tampil membuat satu laporan polis berkaitan isu berkenaan bagi membolehkan pihak PDRM memulakan siasatan terhadap Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua yang didakwa mempunyai kepentingan dalam projek berkenaan.

    Katanya, laporan polis dibuat berdasarkan laporan berita disiarkan sebuah portal berita semalam berkaitan Amirudin dan EXCO Selangor, Izham Hashim yang didakwa mempunyai kepentingan di dalam syarikat yang dianugerahkan projek mega itu iaitu Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLB).

    “Syarikat itu dianugerahkan satu projek untuk mendalamkan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer berjumlah RM700 juta secara rundingan terus.

    “Tujuan saya membuat laporan supaya pihak polis menyiasat perkara ini kerana ia membabitkan salah guna kuasa yang serius,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kinrara, di Serdang, hari ini.

    Katanya, laporan berita diterbitkan portal berita itu adalah berdasarkan pendedahan dibuat Setiausaha Agung Parti Hijau Malaysia, Abdul Razak Ismail setelah menyemak maklumat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

    Abdul Razak mendakwa Amirudin dan Izham yang juga EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor disenaraikan sebagai pengarah syarikat terbabit bersama empat lagi individu.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berkenaan.

    Semalam, Abdul Razak menerusi laporan portal berita dipetik berkata syarikat LLB dianugerahkan projek Gerbang Maritim Selangor, yang membabitkan pembersihan sungai dan pembangunan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer dari Mid Valley City di Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang, yang dikatakan menelan belanja RM700 juta.

    Dalam perkembangan sama, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Selangor, Jay Jay Denis memaklumkan projek itu bukan dianugerahkan oleh kerajaan negeri secara terus kepada LLB.

    “LLB sedang mengumpul dana melalui Inisiatif Kewangan Swasta (PFI). Syarikat ini adalah anak syarikat kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI).

    “Beliau (Amirudin) adalah pengarah syarikat itu memandangkan projek itu berada di bawah MBI,” katanya ketika dihubungi.

    Tambahnya, Amirudin ada dalam syarikat itu sebagai Menteri Besar Selangor bagi memastikan usaha kerajaan negeri memulihkan kualiti air dan pemulihan Sungai Klang tercapai, selaras dengan keputusan mesyuarat EXCO kerajaan negeri.