guane

KETIKA banyak pihak bercakap mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tiba-tiba UMNO dikejutkan pula dengan pelbagai isu yang boleh menjerat parti itu berada di dalam konflik yang lebih panjang.

Isu pemimpin parti di peringkat bahagian mengkritik Perdana Menteri yang mewakili parti sendiri secara terbuka dan juga isu pemecatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman secara tidak langsung telah menyerlahkan lagi ‘penyakit’ lama yang berparut dalam parti tersebut.

Ini kerana, kedua-dua isu berkenaan seakan turut mengesahkan dakwaan mengenai  kewujudan dua ‘puak’ atau kem  dalam parti tersebut sekalipun ada penafian dibuat.

Melihat kepada isu-isu diluar jangkaan itulah, penulis berpendapat kenapa Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin  meminta pemimpin dan ahli parti supaya menunjukkan sikap positif dan konstruktif dengan menampakkan usaha ke arah penyatuan yang lebih jitu menjelang PRU-15 ini.

Maklumlah PRU-15 semakin hampir, sedangkan perselisihan dan perpaduan dalam UMNO turut goyah akibat kemelut dalaman yang berpunca daripada perbalahan, sikap, jawatan dan kuasa.

Khairy yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau sebelum ini dipetik sebagai berkata, parti yang menampakkan imej tidak bersatu tidak diterima oleh rakyat dan ia jelas ditunjukkan pada keputusan beberapa pilihan raya negeri (PRN), baru-baru ini.

Menurut Khairy, sangat penting bagi pemimpin  menampakkan kesatuan dalam parti sebab kalau dilihat penggal Parlimen ketika ini hanya berbaki maksimum setahun, oleh itu adalah sangat penting untuk UMNO memperlihatkan barisan yang bersatu dan kuat tanpa ada sebarang perbalahan.

Penulis turut bersetuju dengan pandangan Khairy mengatakan selain daripada rakyat hendak melihat kejujuran, keikhlasan dalam membela nasib mereka, rakyat hendak mengundi parti dengan perpaduan yang tinggi, bukannya memilih parti yang sentiasa berbalah.

Persoalannya, apakah berbalah itu sudah menjadi tradisi dalam kalangan pemimpin UMNO?

“Kita melihat pengalaman dalam PRN, ada parti tidak menunjukkan mereka bersatu, tidak diterima oleh rakyat. Sebab itu, saya berharap sesiapa yang menyumbang kepada persepsi tidak sihat, untuk mereka hentikan,” ujar Khairy.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, kritikan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah satu tindakan yang tidak membantu dalam usaha parti Melayu terbesar itu menampakkan kesatuan menuju PRU-15.

Katanya, Nur Jazlan tidak harus bercakap seperti itu kerana ada banyak saluran jika ada sesuatu yang perlu disampaikan sama ada kepada presiden parti atau Perdana Menteri.

“Yang terbaik adalah saluran dalaman, terutama apabila ia membabitkan komen mengenai kepemimpinan parti atau negara yang sekarang diterajui oleh Perdana Menteri dari UMNO.

Justeru, Khairy berharap sikap daripada pemimpin UMNO harus menampakkan penyatuan yang lebih jitu dengan membuat komen dan bercakap dalam mesyuarat atau secara peribadi.

Sebenarnya, itulah perkara perlu dilakukan oleh pemimpin atau ahli mana-mana parti atau pertubuhan agar tidak bertindak melemahkah organisasi yang disertai dengan komen yang tidak konstruktif di khalayak dan media massa.

Ia umpama kita mendedahkan keburukan dan kepincangan dalam keluarga selepas tidak berpuas hati dengan apa yang kita kecapi.

Nur Jazlan sebelum itu dilaporkan melabel Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri daripada UMNO paling lemah dalam sejarah negara kerana didakwa tidak boleh membuat keputusan atau menegaskan  kuasanya.

Begitu juga dengan isu pemecatan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman daripada MKT.

Begitulah keadaan politik Malaysia sekarang ini.

Ada parti yang mengkritik pemimpin akan dipecat atau dilucut jawatan, ada parti yang gemar mencampuri urusan parti lain sedangkan dalaman sendiri ‘terhuyung-hayang’.

Tapi dalam isu perbalahan ini, bagi penulis kalau tidak berbalah bukan UMNO namanya…

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here