Tag: Pas

  • UMNO perlu kalah PRN Melaka, kata ulama PAS

    UMNO perlu kalah PRN Melaka, kata ulama PAS

    prn melaka

    AHLI Jawatankuasa Dewan Ulama PAS, Mokhtar Senik berpandangan, UMNO perlu kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Menurut beliau, situasi itu akan mengajar UMNO agar benar-benar memahami erti persaudaraan serta kepentingan agama, negara dan ummah.

    “Mudah-mudahan kekalahan UMNO di Melaka akan banyak mengajar politik jujur dan bersih kepada UMNO.

    “Oleh itu, semua pengundi PAS perlu menjadi guru politik kepada UMNO,” katanya dalam hantaran Facebook.

    Pada PRN Melaka, UMNO memilih untuk bertanding secara solo di bawah tiket Barisan Nasional (BN).

    Keputusan itu sekali gus menyebabkan berlaku pertembungan tiga penjuru di kerusi-kerusi majoriti pengundi Melayu dan dikhuatiri membuka ruang kepada rejim Pakatan Harapan (PH) untuk kembali berkuasa di Melaka.

    Pada masa yang sama, Mokhtar menjelaskan bahawa beliau masih sayangkan Muafakat Nasional (MN) yang dibina berteraskan persaudaraan Islam.

    Dalam hantaran berasingan, beliau berkata, elok juga sekiranya UMNO ditakdirkan kalah supaya menjadi pengajaran kepada parti itu untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Sebab kadang-kadang kalau asyik mendongak ke langit anda akan lupa bumi tempat berpijak,” jelasnya.

    Mokhtar juga mengingatkan bahawa PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding dalam PRN Melaka untuk menang.

    Maka, kata beliau, PAS dan Bersatu terpaksa mengalahkan BN dan Pakatan Harapan (PH).

    “Ada orang bertanya mengapa begitu? Saya jawab dah UMNO nak letak calon di semua kerusi. Maka terpaksalah bertembung tiga penjuru yang kita semua tak suka.

    “Ada orang tanya? Boleh menang ke UMNO? Saya jawab wallahu’alam.. yang kuat tu UMNO sebelum PRU-14. Tapi selepas itu UMNO dah separuh lumpuh,” katanya.

  • Majlis Syura Ulama PAS syor bertanding 1 lawan 1

    Majlis Syura Ulama PAS syor bertanding 1 lawan 1

    prn melaka

    MAJLIS Syura Ulama PAS berpandangan bahawa penggunaan lambang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu dilihat dari sudut siyaasah syar’iyyah dengan menekankan kepentingan perundingan pertandingan dua penjuru agar kemenangan tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PH).

    Badan itu melihat aspek berkenaan dalam kerangka perkara-perkara ‘mutaghyyirat’ (boleh berubah) dan bukannya perkara ‘thawabit’ (yang tetap).

    Menurut badan tersebut, ia perlu disesuaikan dengan taktikal dan strategi parti.

    “Justeru, Majlis Syura Ulama PAS menyerahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk membuat keputusan berdasarkan strategi kebolehmenangan bersama yang terbaik, selaras dengan peruntukan Perlembagaan PAS, Fasal 84,” kata badan itu dalam kenyataan media, hari ini.

    Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) menerusi mesyuarat khas yang diadakan pada 25 Oktober lalu memutuskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS dan Gerakan akan menggunakan lambang PN pada PRN Melaka akan datang.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketiga-tiga parti tersebut menyatakan persetujuan dan kesepakatan dalam mesyuarat itu yang diadakan bagi membincangkan perkara berkaitan PRN Melaka..

    Pada 28 Oktober, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu akan diputuskan oleh Majlis Syura Ulama PAS.

    Dalam perkembangan berkaitan, badan itu juga telah meluluskan kelayakan untuk calon-calon PRN Melaka bagi tindakan selanjutnya oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat selaras dengan peruntukan Perlembagaan PAS, Fasal 26(9)(f).

    Selain itu, badan berkenaan sebulat suara memilih dan memperbaharui pelantikan Datuk Hashim Jasin sebagai Mursyidul Am PAS berkuat kuasa pada 31 Oktober 2021 untuk tempoh selama lima tahun sebagaimana peruntukan Perlembagaan PAS, Fasal 8 (6).

    “Majlis Syura Ulama juga menetapkan bahawa perwakilan Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) ke Muktamar Tahunan PAS Kali ke-67 pada 6 dan 7 November 2021 nanti adalah berstatus pemerhati.

    “Pemilihan Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat untuk sesi 2021/2023 pula akan diadakan seberapa segera dengan merujuk kepada Aturan dan Peraturan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Hal ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan PAS, Fasal 87 (2) dan Fasal 91 (1),” jelas badan itu.

  • Parti rebutan ramai, PAS tak tersepit antara UMNO, Bersatu

    Parti rebutan ramai, PAS tak tersepit antara UMNO, Bersatu

    PAS tidak berada dalam dilema dan tersepit dalam isu kerjasama membabitkan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Memetik laporan Malaysiakini, Ketua Dewan Pemuda PAS yang baharu, Ahmad Fadhli Shaari berkata, situasi tersebut memperlihatkan PAS kini menjadi parti rebutan ramai.

    “Saya tidak melihat PAS dalam keadaan tersepit. Saya melihat PAS merupakan suatu parti yang menjadi rebutan ramai.

    “Itu bukan tersepit namanya. Kita mempunyai nilai yang tinggi sehingga dipercayai oleh UMNO dan Bersatu,” katanya dalam sidang media selepas Muktamar Dewan Pemuda PAS kali ke-62 di Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan UMNO dan Bersatu berhubung isu kerjasama kedua-dua parti itu.

    Sebelum ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan untuk meneruskan kerjasama dengan PAS pada PRN Melaka menerusi kerangka Muafakat Nasional (MN).

    Pada masa yang sama, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada kebijaksanaan pimpinan PAS membuat keputusan berhubung keputusan MKT UMNO untuk meneruskan persefahaman dengan parti itu bagi PRN Melaka.

    Ahmad Fadhli menambah, dalam hal itu PAS akan bertindak sebaik mungkin untuk menjadikan persefahaman politik antara parti berkenaan menjadi satu kenyataan dan tidak akan berlaku pertembungan tiga penjuru.

    “Saya juga dimaklumkan bahawa PAS akan keluarkan kenyataan dalam sedikit masa lagi dan kita maklum bahawa perkembangan terbaharu yang diumumkan perdana menteri yang telah diberikan mandat oleh Presiden UMNO untuk mengurus PRN Melaka ini bahawa UMNO sendiri dah setuju untuk tidak berlaku pertembungan tiga penjuru dalam PRN Melaka.

    “Jadi, itu sudah cukup baik,” katanya.

    Walau bagaimanapun, ketika diminta mengulas lanjut kenyataan Muhyiddin bahawa PN bersedia untuk pertandingan tiga penjuru atau empat penjuru, Ahmad Fadhli berkata dia optimis bahawa akan ada jalan keluar berhubung situasi terbabit.

    “Kenyataan-kenyataan yang keluar itu saya kira hasrat daripada parti yang akhirnya akan berakhir di meja rundingan,” katanya.

    Malah, kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu, Pemuda PAS telah meluluskan suatu usul tergempar bahawa sayap pemuda akan berdiri teguh dengan pendirian partinya.

    “Kita telah meluluskan usul tergempar sebentar tadi bahawa Pemuda PAS sentiasa berdiri teguh bersama dengan pendirian yang diputuskan oleh institusi Presiden.

    “Ertinya, sekali keputusan dibuat, maka tidak ada lagi kata-kata lain atau pandangan kedua.

    “Jadi, kita akan tunggu dan lihat apa keputusan yang akan dibuat institusi presiden dan juga pendirian rasmi PAS itu sendiri.

    “Pada kita apa jua keputusan yang diputuskan itu telah mengambil kira semua pertembungan dan apa senario yang akan berlaku,” tambahnya.

    Sementara itu, mengulas kempen pertamanya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS dalam PRN Melaka, Ahmad Fadhli berkata PAS mahu bertarung di atas padang yang sama rata dan bukan yang berat sebelah.

    “Kami menghormati prosedur operasi standard (SOP) yang telah diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan kita yakin bahawa kempen dalam suasana baru khususnya melalui media massa dan sebagainya ini merupakan kempen yang agak berkesan buat masa sekarang ini.

    “Tetapi, saya mahu menyatakan biarlah padangnya sama rata. Itu merupakan suara Pemuda PAS.

    “Ertinya, kalau pembangkang tidak diberikan ruang untuk berkempen secara bersemuka begitu juga dengan parti-parti yang lain.

    “Kami mahu bertarung di atas padang yang sama dan kami tak suka bertarung di atas padang yang berat sebelah,” jelasnya.

  • Pertembungan tiga penjuru boleh dielak – PAS

    Pertembungan tiga penjuru boleh dielak – PAS

    prn melaka

    PAS Melaka meletakkan harapan yang tinggi kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memastikan usaha mengelakkan pertembungan tiga penjuru antara UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dapat direalisasikan.

    Pesuruhjayanya, Datuk Kamarudin Sidek berkata, PAS sendiri sentiasa cuba mengelakkan perkara itu daripada berlaku.

    Menurut beliau, komitmen Perdana Menteri seperti yang dinyatakannya semalam bakal menjadikan hasrat PAS ingin melihat satu lawan satu antara Barisan Nasional/Perikatan Nasional (BN/PN) menentang Pakatan Harapan (PH) sebagai satu kenyataan.

    “Kita menyambut baik kenyataan Perdana Menteri itu kerana sememangnya ingin melihat penyatuan Melayu dan Islam itu bukan sekadar retorik.

    “Jika semua pihak berusaha ke arah itu, Insya-Allah umat Melayu dan Islam mampu menjadi kesatuan yang kukuh dan disegani di peringkat antarabangsa,” katanya seperti dilaporkan BH hari ini.

    Semalam, Ismail Sabri dilaporkan berkata, UMNO dan BN akan berusaha mengelak pertembungan tiga penjuru antara parti dalam kerajaan, termasuk dengan Bersatu pada PRN Melaka.

    Perdana Menteri memberitahu , beliau kini sedang menjalankan rundingan dengan PAS dan Bersatu bagi memastikan pertembungan sesama sendiri pada pilihan raya dapat dielakkan serta bagi menentukan bentuk kerjasama pada PRN Melaka selaras mandat yang diberikan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

    Kamarudin memberitahu, perbincangan pembahagian kerusi antara PAS dengan Bersatu Melaka setakat ini mencapai 90 peratus dan bakal dimuktamadkan beberapa hari lagi.

    Walau bagaimanapun, beliau mengakui belum ada lagi perbincangan secara formal antara PAS dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi PRN Melaka.

    “Sementara menunggu perbincangan secara formal dengan UMNO, PAS sudah menyusun strategi dan gerak kerja bagi memastikan jentera parti bersedia menghadapi PRN,” jelasnya.

    Ramai pemerhati politik menjangka Melaka akan jatuh semula ke tangan rejim Pakatan Harapan (PH) sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru melibatkan UMNO, PAS dan Bersatu di kerusi-kerusi majoriti pengundi Melayu.

    Walaupun sebahagian besar pemimpin dan ahli UMNO di peringkat akar umbi mahu melihat kerjasama antara ketiga-tiga parti direalisasikan pada PRN Melaka, pucuk pimpinan UMNO seolah-olah tidak mengendahkannya.

    UMNO juga berdepan kemungkinan kehilangan sebahagian daripada 14 kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru atau lebih.

    Laluan UMNO untuk beroleh majoriti mudah adalah sangat sukar memandangkan rakyat Melaka kesal apabila PRN terpaksa diadakan ekoran krisis dalaman yang melanda parti itu.

  • Kempen media sosial tak sesuai untuk pengundi Saluran Satu

    Kempen media sosial tak sesuai untuk pengundi Saluran Satu

    KEMPEN melalui media sosial dilihat tidak sesuai terhadap pengundi Saluran Satu yang terdiri daripada golongan yang sudah lanjut usia.

    Sehubungan itu, PAS Melaka akan meminta kelonggaran daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membenarkan kempen secara bersemuka melibatkan pengundi Saluran Satu pada PIlihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Memetik laporan BH, Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek berkata, kebanyakan pengundi saluran berkenaan kurang mahir menggunakan media sosial.

    Menurut beliau, adalah lebih mudah untuk memberi penjelasan tentang isu politik semasa di Melaka kepada mereka secara bersemuka.

    Kamarudin menambah, masalah fizikal termasuk penglihatan yang kurang jelas menyebabkan majoriti pengundi Saluran Satu sukar membaca bahan kempen melalui telefon bimbit atau komputer riba.

    “PAS meminta KKM memberi sedikit kelonggaran untuk kempen kaedah bersemuka, khususnya bagi pengundi yang sudah lanjut usia di Saluran Satu.

    “Meskipun kempen bersemuka dijalankan, semua pihak harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak pandemik COVID-19 meningkat semula,” katanya kepada BH, hari ini.

    KAMARUDIN SIDEK

    Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin berkata, sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan berkuat kuasa mulai hari ini hingga 27 November bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan dan peningkatan kes mendadak COVID-19.

    Beliau berkata, ia termasuk penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya.

    Khairy berkata, berdasarkan pemantauan KKM, antara penyumbang kepada peningkatan kes dan kluster COVID-19 dalam negara adalah berkait dengan aktiviti perhimpunan atau majlis sosial yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

    Katanya, KKM menjangka aktiviti ini akan banyak diadakan susulan PRN Melaka pada 20 November ini.

    Pada masa yang sama, Kamarudin berkata, jentera pilihan raya PAS sentiasa bersedia melaksanakan kempen melalui media sosial.

    Dalam perkembangan berkaitan, berhubung pembahagian kerusi antara PAS dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), beliau berkata, mesyuarat mengenai perkara itu akan diadakan esok.

    “Insya-Allah, esok kami akan bermesyuarat untuk menentukannya selepas beberapa siri mesyuarat sudah diadakan sebelum ini. Kami yakin mampu mencapai kata sepakat,” katanya.

    Namun setakat ini, beliau berkata, belum ada perbincangan formal mengenai pembahagian kerusi dengan UMNO kerana parti itu masih belum menyatakan pendirian konkrit mengenai bentuk kerjasama dengan PAS.

  • Keputusan PAS buat pemilihan atau tidak, minggu depan

    Keputusan PAS buat pemilihan atau tidak, minggu depan

    KEPUTUSAN sama ada pemilihan jawatankuasa tertinggi PAS pada Muktamar Tahunan Ke-67 parti itu November ini akan dijalankan atau sebaliknya, bakal diketahui minggu depan.

    Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata pengumuman akan dibuat selepas mengumpul maklumat daripada pihak PAS kawasan yang baru selesai mengadakan mesyuarat agung masing-masing.

    “Setakat ini kita tiada maklumat (sesi pemilihan) sebab PAS kawasan baru sahaja habis mengadakan mesyuarat agung, jadi kita tunggu mereka hantar keputusan kepada PAS pusat.

    “Dari situ baru kita tahu sama ada akan ada pertandingan, termasuk calon dan sebagainya. Kita jangka dalam seminggu ini mereka akan hantar keputusan, jadi selepas 25 Okt baru kita akan tahu,” katanya.

    Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim, di Kota Bharu hari ini.

    Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata Muktamar Tahunan PAS Ke-67 tahun akan diadakan secara hibrid mengikut prosedur operasi standard (SOP) norma baharu di Terengganu. – BERNAMA

  • PAS tetap bersama MN, walaupun Zahid tolak kerjasama

    PAS tetap bersama MN, walaupun Zahid tolak kerjasama

    PRN Melaka

    PAS tidak mengubah pendiriannya dalam Muafakat Nasional (MN) walaupun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan tiada kerjasama politik antara kedua-dua parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Memetik laporan Malaysiakini, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, setakat ini tiada keputusan rasmi berhubung perkara itu daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

    “Setakat hari ini, keputusan daripada MKT tak ada pun sebut begitu (tiada MN pada PN Melaka).

    “Jadi, kita pakai keputusan rasmi itu. Jangan memecah-belahkan kami,” katanya ketika ditemui selepas majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, hari ini.

    Beliau menambah, pendirian utama PAS pada masa ini adalah memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak berkuasa semula di Melaka.

    Baru-baru ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO tidak akan menjalinkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS pada PRN Melaka.

    Walau bagaimanapun, pemimpin-pemimpin kanan UMNO termasuk Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan, masih belum ada keputusan muktamad berhubung isu tersebut.

    Selain itu, penganalisis politik, Prof Sivamurugan Pandian baru-baru ini berkata. UMNO dilihat tidak mampu bergerak solo dalam PRN Melaka sekiranya ingin kekal memegang tampuk pentadbiran di negeri itu.

    Beliau berkata, UMNO perlu melihat kepada lawan mereka iaitu PH yang dilihat tidak goyah dengan kemelut yang berlaku ketika ini.

    “Walaupun Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) menyatakan mereka boleh bergerak solo, tetapi dalam konteks sekarang ini, percaturan juga harus melihat kepada kedudukan pesaing politik mereka PH yang saya rasa tidak goyah dengan kerjsaama DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).

    “Sekiranya ingin dekati undi protes, yang sudah tentu boleh berlaku, dan jika mahu ingin pastikan pola pengaliran keluar pengundi meningkat kerana dijangka menurun dalam kedudukan semasa, maka kerjasama-kerjasama ini perlu dimaksimumkan oleh UMNO,” jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI.

    Jelasnya, UMNO perlu mengatasi persepsi negatif terhadap parti itu lantaran terpalit dengan dakwaan sebagai punca kepada krisis politik yang berlaku di Melaka.

  • Tok Mat & Tuan Ibrahim minum petang, cari titik persamaan

    Tok Mat & Tuan Ibrahim minum petang, cari titik persamaan

    HUBUNGAN UMNO dan PAS dalam kerangka Muafakat Nasional (MN) masih lagi utuh dan pucuk pimpinan kedua-dua parti sentiasa berusaha mencari titik persamaan.

    Petang tadi, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatannya dalam PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man minum petang bersama.

    Pertemuan di lokasi yang tidak diketahui itu dimaklumkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam hantaran Facebook beliau, malam ini.

    Selain Asyraf, pertemuan tersebut disertai oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.

    Difahamkan, mereka berbincang tentang isu-isu berkaitan kerjasama antara kedua-dua parti.

    Namun, Asyraf tidak berkongsi maklumat lanjut tentang pertemuan berkenaan.

    “Sama-sama mencari titik-titik persamaan demi memperteguhkan ukhuwwah,” kata Asyraf secara ringkas dalam hantaran tersebut.

    Pertemuan secara tidak formal itu merupakan perkembangan memberangsangkan dalam usaha membentuk kerjasama politik antara parti-parti Melayu dan Islam menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Sebelum ini, khabar angin berlegar tentang hubungan dingin antara UMNO dan PAS sehingga mencetuskan kebimbangan dalam akar umbi kedua-dua parti mengenai masa depan MN.

    PAS berada dalam keadaan serba salah ekoran keputusan UMNO menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN).

    Memandangkan PAS juga merupakan salah sebuah parti komponen dalam PN, tindakan UMNO itu telah meletakkan PAS dalam keadaan yang sukar.

    Walau bagaimanapun, PAS memilih jalan tengah dengan meneruskan hubungan dengan UMNO dan Bersatu.

    Malah, pemimpin-pemimpin PAS juga bersedia menjadi orang tengah dalam usaha mendamaikan UMNO dan Bersatu.

    Mahu tidak mahu, ketiga-tiga parti Melayu terbesar itu mesti bekerjasama dalam setiap pilihan raya.

    Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan orang Melayu dan umat Islam terpaksa berputih mata hidup menderita di bawah pemerintahan rejim Pakatan Harapan (PH) sekali lagi.

    Cukuplah sekali pengalaman ngeri rakyat ditadbir oleh rejim PH yang lemah dan jangan biarkan ia berulang lagi.

  • PRN Melaka: PAS jadi orang tengah damaikan UMNO, Bersatu

    PRN Melaka: PAS jadi orang tengah damaikan UMNO, Bersatu

    PAS bersedia menjadi orang tengah untuk mendamaikan kemelut antara Bersatu dan UMNO supaya kedua-dua parti tidak bertanding berasingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sekiranya diadakan.

    Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, parti itu mahu PRN Melaka menjadi model kepada perpaduan orang Melayu sekali gus menyumbang kepada kestabilan politik yang dapat melonjakkan ekonomi negara selain mengikis sifat kebencian rakyat terhadap ahli politik yang cenderung berpecah belah.

    “Tiada satu ayat pun dalam al-Quran dan hadis membenarkan umat Islam bercakaran sesama sendiri kerana ia boleh melemah serta menghancurkan umat Islam,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas lawatan kerja ke Tapak Asuhan Ikan SB Aqua Marine and Construction Sdn Bhd di Kampung Tok Kederat, Pulau Kambing di Bachok hari ini.

    Nik Muhammad Zawawi, yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, berkata langkah diambil PAS itu juga bersesuaian dengan kehendak Islam yang mahukan umatnya bersatu padu. – BERNAMA

  • Buktikan kesahihan audio tular sebelum ambil tindakan – Takiyuddin

    Buktikan kesahihan audio tular sebelum ambil tindakan – Takiyuddin

    KESAHIHAN rakaman audio yang didakwa mirip seorang pemimpin PAS mempertikai kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu dibuktikan sebelum sebarang tindakan diambil.

    Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu juga terbuka sekiranya polis akan melakukan siasatan sekiranya menerima laporan.

    “Saya sebagai orang undang-undang, tak buat apa-apa komen berdasarkan andaian, andaian perlu dibuktikan dahulu.

    “Kalau ada laporan polis, biar polis siasat. Kita ikut undang-undang, kita tak nak main andaian ini,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu kepada pemberita di Kota Bharu, hari ini.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Berbasikal Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di Taman Perbandaran Tengku Anis.

    Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah.

    Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penularan rakaman audio tersebut sejak semalam di media sosial.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebuah kawasan baharu perlu diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) berikutan projek pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) akan turut melibatkan kawasan HSK Ulu Sat yang terletak di Machang.

    Takiyuddin berkata, dasar Majlis Tanah Negara telah menetapkan HSK yang diwarta keluar untuk pembangunan perlu digantikan.

    “Ada kawasan HSK Hulu Sat di Machang yang terlibat, maka ia (HSK Ulu Sat) perlu digantikan.

    “Itu dasar yang perlu dipatuhi dan telah diputuskan oleh Majlis Tanah Negara,” katanya.

    Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dijangka siap sepenuhnya pada 2025 dan apabila siap laluan tersebut akan bersambung dengan Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) bagi meningkatkan aksesibiliti dan mobiliti laluan ke Pantai Timur.

    Mengenai Program Penghijauan Malaysia, Takiyuddin berkata, kerajaan telah menetapkan 50 peratus daripada kawasan tanah negara sebagai kawasan berhutan dan dilitupi.

    “Ini adalah komitmen kita termasuk dalam konvensyen antarabangsa, kita kena ada 50 peratus kawasan dilitupi pokok,” katanya

    Takiyuddin turut memuji Jabatan Perhutanan Kelantan yang berjaya menanam hampir dua juta pokok setakat Oktober, daripada sasaran tiga juta pokok yang akan ditanam tahun ini.

    Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok telah dilancarkan bermula 1 Jan lepas, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambahbaik ekosistem dan biodiversiti negara. – BERNAMA