prn melaka

MAJLIS Syura Ulama PAS berpandangan bahawa penggunaan lambang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu dilihat dari sudut siyaasah syar’iyyah dengan menekankan kepentingan perundingan pertandingan dua penjuru agar kemenangan tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PH).

Badan itu melihat aspek berkenaan dalam kerangka perkara-perkara ‘mutaghyyirat’ (boleh berubah) dan bukannya perkara ‘thawabit’ (yang tetap).

Menurut badan tersebut, ia perlu disesuaikan dengan taktikal dan strategi parti.

“Justeru, Majlis Syura Ulama PAS menyerahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk membuat keputusan berdasarkan strategi kebolehmenangan bersama yang terbaik, selaras dengan peruntukan Perlembagaan PAS, Fasal 84,” kata badan itu dalam kenyataan media, hari ini.

Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) menerusi mesyuarat khas yang diadakan pada 25 Oktober lalu memutuskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS dan Gerakan akan menggunakan lambang PN pada PRN Melaka akan datang.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketiga-tiga parti tersebut menyatakan persetujuan dan kesepakatan dalam mesyuarat itu yang diadakan bagi membincangkan perkara berkaitan PRN Melaka..

Pada 28 Oktober, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu akan diputuskan oleh Majlis Syura Ulama PAS.

Dalam perkembangan berkaitan, badan itu juga telah meluluskan kelayakan untuk calon-calon PRN Melaka bagi tindakan selanjutnya oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat selaras dengan peruntukan Perlembagaan PAS, Fasal 26(9)(f).

Selain itu, badan berkenaan sebulat suara memilih dan memperbaharui pelantikan Datuk Hashim Jasin sebagai Mursyidul Am PAS berkuat kuasa pada 31 Oktober 2021 untuk tempoh selama lima tahun sebagaimana peruntukan Perlembagaan PAS, Fasal 8 (6).

“Majlis Syura Ulama juga menetapkan bahawa perwakilan Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) ke Muktamar Tahunan PAS Kali ke-67 pada 6 dan 7 November 2021 nanti adalah berstatus pemerhati.

“Pemilihan Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat untuk sesi 2021/2023 pula akan diadakan seberapa segera dengan merujuk kepada Aturan dan Peraturan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Hal ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan PAS, Fasal 87 (2) dan Fasal 91 (1),” jelas badan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here