prn melaka

AHLI Jawatankuasa Dewan Ulama PAS, Mokhtar Senik berpandangan, UMNO perlu kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurut beliau, situasi itu akan mengajar UMNO agar benar-benar memahami erti persaudaraan serta kepentingan agama, negara dan ummah.

“Mudah-mudahan kekalahan UMNO di Melaka akan banyak mengajar politik jujur dan bersih kepada UMNO.

“Oleh itu, semua pengundi PAS perlu menjadi guru politik kepada UMNO,” katanya dalam hantaran Facebook.

Pada PRN Melaka, UMNO memilih untuk bertanding secara solo di bawah tiket Barisan Nasional (BN).

Keputusan itu sekali gus menyebabkan berlaku pertembungan tiga penjuru di kerusi-kerusi majoriti pengundi Melayu dan dikhuatiri membuka ruang kepada rejim Pakatan Harapan (PH) untuk kembali berkuasa di Melaka.

Pada masa yang sama, Mokhtar menjelaskan bahawa beliau masih sayangkan Muafakat Nasional (MN) yang dibina berteraskan persaudaraan Islam.

Dalam hantaran berasingan, beliau berkata, elok juga sekiranya UMNO ditakdirkan kalah supaya menjadi pengajaran kepada parti itu untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Sebab kadang-kadang kalau asyik mendongak ke langit anda akan lupa bumi tempat berpijak,” jelasnya.

Mokhtar juga mengingatkan bahawa PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding dalam PRN Melaka untuk menang.

Maka, kata beliau, PAS dan Bersatu terpaksa mengalahkan BN dan Pakatan Harapan (PH).

“Ada orang bertanya mengapa begitu? Saya jawab dah UMNO nak letak calon di semua kerusi. Maka terpaksalah bertembung tiga penjuru yang kita semua tak suka.

“Ada orang tanya? Boleh menang ke UMNO? Saya jawab wallahu’alam.. yang kuat tu UMNO sebelum PRU-14. Tapi selepas itu UMNO dah separuh lumpuh,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here