Tag: Parlimen

  • Transformasi Parlimen, pentadbiran kerajaan demi kestabilan politik

    Transformasi Parlimen, pentadbiran kerajaan demi kestabilan politik

    KERAJAAN komited untuk melaksanakan Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Kabinet hari ini.

    Menurut beliau, langkah itu adalah selaras dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu tentang peri pentingnya sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

    “Kerajaan berpandangan fokus dan keutamaan yang perlu diberikan oleh semua pihak pada ketika ini adalah terhadap kestabilan politik dan pentadbiran negara dalam memerangi COVID-19 serta pemulihan ekonomi.

    “Tawaran ini juga bertujuan mewujudkan lanskap politik baharu dengan melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen.

    “Pada masa yang sama, kerajaan komited untuk memperkenalkan lebih banyak transformasi dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

    Ismail Sabri Yaakob Transformasi Parlimen
    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

    Ismail Sabri turut memberitahu, tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan meliputi:

    Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.

    Pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat. Justeru, satu Rang UndangUndang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan.

    Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

    Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang.

    Setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.

    Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.

    Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

    Beliau berkata, transformasi kerajaan itu memaktubkan nilai-nilai murni dan muafakat merentasi pelbagai latar agama, kaum, dan budaya dalam konteks Keluarga Malaysia.

    “Ini juga selaras dengan semangat untuk terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat dan bernegara,” jelasnya.

  • Tiada keperluan pertikai keabsahan PM melalui usul undi percaya

    Tiada keperluan pertikai keabsahan PM melalui usul undi percaya

    TIADA keperluan untuk pembangkang mempertikaikan keabsahan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan penilaian dibuat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam memilih perdana menteri menerusi usul undi percaya di Dewan Rakyat. 

    Pakar Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata ini memandangkan keabsahan seseorang perdana menteri itu wujud apabila beliau telah dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong, mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani Surat Cara Pelantikan.

    Perdana menteri yang ada sekarang telah melalui kesemua proses itu, katanya.

    “Selepas lalui proses itu maka Perdana Menteri dapat keabsahan untuk laksana tanggungjawab. Kalau kita kata perlu tunggu usul undi percaya di Dewan Rakyat baru dapat keabsahan, maknanya arahan perdana menteri sebelum pengesahan di Parlimen itu tidak sah dan kedudukannya boleh dipertikai.

    “Bahkan (kedudukan) menteri-menteri pun boleh dipertikai kerana perdana menteri yang nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk melantik mereka, jadi saya rasa itu satu hujah yang tidak wajar,” katanya ketika menjadi panel webinar Intelektual Negara bertajuk “Usul Undi Percaya: Masih Perlukah?’ di sini, malam tadi.

    Walaupun Yang di-Pertuan Agong memiliki kuasa yang luas dalam melantik Perdana Menteri, Muhammad Fathi menjelaskan bahawa Seri Paduka sangat teliti dan mengambil kira pandangan semua pihak dalam membuat sebarang keputusan memilih pemimpin nombor satu negara itu.

    Jelas beliau, ini dibuktikan dengan tindakan Seri Paduka meminta Surat Akuan Bersumpah dari Ahli Parlimen, memanggil 114 Ahli Parlimen bagi mengesahkan kepercayaan mereka terhadap Ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan sebagai perdana menteri serta mengadakan perbincangan dengan Majlis Raja-Raja Melayu.

    “Dari sudut Perlembagaan Persekutuan dan sudut moral sah, dari sudut kaedahnya sangat kukuh maka sepatutnya semua pihak terima dan move forward (terus mara)  jangan tengok belakang terus bergerak laksanakan tanggungjawab,” katanya. 

    Menerusi pendekatan diambil Datuk Seri Ismail Sabri dalam mengadakan perbincangan dengan pembangkang dan memberi ruang kepada mereka untuk berada di dalam jawatankuasa penting kerajaan, Muhammad Fathi berpendapat ia merupakan satu perkara yang amat besar.

    “Jadilah pembangkang baik dengan ruang yang ada ini, kita nak pembangkang yang kuat supaya proses semak imbang berjalan dengan hebat, dalam keadaan pembangkang kuat dan diberi peluang terlibat gunakan ruang ada untuk beri sumbangan pada negara,” katanya.

    Senada dengan Muhammad Fathi, Pengerusi Kelab Usahawan dan Profesional Malaysia (KUPM) Datuk Dr Sr Kamarul Rashdan Salleh berkata usul undi percaya tidak wajar diteruskan kerana faktor kestabilan negara, selain kerajaan perlu menumpukan kebajikan rakyat dari pelbagai sudut.

    “Pengharapan biarlah usul undi percaya tidak berlaku, bukan kerana takut tapi dalam keadaan semua parti tiada majoriti, tapi berapa kali nak cerita benda sama,” katanya. 

    Kamarul berkata polemik politik yang melanda negara ini tidak boleh diteruskan kerana ia akan menjejaskan seluruh perancangan kerajaan baharu.

    “Saya yakin Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) akan memainkan peranan beliau dalam menasihati Seri Paduka tentang aspek undi percaya tidak perlu diadakan dan kerajaan perlu fokus dalam menangani pandemik COVID-19,” katanya.- BERNAMA

  • Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen jamin kebebasan

    Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen jamin kebebasan

    AKTA Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen perlu digubal bagi menjamin kebebasan perkhidmatan Parlimen di negara ini.

    Presiden Majlis Senator Malaysia, Datuk Seri Khairudin Samad berkata, ciri-ciri penting termasuk fungsi suruhanjaya yang teras dan jelas dinyatakan dalam akta, keahlian perlu dalam bilangan ganjil dan penubuhan beberapa jabatan di Parlimen.

    “Selain itu, peranan Ketua Pentadbir Parlimen, Setiausaha Dewan dan Setiausaha Jabatan secara jelas dikanunkan dalam akta.

    “Nilai-nilai Perkhidmatan Parlimen harus didefinisikan sebagai ‘Nilai Falsafah penting dalam Perkhidmatan Parlimen’ atau Kod Tata Kelakuan, serta menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Pentadbiran dan Kewangan Parlimen bagi membantu suruhanjaya menjalankan peranannya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Jabatan Perdana Menteri dan Parlimen Malaysia bersetuju menubuhkan jawatankuasa bersama bagi merealisasikan transformasi untuk memberi lebih kebebasan kepada Parlimen di samping menyuntik nafas baharu melalui penghapusan serta pindaan peraturan lapuk.

    Beliau berkata, persetujuan itu dicapai selepas beliau mengadakan pertemuan selama 90 minit bersama Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, kelmarin.

    Tambah Wan Junaidi, dalam pertemuan itu mereka membincangkan kemungkinan untuk memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) yang dimansuhkan pada 1992 bagi memberikan lebih kebebasan kepada badan penggubal undang-undang itu.

    Khairuddin mengulas lanjut, MSM menyokong penuh usaha Wan Junaidi mengembalikan Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen di Malaysia serta berharap ia diterima baik oleh semua pihak dan berjaya direalisasikan.

    “Ia signifikan untuk memastikan ciri-ciri satu Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen menepati piawaian antarabangsa dan pengalaman di beberapa institusi di negara-negara maju seperti United Kingdom, Australia dan Kanada yang perlu dijadikan panduan,” katanya.

    Beliau berkata, MSM juga menyokong elemen-elemen penting dalam kenyataan Wan Junaidi dan juga REFORM serta BERSIH, antaranya untuk memperkenalkan semula Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen bagi memberi kebebasan kepada Parlimen serta mengembalikan peruntukan berhubung perkhidmatan Parlimen dalam Perkara 65 Perlembagaan Persekutuan, iaitu sumber kuasa bagi penggubalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.

    Selain itu, meminda peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan pelantikan Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat supaya mereka dilantik oleh sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen yang bebas dan dibentuk di bawah Akta Perkhidmatan Parlimen.

    Khairudin memberitahu, majlis itu juga menyokong elemen untuk menerapkan model pengurusan perbelanjaan dan penyediaan belanjawan secara kerjasama untuk memastikan autonomi kewangan Parlimen dan mempertimbangkan skim persaraan fleksibel kepada kakitangan perkhidmatan Parlimen yang setaraf dengan skim perkhidmatan awam.

  • Teliti cadangan letak SPRM bawah Parlimen

    Teliti cadangan letak SPRM bawah Parlimen

    CADANGAN supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah Parlimen sedang diteliti, kata Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Dr Rais Yatim.

    Memetik laporan Bernama, beliau berkata cadangan itu diberi pertimbangan khusus oleh JKMR kerana ia dapat meningkatkan lagi tahap kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap SPRM.

    “Saya terdorong untuk membantu supaya SPRM diletakkan di bawah Parlimen, kita akan beri pertimbangan khusus untuk zahirkan objektif ini.

    “Ini kerana jika SPRM terlalu terdedah dengan kuasa dan pengaruh eksekutif atau pihak yang tidak berkaitan dengan integriti, lama kelamaan SPRM akan terpengaruh dengan politik dan pengaruh luar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

    Turut hadir secara maya pada sesi taklimat itu adalah ahli-ahli JKMR dan pengurusan tertinggi SPRM.

    Rais, yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata, cadangan SPRM diletakkan di bawah Parlimen itu juga akan diperincikan dalam sudut perlembagaan sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.

    “Saya bagi pihak (JKMR) akan mendalami cadangan ini dan sampaikan kepada kerajaan dalam bentuk nasihat yang jelas dari sudut perlembagaan Malaysia, sudut amali integriti dan sudut bagaimana ia akan tingkatkan pencapaian tangani rasuah di tanah air,” katanya.

    Pada 6 Mac tahun lalu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, SPRM perlu diletakkan di bawah kuasa Parlimen bagi memastikan agensi itu benar-benar bebas dan dilihat tidak dipengaruhi oleh politik.

    JKMR diwujudkan secara perundangan mengikut Seksyen 14 Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan ia bertanggungjawab untuk menasihati perdana menteri mengenai apa-apa aspek masalah rasuah di Malaysia dan memeriksa laporan tahunan SPRM.

  • Pinda 2 akta Parlimen antara agenda penambahbaikan

    Pinda 2 akta Parlimen antara agenda penambahbaikan

    AGENDA penambahbaikan Parlimen akan menumpukan kepada pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347).

    Selain itu, usaha mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992 akan dilakukan.

    Perkara itu dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan bersama hari ini.

    Kenyataan itu dikeluarkan sempena menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di bangunan Parlimen, semalam.

    Menurut mereka, langkah itu bertujuan memastikan konsep pengasingan kuasa benar-benar dihayati, dihormati dan diamalkan agar kewibawaan Parlimen selaku badan legislatif tertinggi negara diperkasakan.

    “Selari dengan pelan transformasi ini juga, Peraturan Mesyuarat bagi kedua-dua iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat akan ditambah baik, meliputi aspek perjalanan mesyuarat, disiplin ahli serta bagi memperkuatkan jawatankuasa-jawatankuasa pilihan yang telah dan bakal dibentuk.

    “Cadangan kepada langkah transformasi Parlimen ini adalah hak Parlimen dan akan digerakkan secepat mungkin sebelum diangkat kepada Kabinet untuk dinilai dan diluluskan,” jelas mereka.

    Dalam pertemuan tersebut, kesemua pihak telah membincangkan dan membuat kata sepakat mengenai agenda penambahbaikan struktur pentadbiran serta kerangka perundangan yang bersangkutan dengan peranan Parlimen.

    Agenda berkenaan adalah demi memartabatkan dan mengukuhkan kedudukan Parlimen sebagai sebuah cabang institusi kerajaan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

    Rais dan Azhar turut berbesar hati dengan komitmen serta buah fikiran yang diberikan oleh Wan Junaidi terhadap agenda penambahbaikan tersebut serta cadangan pembentukan sebuah Jawatankuasa Bersama Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta Jabatan Perdana Menteri demi memastikan agenda penambahbaikan tersebut dapat dijadikan kenyataan.

    Mereka berdua amat menyambut baik dan akan memberi sokongan padu terhadap langkah transformasi dan reformasi Parlimen yang akan diusahakan.

    Sokongan mereka itu adalah sebagai manifestasi kecaknaan untuk mendaulatkan demokrasi berparlimen dan prinsip pengasingan kuasa antara legislatif, eksekutif dan perundangan negara dapat berfungsi dengan sebenarnya dan terus kekal terpelihara.

    “Sehubungan itu, kami bertiga akan terus berlibat urus dari semasa ke semasa untuk tujuan tersebut,” kata mereka.

    Sementara itu, memetik laporan BH, Dewan Rakyat menerima usul Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang mencadangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021.

    Azhar ketika mengesahkan perkara itu berkata, keputusan belum dibuat untuk menyenaraikan usul itu dalam aturan urusan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-14 pada 13 September hingga 12 Oktober depan.

    “Ya saya menerima usul dari YB (Yang Berhormat) Datuk Seri Azalina (Othman Said) untuk mencadangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 dan juga RUU Pemecatan Ahli-ahli Parlimen 2021 berserta dengan deraf kedua-dua RUU itu.

    “Keputusan akan dibuat sama ada untuk membenarkan usul itu disenaraikan dalam aturan urusan majlis setelah aspek perundangan dan keteraturan usul diperhalusi dan diteliti,” katanya.

    Semalam, Azalina yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat menghantar notis cadangan usul RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021′ kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

  • RUU Pemecatan Ahli Parlimen tangani lompat parti

    RUU Pemecatan Ahli Parlimen tangani lompat parti

    AHLI Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said akan menghantar notis usul Rang Undang-undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

    Menurut beliau, langkah itu dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk Rang Undang-undang (RUU) Ahli yang Bukan Ahli Kerajaan.

    “Usul RUU yang dicadangkan bertajuk ‘Rang Undang-undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021’ dan saya berharap usul ini menjadi titik permulaan untuk memperkenalkan Pilihan Raya Pecat atau Recall Election dalam sidang Parlimen September 2021 ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Berhubung usul RUU tersebut, Azalina berkata, setela 64 tahun meraikan kemerdekaan negara, kini terdapat gejala berleluasa di mana wakil-wakil rakyat membelakangkan parti politik yang memberikan watikah pencalonan kepada mereka.

    Beliau menambah, mereka juga melakukan perkara serupa terhadap masyarakat akar umbi yang bersusah payah meraih undi dari pintu ke pintu, lebih-lebih lagi rakyat yang telah menundi untuk wakil rakyat tersebut di atas kepercayaan perwakilan mereka sebagai wakil parti politik dan manifesto yang dijanjikan.

    “Ramai rakyat mempersoalkan: Apa ertinya mengundi jika wakil rakyat boleh memajak- gadaikan mandat rakyat selepas pilihan raya?

    “Pemimpin generasi saya harus menerima persaingan antara parti-parti politik sebagai sesuatu yang positif dan menguntungkan rakyat.

    “Jika persaingan ini berdasarkan peraturan permainan yang munasabah, dan bukan dicetuskan dari perpecahan parti politik yang memudaratkan,” jelasnya.

    Azalina memberitahu, persaingan politik perlu dimurnikan dan bukannya dihapuskan, ditekan, diisi dengan kebencian ataupun dihuru-harakan.

    Beliau bepandangan, demi kemajuan negara, pemimpin politik generasinya dan generasi lebih muda, mesti berani bermuafakat dan berpakat untuk menjadikan politik sesuatu pilihan kerjaya yang profesional, yang dihormati dan disegani, bukan dikeji dan dicaci.

    “Tanggapan rakyat terhadap ahli-ahli politik hari ini sangat memalukan dan secara peribadi, saya terkilan dengan keadaan ini,” ujarnya.

    Azalina juga amat berbesar hati dengan perbincangan di antara kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Blok Pembangkang dan Bebas untuk memperkenalkan undang-undang mencegah lompat parti.

    Walau bagaimanapun, beliau ingin menyarankan bahawa bentuk terbaik untuk undang-undang mencegah lompat parti adalah untuk memperkenalkan Akta Pemecatan Ahli Parlimen di mana pengundi boleh menarik balik mandat yang telah diberikan kepada wakil rakyat yang membelakangkan mereka.

    “Oleh itu, hak untuk memilih wakil rakyat yang baru atau mengekalkan wakil rakyat tersebut dikembalikan kepada pengundi,” katanya.

    Di samping itu, Azalina juga berhasrat untuk mencadangkan penubuhan ‘Kaukus Reformasi Parlimen dan Demokrasi Pelbagai Parti’ di antara Ahli- ahli Parlimen yang berminat.

    “Ini adalah untuk memperkasakan institusi Parlimen Malaysia dan memartabatkan Demokrasi Berparlimen di negara kita,” jelasnya,

    Beliau turutmengucapkan terima kasih dan memberi penghargaan kepada penyelidikan asal yang dilakukan oleh BERSIH 2.0 yang telah berjaya memberi pemahaman kepada orang awam tentang mekanisme pemecatan wakil rakyat.

  • Tarikh sidang Parlimen pinda ke 13 September

    Tarikh sidang Parlimen pinda ke 13 September

    TARIKH mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-14 dipinda ke 13 September hingga 12 Oktober depan.

    Sebelum ini, ia dijadualkan berlangsung mulai 6 September hingga 30 September ini.

    Memetik laporan BH Online, perkara itu dimaklumkan menerusi satu surat bertarikh semalam yang dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin kepada semua Ahli Dewan Rakyat.

    “Selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11 (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, saya ingin memaklumkan bahawa Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang dijadualkan pada Isnin, 6 September hingga Khamis, 30 September sudah dipinda ke Isnin, 13 September hingga Khamis 12 Oktober 2021,” katanya.

    Jurucakap Parlimen yang dihubungi hari ini juga mengesahkan berkenaan kandungan notis kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat berkenaan, di samping ciapan di Twitter oleh beberapa Ahli Parlimen pembangkang mengenai makluman notis pindaan itu yang diterima mereka malam tadi.

    Dalam notis sama juga, turut dilampirkan takwim baharu mesyuarat yang akan berlangsung selama 17 hari bermula 13 September hingga 12 Oktober.

    Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat pada hari pertama, serta menyampaikan Titah Diraja.

    Berdasarkan urusan majlis sidang itu juga, sesi perbahasan usul Menjunjung Kasih dan Pembahasan Titah Diraja akan bermula pada hari kedua berlangsung hingga 21 September, sebelum kemudian diteruskan dengan jawapan menteri-menteri pada tarikh 22 dan 23 September.

    Sidang kali ini juga akan menyaksikan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada 27 September, disusuli sesi perbahasan yang bermula 28 September hingga 4 Oktober.

    Mesyuarat pertama bagi tahun ini juga dijadual berakhir pada minggu kelima dengan urusan majlis berkaitan rang undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan lain pada 11 dan 12 Oktober depan.

  • Polis rujuk kertas siasatan ahli Parlimen berhimpun kepada Pejabat Peguam Negara

    Polis rujuk kertas siasatan ahli Parlimen berhimpun kepada Pejabat Peguam Negara

    KERTAS siasatan membabitkan Ahli Parlimen yang terlibat dalam perhimpunan di ibu negara pada 2 Ogos lepas telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

    Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata kesemua Ahli Parlimen yang terlibat telah memberi keterangan masing-masing dan pihaknya juga telah selesai menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

    “Semua yang terlibat sudah diambil keterangan. Insya-Allah akan ada keputusan dan tindakan yang diambil. Mungkin tidak berapa lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghantar barangan keperluan harian ke rumah beberapa pesara polis di sini hari ini.

    Pada 2 Ogos lepas, sekumpulan Ahli Parlimen berhimpun di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sebelum berarak dan cuba memasuki pekarangan bangunan Parlimen untuk mendesak supaya Mesyuarat Khas Dewan Rakyat diteruskan namun akhirnya bersurai tanpa sebarang kekecohan selepas diarah polis.

    Sidang khas lima hari itu, yang dijadualkan berakhir pada 2 Ogos, bagaimanapun ditangguhkan atas nasihat Kementerian Kesihatan berikutan penularan COVID-19.

    Acryl Sani juga berkata pembekuan cuti semua anggota serta pegawai polis yang dilaporkan berkuat kuasa pada 12 Ogos adalah sekadar proses pentadbiran dan sememangnya pasukan keselamatan itu perlu sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia.

    “Polis sentiasa dikehendaki berada dalam keadaan bersiap sedia. Cuti ini sebenarnya pentadbiran sahaja. Dalam keadaan siap sedia tersebut, kita akan mengetatkan dari segi pelepasan dan seumpamanya bagi memastikan tahap siap sedia sentiasa ditepati,” katanya.

    Sebelum ini, satu pekeliling bertarikh 12 Ogos tular di media sosial yang memetik Acryl Sani mengeluarkan arahan bahawa cuti dalam negeri, luar negara serta pergerakan luar daerah bagi semua pegawai kanan serta rendah anggota polis dibekukan berkuat kuasa mengikut tarikh ia dikeluarkan sehingga diberitahu kelak.

    Kepada pertanyaan adakah pihak polis sedang melakukan persiapan bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya umum dalam masa terdekat, Acryl Sani berkata “Belum lagi.”

    Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini, polis belum menerima sebarang laporan berkaitan salah guna sijil digital vaksinasi namun pihaknya akan sentiasa memantau dan mengambil langkah tertentu bagi mengelakkan perkara itu berlaku.- BERNAMA

  • Mesyuarat khas Parlimen catat 5 lagi kes Covid-19

    Mesyuarat khas Parlimen catat 5 lagi kes Covid-19

    MESYUARAT Khas Parlimen baru-baru ini mencatatkan lima lagi kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan adalah 102 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes baharu itu membabitkan lima sekeluarga iaitu pesakit pertama bergejala merupakan individu yang menghadiri sidang Parlimen tersebut.

    Menurutnya, tiga kes mempunyai nilai kitaran ambang atau CT value RT PCR antara 16.98 sehingga 22.76 (kebolehjangkitan yang tinggi), manakala dua lagi adalah di antara 28.98 sehingga 33.98.

    “Kesemua mereka telah lengkap mendapat dua dos vaksin. Individu terbabit hanya bergejala ringan dan menjalani kuarantin di kediaman masing-masing,” katanya hari ini.

    Sebanyak 30 individu yang dikesan positif membabitkan persidangan Parlimen itu setakat ini adalah dua Ahli Parlimen, masing-masing sembilan pengiring dan pegawai agensi kerajaan, dan tujuh kes lain-lain iaitu ahli keluarga, kontraktor serta kakitangan Parlimen.

    Selain itu, 64 kes dikesan semasa saringan pra-Dewan Rakyat dan lapan kes semasa saringan pra-Dewan Negara.

    Dr Noor Hisham berkata, KKM bersama pihak Parlimen dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah berbincang mengenai beberapa penambahbaikan yang diperlukan sebagai persediaan pembukaan semula Parlimen bagi mengurangkan lagi risiko penularan jangkitan sebelum dan semasa persidangan.

    Kesiapsiagaan itu ujarnya adalah tindakan memastikan individu-individu pelbagai kategori dan dari pelbagai negeri yang hadir ke Parlimen supaya mereka sihat dan tidak dijangkiti Covid-19 pada masa tersebut.

    “Kedua, keadaan persekitaran serta bahagian dalaman Parlimen dikaji dan ditambahbaik supaya selamat, kurang risiko dan tidak menjadi tempat penularan Covid-19,” tambah Dr Noor Hisham.

  • Cubaan pembangkang berarak, masuk bangunan Parlimen gagal

    Cubaan pembangkang berarak, masuk bangunan Parlimen gagal

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEKUMPULAN ahli Parlimen pembangkang terutama daripada Pakatan Harapan (PH) berarak dan cuba memasuki bangunan Parlimen di Kuala Lumpur pada pagi ini tidak berjaya setelah dihalang pihak polis.

    Ahli-ahli Parlimen berkenaan mula berkumpul di Dataran Merdeka kira-kira pukul 10 pagi apabila cubaan mereka untuk memasuki bangunan Parlimen yang dijadualkan pukul 9.30 pagi tidak berjaya.

    Cubaan itu gagal ekoran sekatan yang dilakukan oleh pihak polis di setiap laluan masuk ke Jalan Parlimen.

    Antara yang hadir Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

    Anwar Ibrahim mengetuai ahli-ahli Parlimen PH untuk berarak menuju ke Bangunan Parlimen yang ditutup susulan penularan wabak Covid-19 yang tinggi.

    Selepas beberapa ahli Parlimen berucap, kumpulan itu berarak dari Dataran Merdeka sambil memegang kain rentang yang bertulis ‘Mahiadin & kabinet letak jawatan’.

    Pihak polis yang berkawal cuba menahan pergerakan tersebut beberapa kali namun ahli-ahli Parlimen terus mara sehingga ke bulatan Bank Negara.

    Namun sepasukan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) telah bersiap sedia di laluan masuk Jalan Parlimen bagi menyekat pergerakan tersebut.

    Rundingan yang cuba dilakukan oleh Anwar bersama pihak polis juga gagal dan akhirnya ahli-ahli Parlimen mengambil keputusan untuk menghentikan perarakan yang berlangsung selama lebih sejam itu dan bersurai.

    Anggota Polis FRU mengawal jalan disekitar Dataran Merdeka berikutan ahli-ahli Parlimen pembangkang cuba berarak menuju ke Bangunan Parlimen yang ditutup susulan penularan wabak Covid-19 yang tinggi.