Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

KES jangkitan baharu Covid-19 di Terengganu dijangka terus meningkat dalam tempoh dua minggu akan datang.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr. Kasemani Embong, peningkatan itu disebabkan pelbagai faktor khususnya membabitkan program saringan besar-besaran dilakukan secara bersasar di beberapa lokaliti di seluruh negeri ini.

Selain itu katanya, peningkatan kes juga disebabkan JKNT telah melakukan saringan wajib ke atas
Orang Kena Tahan (OKT) yang dimasukkan ke penjara, saringan pekerja dari tapak bina, aktiviti merentas negeri seeta aktiviti perkumpulan.

“Berikutan aktiviti tersebut, pengesanan secara besar-besaran ini, kita menjangkakan peningkatan kes akan terus berlaku dalam tempoh dua minggu akan datang,” katanya dalam satu kenyataan menerusi halaman Facebook (FB) hari ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Terenganu, Datuk Dr. Kasemani Embong

Dr. Kesemani memberitahu, catatan sebanyak 987 kes baharu Covid-19 yang direkodkan di negeri ini semalam adalah angka tertinggi sejak pandemik itu mula dikesan di negara ini.

Daripada jumlah itu katanya, Kuala Terengganu merekodkan kes tertinggi iaitu 266 kes diikuti Marang (171), Besut (166), Kemaman (117), Kuala Nerus (100), Dungun (86), Hulu Terengganu (42) dan Setiu (39).

Justeru Dr. Kassmani berkata, penguatkuasaan akan terus ditingkatkan bagi memastikan amalan norma baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi secara optima.

Ujarnya, JKNT akan memastikan aktiviti penguatkuasaan turut dilaksanakan di premis tertentu khususnya tempat kerja, perniagaan dan tapak bina.

“Kita berharap agar orang ramai sentiasa menatuhi SOP ditetapkan, meskipun Terengganu berada di Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kalau tiada urusan mustahak, terus kekal berada di rumah,” jelas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here