MOHD LAZIM ENDUT

AWAS rakyat Terengganu, anda diminta supaya jangan terlalu bergerak bebas dan perlu sentiasa mematuhi prosedur Operasi Sandard (SOP) ditetapkan apabila ada urusan di luar.

Ini kerana, jangkitan varian dibimbangi (VOC) virus SAR-CoV-2 sudah mula berada di dalam komuniti negeri ini, apabila sebanyak 16 kes jangkitan dilaporkan sehingga semalam.

Malah, daripada jumlah tersebut, tujuh kes adalah membabitkan varian Delta (B.1.617.2) dan sembilan kes pula ialah varian Beta (B.1.351) sejak ia mula dikesan akhir Julai lalu.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Datuk Dr. Kasemani Embong, empat kes varian dibimbangi itu direkodkan di daerah Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu, Marang (tiga), Kemaman (dua) dan masing-masing satu kes di Setiu, Dungun dan Besut.

Oleh itu katanya, tindakan kawalan segera telah dilakukan JKNT bagi memastikan varian tersebut tidak merebak dengan pengasingan pesakit dan kontak rapat sepanjang tempoh kuarantin.

“JKNT meminta seluruh masyarakat termasuk individu yang sudah lengkap divaksin supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Bagi mengurangkan risiko dijangkiti VOC Covid-19, orang ramai disaran agar sentiasa mengelakkan berada di kawasan sesak dan bersembang dalam jarak dekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dr. Kasemani berkata, kewujudan varian ini memerlukan tindakan kawalan yang lebih teliti kerana kadar jangkitannya lebih cepat.

Selain itu kata beliau tindakan kawalan juga dilakukan dengan lebih cepat seperti memastikan pesakit dikuarantin dengan betul serta mengasingkan segera pesakit dan kontak rapat yang dikesan.

“Yang penting, masyarakat mestilah sentiasa amalkan 3W (wash, wear dan warn). Duduk di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting, jika bergejala perlu ke klinik dengan segera untuk diambil ‘sampel’ ,” jelas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here