Tag: nahas udara

  • [VIDEO] Pesawat kargo terhempas dan terbakar

    [VIDEO] Pesawat kargo terhempas dan terbakar

    SEBUAH pesawat kargo Ukraine yang membawa lapan anak kapal dilaporkan terhempas berhampiran bandar Kavala di utara Greece pada petang Sabtu, menurut Xinhua.

    Sebelum terhempas pesawat Antonov An-12 yang dalam penerbangan dari Serbia ke Jordan itu meminta kebenaran untuk pendaratan cemas dan memaklumkan pihak berkuasa Greece mengenai masalah enjin, lapor penyiar ERT, memetik sumber Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Greece.

    Menurut saksi kejadian, pesawat itu terbakar dan terhempas di ladang jagung disusuli letupan kuat.

    Operasi menyelamat masih berjalan. Maklumat awal menyatakan pesawat itu membawa 12 tan kargo termasuk peluru namun, ia masih belum dapat disahkan.

    https://youtu.be/691ExNTbiak

    Susulan itu beberapa kawasan berhampiran lokasi kejadian mengalami gangguan bekalan elektrik kerana pesawat berkenaan dikatakan turut melanggar kabel elektrik. – BERNAMA

  • [VIDEO] Juruterbang maut pesawat terhempas dalam misi padam kebakaran

    [VIDEO] Juruterbang maut pesawat terhempas dalam misi padam kebakaran

    SEORANG juruterbang maut selepas pesawat dipandunya terhempas ketika menyertai misi memadamkan kebakaran di perbandaran Vila Nova de Foz Coa di Portugal, lapor Xinhua, memetik pihak berkuasa tempatan.

    Pejabat Penyiasatan dan Pencegahan Kemalangan Pesawat dan Kereta Api telah melancarkan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar nahas itu.

    Presiden Marcelo Rebelo de Sousa turut melahirkan rasa sedih dengan insiden itu.

    https://youtu.be/hKGxaFXJWYw

    Portugal diancam kebakaran berikutan suhu panas mencecah lebih 45 darjah Celsius melanda beberapa bahagian di negara ini. – BERNAMA

  • [VIDEO] Nahas pesawat Il-76: 2 maut, 5 cedera

    [VIDEO] Nahas pesawat Il-76: 2 maut, 5 cedera

    SEKURANG-KURANGNYA dua maut dan lima lagi cedera selepas sebuah pesawat penumpang Il-76 terhempas di wilayah Ryazan, Rusia pada pagi Jumaat, menurut pihak berkuasa Rusia.

    Kejadian berlaku pada 3.18 pagi waktu tempatan, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Rusia TASS.

    Pesawat Il-76 itu terhempas sebelum terbakar ketika cuba mendarat berhampiran Ryazan, sebuah bandar yang terletak kira-kira 200 kilometer dari tenggara Moscow.

    https://youtu.be/JtMbACUc58Q

    Api berjaya dipadamkan, dan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan. – BERNAMA

  • Pesawat Learjet 55C terhempas, enam terkorban

    Pesawat Learjet 55C terhempas, enam terkorban

    ENAM maut selepas sebuah pesawat Learjet 55C terhempas di selatan Venezuela, Caracas, lapor Sputnik.

    Pesawat itu dilaporkan terhempas berhampiran Valles del Tuy, bandar raya Cristobal Rojas, ketika dalam perjalanan dari bandar Puerto Cabello ke lapangan terbang Caracas.

    Menurut perkhidmatan pengesanan Flightradar, penerbangan itu mengambil masa 29 minit.

    Dua anak kapal dan empat penumpang pesawat Learjet 55C itu, termasuk presiden kelab bola sepak Estudiantes de Mérida, Christian Toni disahkan terkorban. – BERNAMA

  • [VIDEO] 7 penumpang maut dalam nahas helikopter

    [VIDEO] 7 penumpang maut dalam nahas helikopter

    SEBUAH helikopter yang hilang daripada radar trafik udara pada Khamis telah ditemukan dan kesemua tujuh penumpang disahkan terkorban, menurut pihak berkuasa Itali pada Sabtu.

    Seorang pengembara yang melalui kawasan berhampiran Monte Cusna — sebuah gunung di wilayah tengah Itali Emilia Romagna berhampiran sempadan dengan Tuscany — menghubungi pihak berkuasa selepas menemui serpihan bangkai pesawat itu, lapor Xinhua.

    Menurut laporan, seorang juruterbang, seorang warga Itali, termasuk empat warga Turki dan dua rakyat Lubnan terkorban dalam nahas itu.

    Pihak berkuasa Itali telah menjalankan operasi mencari bagi mengesan helikopter dan penumpangnya sejak Khamis.

    Helikopter itu dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari bandar Tuscan Lucca ke Treviso, sebuah bandar yang terletak di utara Venice.

    Pegawai Itali masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai punca nahas.

    Pihak berkuasa tempatan berjaya menemukan lima mayat pada Sabtu. Beberapa jam kemudian, dua lagi mayat ditemukan. – BERNAMA

  • [VIDEO] Pesawat bawa 22 penumpang terhempas

    [VIDEO] Pesawat bawa 22 penumpang terhempas

    PESAWAT Nepal yang hilang dengan 22 penumpang di dalamnya ditemukan terhempas, lapor Xinhua, memetik Tentera Nepal pada pagi Isnin.

    “Pesawat Tara Air ditemukan terhempas di Sanosware di Bahagian-2 Perbandaran Luar Bandar Thasang di daerah Mustang,” kata jurucakap tentera, Brigedier Jeneral Narayan Silwal dalam satu kenyataan.

    “Butiran lanjut mengenainya akan menyusul.”

    Pesawat Twin Otter yang membawa 19 penumpang dan tiga anak kapal, termasuk empat warga India dan dua warga Jerman, hilang pada pagi Ahad ketika dalam penerbangan dari bandar Pokhara ke bandar pergunungan Jomsom di daerah Mustang.

    Dalam perkembangan terkini, sebanyak 14 mayat ditemukan di lokasi nahas pesawat penumpang Nepal di kawasan berbukit terpencil di daerah Mustang Nepal, lapor Xinhua, memetik Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal pada Isnin.

    “Empat belas mayat ditemukan di lokasi tetapi identiti mereka masih belum didedahkan,” kata agensi penerbangan itu dalam satu kenyataan.

    Keadaan cuaca buruk menyukarkan operasi mencari dan menyelamat yang diketuai oleh Tentera Nepal.

    Pasukan penyelamat dengan 11 anggota berada di lokasi nahas untuk mencari mayat mangsa, dan disebabkan keadaan cuaca buruk tiada pasukan lain dapat terbang ke lokasi, ketua pegawai daerah Mustang Netra Prasad Sharma memberitahu Xinhua.

    “Kawasan itu mendung sehingga mengganggu jarak penglihatan,” katanya. – BERNAMA

  • [VIDEO] Pesawat kecil terhempas, 9 penumpang 2 kru maut

    [VIDEO] Pesawat kecil terhempas, 9 penumpang 2 kru maut

    TIADA mangsa terselamat ditemui selepas sebuah pesawat kecil yang membawa 11 orang terhempas di hutan di wilayah Pusat Cameroon pada Rabu, lapor Xinhua, memetik media rasmi CRTV.

    Menurut pegawai, Akbert Nagan dari Sanaga di wilayah tengah, tiada mangsa terselamat ditemui di bahagian Bibey, ciap CRTV di Twitter petang Khamis.

    Peta menunjukkan lokasi di mana pesawat yang membawa sembilan penumpang yang juga pekerja syarikat minyak dan dua kru terhempas. Mereka dilaporkan dalam perjalanan dari Yaounde ke sebuah stesen pam di Dompta yang terletak di utara Cameroon sebelum terhempas di kawasan hutan. (Gambar: Twitter)

    Pesawat kecil dengan 9 penumpang dan 2 anak kapal itu dalam perjalanan dari ibu kota Yaounde ke stesen pam di Dompta di wilayah Utara negara itu, apabila ia terputus hubungan dengan kawalan trafik udara, menurut kenyataan media Syarikat Pengangkutan Minyak Cameroon.

    Mangsa adalah pekerja syarikat minyak yang menyelenggara saluran paip hidrokarbon antara Cameroon dan Chad yang berjiran.

    Klip video yang memaparkan wajah-wajah mangsa yang terkorban dalam nahas udara yang mengorbankan seramai sembilan penumpang iaitu pekerja syarikat minyak dan dua kru pesawat kecil di kawasan hutan di wilayah Pusat Cameroon pada Rabu lalu. (Kredit video: Saluran YouTube Downtown Info)

    Media tempatan mengaitkan punca nahas itu berpunca daripada puting beliung. – BERNAMA

  • [VIDEO] Pesawat penumpang terhempas dalam hutan

    [VIDEO] Pesawat penumpang terhempas dalam hutan

    SEBUAH pesawat membawa 11 penumpang dilaporkan terputus hubungan pada Rabu malam sebelum pesawat itu ditemukan di hutan berhampiran Nanga Eboko, di Cameroon, lapor Xinhua.

    Perkara itu dimaklumkan Menteri Pengangkutan Cameroon Jean Ernest Ngalle Bibehe dalam satu kenyataan.

    “Pasukan penyelamat kini dalam perjalanan ke lokasi pesawat ditemukan untuk memberikan bantuan,” kata Bibehe.

    Pesawat itu dalam perjalanan ke wilayah Belabo selepas berlepas dari Yaounde, ibu negara Cameroon.

    https://youtu.be/KBIRbtYvItQ

    Media tempatan melaporkan penumpang pesawat terdiri pekerja syarikat minyak.

    Sementara itu, di China, seramai 25 orang cedera selepas sebuah pesawat penumpang tergelincir dari landasan dan terbakar ketika hendak berlepas dari lapangan terbang di Chongqing kira-kira 8 pagi Khamis, lapor Xinhua.Menurut sumber lapangan terbang pesawat penumpang kendalian Tibet Airlines itu membawa 113 penumpang dan sembilan anak kapal. 

    Semua penumpang telah dipindahkan manakala mangsa cedera dihantar ke hospital.

    Dalam pada itu, di Brazil, sekurang-kurangnya dua maut manakala 14 lagi cedera pada Rabu selepas sebuah pesawat ringan terhempas di bandar Boituva, lapor pihak berkuasa.

    Pesawat itu terhempas selepas berlepas dari Pusat Payung Terjun Nasional di Boituva, lapor Xinhua.

    Menurut kenyataan pejabat Datuk Bandar Boituva, pesawat itu milik syarikat pelancongan Skydive4Fun dan membawa seorang juruterbang serta 15 penerjun.

    “Dalam sejarah 50 tahun aktiviti payung terjun Boituva ini merupakan nahas pesawat pertama di pusat itu. Ia hari yang sangat menyedihkan,” kata Datuk Bandar Boituva, Edson Marcusso.

    Jurucakap bomba berkata mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan.

    Sementara itu, Tentera Udara Brazil dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pakar sedang menjalankan siasatan di lokasi nahas. – BERNAMA

  • Helikopter pengawal pantai terhempas, 2 maut, seorang hilang

    Helikopter pengawal pantai terhempas, 2 maut, seorang hilang

    SEBUAH helikopter milik Pengawal Pantai terhempas di perairan pulau Mara, Korea Selatan pada Jumaat, menyebabkan dua maut dan seorang lagi hilang, lapor Agensi Berita Yonhap.

    Helikopter Sikorsky S-92 membawa empat kru sebelum terhempas di perairan 370 kilometer barat daya Pulau Mara pada 1.32 pagi waktu tempatan.

    Mangsa yang terkorban termasuk dua pembantu juruterbang, dikenali Chung, 51, dan Hwang, 28, manakala seorang mekanik, Cha, 42, dikhuatiri hilang.

    Seorang lagi juruterbang Choi, 47, berjaya diselamatkan bot peronda dan dilaporkan selamat, menurut pegawai.

    Nahas berlaku ketika helikopter itu dalam perjalanan pulang ke Busan selepas terlibat dalam operasi menyelamat di perairan berhampiran Taiwan. – BERNAMA

  • [VIDEO] Pesawat China Eastern Airlines bawa 132 penumpang terhempas

    [VIDEO] Pesawat China Eastern Airlines bawa 132 penumpang terhempas

    SEBUAH pesawat Boeing 737 milik China Eastern Airlines yang membawa 132 penumpang dan sembilan kru dalam penerbangan dari Kunming ke Guangzhou dilaporkan terhempas di kawasan pergunungan di China.

    Memetik laporan Mirror, asap tebal dilihat berkepul-kepul di lokasi kejadian.

    Stesen televisyen China melaporkan, pesawat Boeing 737 tersebut mengalami ‘nahas’ di ruang udara Guangxi.

    Setakat ini tidak diketahui berapa jumlah mangsa yang terkorban atau cedera manakala pasukan penyelamat dalam perjalanan ke kawasan pergunungan itu.

    Jabatan Pengurusan Kecemasan Guangxi dalam satu kenyataan berkata, pesawat tersebut terhepas di Mukim Teng, Wuzhou, Guangxi dan menyebabkan kebakaran di kawasan pergunungan.

    “Ketika ini, pasukan kecemasan telah dikumpul dan digerakkan manakala jumlah korban tidak diketahui,” jelasnya.

    Sementara itu, Rangkaian Keselamatan Penerbangan dalam ciapan Twitter menyatakan telah menerima beberapa laporan yang belum disahkan mengenai kemungkinan nahas melibat penerbangan China Eastern Airlines MU5735.

    Data penerbangan yang didakwa dari penerbangan itu menunjukkan pesawat berusia enam tahun itu jatuh dari ketinggian beribu-ribu kaki ke bumi dalam masa beberapa minit, menyebabkan kru tidak dapat bertindak menangani masalah yang dihadapi.

    MU5735 berlepas dari Kunming pada pukul 1.11 petang waktu tempatan, menurut data yang dikeluarkan oleh FlightRadar24.

    Penjejakan pesawat berakhir pada pukul 2.22 petang waktu tempatan pada ketinggian sekitar 30,000 kaki dengan kelajuan 376 knot sebelum ia tiba-tiba terjunam ke bumi.