Oleh RIZQI ZABIDI

SEBANYAK 1,178 kes baharu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dicatatkan di Kedah sepanjang tempoh Minggu Epidemiologi ke-21 (ME21) yang bermula 22 Mei hingga 28 Mei lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Kedah, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, angka itu mencatatkan pertambahan sebanyak 388 kes atau 49 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Katanya, terdapat lima wabak baharu dilaporkan melibatkan tiga pra-sekolah, satu taman asuhan kanak-kanak (taska) dan satu tadika.

“Empat daripada premis berkenaan diarah tutup mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 manakala satu lagi premis tidak ditutup kerana didapati berisiko rendah daripada penyebaran jangkitan.

“Semua kes dilaporkan itu menunjukkan gejala ringan dan diberi rawatan sebagai pesakit luar. Tiada kes yang mengalami komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, dengan pertambahan kes dicatatkan sepanjang minggu itu, jumlah kes HFMD di Kedah setakat 28 Mei lalu secara keseluruhannya berjumlah 3,403 kes.

Angka itu katanya, jauh mengatasi catatan kes dalam tempoh sama pada 2019 iaitu sebelum kedatangan pandemik Covid-19 yang mencatatkan hanya 2,628 kes.

Menurutnya, sepanjang tahun ini daerah Kuala Muda mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 785 kes diikuti Kubang Pasu sebanyak 494 kes dan Kulim 451 kes.

“Sepanjang tahun ini juga, sebanyak 45 wabak HFMD dilaporkan di Kedah dengan 44 daripadanya berlaku di pusat jagaan serta pendidikan awal kanak-kanak seperti Taska, Tadika dan pra-sekolah.

“Sebanyak 43 premis telah diarahkan tutup sementara atau ditutup secara sukarela bagi tujuan sanitasi serta pencegahan jangkitan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here