Tag: MoU Transformasi dan Kestabilan Politik

  • Jamin DAP hormati MoU, terima kasih Uncle Kit

    Jamin DAP hormati MoU, terima kasih Uncle Kit

    AKHIRNYA Lim Kit Siang menunjukkan kematangan yang sangat luar biasa sepanjang karier politiknya yang melebihi separuh abad.

    Orang lama dalam pakatan pembangkang itu memujuk sekutu-sekutunya iaitu Pejuang, Warisan dan Muda untuk mengikut langkah DAP, PKR dan Amanah memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama kerajaan.

    Pemimpin veteran DAP itu juga memberi jaminan bahawa partinya akan menghormati MoU yang turut dimeterai oleh anaknya, Lim Guan Eng pada 13 September lalu.

    Bukan rahsia lagi bahawa Kit Siang mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam DAP dan setiap pandangannya akan diterjemahkan sebagai arahan yang mesti dipatuhi oleh segenap peringkat kepimpinan parti.

    Jaminan yang diberi oleh Kit Siang itu pasti bukan sahaja melegakan kerajaan malah komuniti perniagaan yang sebahagian besarnya merupakan kaum Cina di kawasan bandar yang dikuasai oleh DAP.

    Sebagai ahli perniagaan, mereka amat memahami bahawa usaha memulihkan semula ekonomi negara yang terjejas akibat krisis pandemik Covid-19 sangat bergantung kepada kestabilan politik.

    Tanpa kestabilan politik, kerajaan sukar untuk melaksanakan langkah-langkah pemulihan yang berkesan bagi membolehkan aktiviti ekonomi kembali rancak berkembang seperti dahulu.

    Politiking melampau yang tidak berkesudahan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) merupakan salah satu faktor yang mengikis keyakinan pelaburan asing terhadap negara ini.

    Akibatnya, pertumbuhan ekonomi negara menyusut dan menimbulkan kesan sampingan seperti peningkatan kadar pengangguran serta pengurangan kuasa beli rakyat.

    Apabila keadaan itu berlaku, tempiasnya turut dirasai oleh komuniti perniagaan Cina yang diketahui teguh menyokong DAP sejak lebih sedekad lalu.

    Hasil jualan mereka berkurangan malah sebahagian peniaga kecil dalam kalangan mereka terpaksa gulung tikar kerana tidak terdaya lagi menampung kerugian berterusan sejak pandemik melanda awal tahun lalu.

    Seperti mana-mana parti politik lain, DAP perlu menjaga kepentingan kelompok yang mengundinya supaya terus menerima sokongan pada PRU akan datang.

    Jika DAP dan PH masih mengamalkan sikap membangkang secara semberono dan membuta tuli, mereka pasti akan dihukum oleh penyokong sendiri yang terhimpit akibat krisis ekonomi.

    DAP tidak mempunyai masalah untuk meyakinkan PKR dan Amanah kerana kedua-dua parti itu juga dominan di kawasan bandar dan mereka juga bergantung kepada sokongan komuniti perniagaan.

    Warisan dan Pejuang pula lain halnya kerana kedua-dua parti itu menerima sokongan daripada masyarakat luar bandar yang menerima banyak bantuan daripada kerajaan sejak krisis COVID-19 bermula.

    Begitu juga dengan satu-satunya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selaku Ahli Parlimen tunggal yang mewakili Muda.

    Namun, pemimpin-pemimpin Warisan, Pejuang dan Muda sepatutnya ingat bahawa situasi semasa di negara ini memerlukan semua parti politik tanpa mengira sama ada yang di pihak kerajaan atau pembangkang bekerjasama, sekurang-kurangnya sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan PRU-15.

    Sebagai veteran yang sangat berpengalaman dalam gelanggang politik tanah air, Kit Siang memahami hakikat ini.

    Malah, tanpa bersembunyi beliau menyatakan bahawa langkah memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik adalah ‘untuk masa depan yang lebih baik bagi semua rakyat Malaysia’.

    Pemerhati politik juga menyifatkan MoU tersebut memberi situasi menang-menang kepada semua pihak yang menandatanganinya.

    Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Syed Saddiq seharusnya mempertimbangkan rayuan Kit Siang itu semasak-masaknya.

    Kedegilan Pejuang, Warisan dan Muda akan menyebabkan mereka dilihat sebagai ‘kera sumbang’ yang menentang arus politik kontemporari, sekali gus akan dihukum oleh rakyat yang mual dan jelak dengan sikap gedebe politik mereka.

  • Kit Siang rayu Warisan, Pejuang, Muda meterai MoU kerajaan-PH

    Kit Siang rayu Warisan, Pejuang, Muda meterai MoU kerajaan-PH

    PENASIHAT DAP, Lim Kit Siang berharap Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Bersatu (Muda) menyokong dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Menurut beliau, langkah itu adalah untuk masa depan yang lebih baik bagi semua rakyat Malaysia.

    Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menjelaskan, MoU berkenaan tidak bermaksud tiada lagi blok pembangkang di Parlimen kerana Ahli Parlimen DAP dan Pakatan Harapan (PH) akan terus bersuara dan mengangkat agenda keadilan, kebebasan, kemajuan dan perpaduan seperti biasa yang mereka lakukan selama ini.

    “Kami ingin memenuhi Impian Malaysia, untuk negara ini menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dan untuk menunaikan hasrat Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman agar Malaysia menjadi ‘sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu’.

    “Pun begitu, rakyat Malaysia, tanpa mengira etnik, agama, wilayah atau politik, perlu memastikan bahawa Mou yang ditandatangani antara Ismail Sabri dan pemimpin PH memberikan peluang bersejarah untuk menetapkan semula hala tuju negara ini ke arah pemulihan ekonomi dan sosial dalam era pasca Covid-19 selain menyelamatkan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Kit Siang juga memberi jaminan bahawa DAP dan PH akan melakukan yang terbaik untuk menghormati janji yang termaktub dalam MOU Transformasi dan Kestabilan Politik.

    Beliau memberitahu, semua pihak tidak boleh membiarkan wabak Covid-19 terus berlanjutan dengan meninggalkan kerosakan terhadap kehidupan dan mata pencarian rakyat Malaysia, mengakibatkan lebih dua juta kes jangkitan Covid-19 dan mengorbankan lebih 22,000 dalam tempoh 21 bulan lalu.

    “Semalam, pada Hari Malaysia ke-58, sebanyak 345 kes kematian Covid-19 direkodkan, menjadikan Malaysia sebagai negara ke-5 di dunia dengan jumlah kes kematian akibat Covid-19 tertinggi selepas Amerika Syarikat (1,291), Rusia (794), Brazil (600) dan Iran (453),” jelasnya.

    Kit Siang berkata, purata kes jangkitan Covid-19 sepanjang 18 hari lalu adalah melebihi 19,000 kes dan purata kes kematian akibat Covid-19 untuk tempoh yang sama adalah sebanyak 330 kes.

    Beliau menambah, memandangkan tempoh inkubasi koronovirus adalah selama 14 hari, perlu ditekankan bahawa purata kes kematian akibat Covid-19 sepanjang empat hari lalu adalah sebanyak 411 kes.

    “Dengan peningkatan kadar kes jangkitan Covid-19 dan kematian akibat Covid-19 ini, adakah kita akan mengumpulkan lebih lebih tiga juta kes jangkitan Covid-19 dan 30,000 kematian akibat Covid-19 pada akhir Oktober depan?

    “Menurut laman web Our World in Data, kita adalah negara teratas pada 15 September dengan ‘kes kematian akibat Covid-19 per sejuta penduduk’ tertinggi, bukan hanya di rantau ASEAN, malah turut menewaskan Indonesia, Filipina, Thailand, Myanmar dan Vietnam, kita juga menewaskan negara-negara besar yang lain seperti China, India, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat, United Kingdom, Iran, Turki, Brazil dan Mexico.

    “Inilah sebabnya mengapa gencatan senjata politik mesti dilaksanakan dalam tempoh 10 hingga 18 bulan dari sekarang untuk menyatukan rakyat Malaysia supaya mereka dapat memberikan tumpuan tidak berbelah dalam usaha memenangi perang melawan wabak Covid-19 dan mengatasi kesan yang ditimbulkan oleh wabak ini,” katanya.

  • Warisan tolak MoU, sudah kenapa dengan Shafie?

    Warisan tolak MoU, sudah kenapa dengan Shafie?

    PRESIDEN Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak berpuas hati apabila sekutu-sekutunya dalam blok pembangkang memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama kerajaan.

    Bertubi-tubi beliau membidas DAP, PKR dan Amanah ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, semalam.

    Mungkin Ahli Parlimen Semporna itu masih terperangkap dalam sindrom penafian yang teruk kerana terlepas Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dicetuskan oleh tindakannya terburu-buru membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tahun lalu.

    Ironinya, Mohd Shafie menolak untuk menjalinkan kerjasama dengan kerajaan semata-mata kerana tidak mahu dianggap sebagai seorang yang gagal.

    Masalahnya, beliau memang seorang yang gagal ketika mengetuai jentera pentadbiran kerajaan negeri Sabah selama 26 bulan.

    Pertumbuhan ekonomi di Sabah jatuh merudum selepas Warisan mengambil alih negeri itu daripada Barisan Nasional (BN) pada Mei 2013.

    Sebelum itu, Sabah menyaksikan kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 8.2 peratus.

    Mohd Shafie juga gagal memastikan kestabilan politik dalam Warisan Plus berkekalan selepas lebih dua tahun gabungan politik itu berkuasa di Sabah.

    Akhirnya, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mendakwa beliau beroleh majoriti mudah apabila beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari blok kerajaan menarik sokongan terhadap Mohd Shafie.

    Mungkin Mohd Shafie berharap rakyat Sabah akan kembali memberi mandat kepada Warisan Plus dalam PRN, sama seperti yang berlaku semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Namun, majoriti pengundi di Negeri Di Bawah Bayu itu memberi isyarat yang jelas bahawa mereka tidak mahu lagi hidup di bawah cengkaman Warisan dan sekutu-sekutunya.

    Cukuplah sudah mereka menderita ekoran kegagalan rejim Pakatan Harapan (PH) di peringkat Pusat dan kegagalan Warisan Plus di peringkat negeri.

    Mohd Shafie terpaksa berputih mata menyaksikan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menyaksikan kerjasama strategik antara Perikatan Nasional (PN) dan BN.

    Beliau juga dikatakan gagal menarik sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam usahanya melobi menjadi calon Perdana Menteri PH selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.

    Namun, bekas Ketua Menteri Sabah itu masih boleh menebus kegagalannya dengan mengikut jejak langkah sekutu-sekutunya dalam PKR, DAP dan Amanah.

    Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng boleh mengetepikan ego masing-masing dengan memeterai MoU, takkanlah Mohd Shafie tidak boleh melakukan perkara yang sama.

    Lagipun yang kelak mendapat untung secara langsung dan tidak langsung adalah rakyat di kawasan masing-masing.

    Biarlah rakyat benar-benar dapat mengecapi kemakmuran hasil kestabilan politik yang dicapai antara semua parti politik.

    Harap Mohd Shafie mempertimbangkan perkara ini semasak-masaknya dan sedar bahawa rakyat sudah muak dengan krisis politik yang tidak berkesudahan.

    Malah, beliau pasti dikenang sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar apabila memilih jalan perdamaian. Pokok-pangkalnya terpulang kepada beliau sendiri.

  • Agong harap MoU dapat tamatkan kemelut politik

    Agong harap MoU dapat tamatkan kemelut politik

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan bahawa dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengetepikan agenda politik dengan bersatu hati serta bersepakat berusaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

    Seri Paduka juga menzahirkan rasa syukur dan sukacita dengan pendekatan bersejarah kerjasama rentas parti yang telah dimeterai melalui MoU Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September lalu.

    “Seri Paduka Baginda mengulangi pandangan Baginda bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kelembapan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

    “Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa ianya juga selaras dengan pendirian Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu akan pentingnya pembentukan kerajaan yang stabil dan berfungsi dengan cekap serta berhemah dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan Istana Negara, hari ini.

    Ahmad Fadil menambah, oleh hal yang demikian, Seri Paduka menasihatkan Ahli-ahli Parlimen supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung.

    Menurut beliau, Seri Paduka turut menasihatlan Ahli-ahli Parlimen supaya mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat dan negara.

    “Seri Paduka Baginda menzahirkan keyakinan bahawa selari dengan kestabilan politik dan peningkatan kadar vaksinasi penduduk serta bantuan tambahan oleh kerajaan, proses pemulihan ekonomi negara dapat dipercepatkan.

    “Bahkan, faktor-fakor tersebut juga adalah kunci kepada keyakinan semua pihak yang berkaitan dan para pelabur,” jelasnya.

    Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka turut menegaskan bahawa kerajaan perlu mempercepatkan penggubalan dasar-dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan bagi meningkatkan lagi daya saing negara.

    Beliau memberitahu, Seri Paduka mengambil kesempatan ini menyeru seluruh rakyat menzahirkan solidariti dan sokongan padu kepada para petugas barisan hadapan dengan bersama berganding bahu berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta semua perintah yang telah ditetapkan kerajaan.

    “Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah Subhanahu Wata’ala, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.

  • Kerajaan, PH lakar sejarah meterai MoU kerjasama dwipartisan

    Kerajaan, PH lakar sejarah meterai MoU kerjasama dwipartisan

    Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) melakar sejarah negara dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di bangunan Parlimen, hari ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, memorandum itu membentuk satu kerjasama dwipartisan yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

    Menurut beliau, langkah itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Ke-14 hari ini.

    “Titah hasrat Baginda Tuanku, semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan demi mencapai matlamat Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan.

    “Semangat Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan inilah yang dizahirkan dalam memorandum persefahaman oleh kerajaan dan Ahli-ahli Yang Berhormat pada petang ini.

    “Transformasi yang diperkenalkan kerajaan ini bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi COVID-19 dan pemulihan ekonomi, bahkan memangkin iklim pelaburan yang kondusif, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan selepas majlis menandatangani memorandum tersebut di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen, hari ini.

    MoU yang terhasil dari beberapa siri perbincangan antara wakil kerajaan dan pembangkang sejak akhir bulan ditandatangani secara bersama oleh Ismail Sabri dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Turut menandatangani MoU itu ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

    Majlis tersebut turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

    Ismail Sabri menambah, MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimaktubkan hari ini merangkumi Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

    Beliau memberitahu, kerajaan yakin memorandum persefahaman yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya mengenepikan segala perbezaan politik, bahkan
    mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif.

    “Setinggi penghargaan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah membulatkan tekad, mengenepikan perbezaan ideologi politik untuk bersama-sama memacu kestabilan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” jelasnya.

    Jumaat lalu, Ismail Sabri mengumumkan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

    Tawaran-tawaran tersebut adalah:

    • Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.
    • Pelaksanaan Undi 18 dalam tempoh terdekat. Untuk itu, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan.
    • Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
    • Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen membabitkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang.
    • Setiap Rang Undang-Undang, termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.
    • Ahli parti pembangkang akan terbabit dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.
    • Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.
  • Kerajaan, PH bakal meterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik

    Kerajaan, PH bakal meterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik

    Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) akan mencatat sejarah baharu dalam dunia politik tanah air dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, esok.

    Kenyataan penuh berhubung usaha mengembalikan kestabilan politik negara itu adalah seperti berikut:

    Setelah mengadakan beberapa pusingan rundingan, wakil-wakil pihak kerajaan dan PH pada hari ini telah memuktamadkan sebuah MoU di antara kerajaan Persekutuan dan PH.

    Semua pihak telah bersetuju bahawa MoU ini adalah untuk mengembalikan kestabilan politik negara demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui pedekatan kerjasama secara dwipartisan.

    Dengan persefahaman ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan oleh kedua-dua pihak kepada landskap politik yang baharu melalui inisiatif-inisiatif transformasi dan pembaharuan terhadap tata kelola pentadbiran kerajaan, khususnya memperkasakan peranan institusi parlimen.

    Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya MoU ini kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban.

    Sesuai dengan semangat ini dan komitmen untuk menterjemahkannya, maka kedua-dua pihak bersetuju untuk menandatangani persefahaman ini pada hari esok, 13 September 2021 pukul 5 petang bertempat di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama ketua-ketua parti PH iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

    Wakil kerajaan: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

    Wakil PH: Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook; Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo; Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin
    dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.