YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan bahawa dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengetepikan agenda politik dengan bersatu hati serta bersepakat berusaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

Seri Paduka juga menzahirkan rasa syukur dan sukacita dengan pendekatan bersejarah kerjasama rentas parti yang telah dimeterai melalui MoU Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September lalu.

“Seri Paduka Baginda mengulangi pandangan Baginda bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kelembapan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa ianya juga selaras dengan pendirian Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu akan pentingnya pembentukan kerajaan yang stabil dan berfungsi dengan cekap serta berhemah dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan Istana Negara, hari ini.

Ahmad Fadil menambah, oleh hal yang demikian, Seri Paduka menasihatkan Ahli-ahli Parlimen supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung.

Menurut beliau, Seri Paduka turut menasihatlan Ahli-ahli Parlimen supaya mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat dan negara.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan keyakinan bahawa selari dengan kestabilan politik dan peningkatan kadar vaksinasi penduduk serta bantuan tambahan oleh kerajaan, proses pemulihan ekonomi negara dapat dipercepatkan.

“Bahkan, faktor-fakor tersebut juga adalah kunci kepada keyakinan semua pihak yang berkaitan dan para pelabur,” jelasnya.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka turut menegaskan bahawa kerajaan perlu mempercepatkan penggubalan dasar-dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan bagi meningkatkan lagi daya saing negara.

Beliau memberitahu, Seri Paduka mengambil kesempatan ini menyeru seluruh rakyat menzahirkan solidariti dan sokongan padu kepada para petugas barisan hadapan dengan bersama berganding bahu berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta semua perintah yang telah ditetapkan kerajaan.

“Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah Subhanahu Wata’ala, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here