Tag: Maszlee Malik

  • Anwar bilang siap sedia, cuti kamu hampir tamat, kata Maszlee

    Anwar bilang siap sedia, cuti kamu hampir tamat, kata Maszlee

    BEKAS menteri pendidikan Maszlee Malik membayangkan beliau mungkin kembali berkhidmat dengan kerajaan baru susulan pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

    Maszlee menerusi catatan Facebook miliknya menyiarkan beberapa siri gambar termasuk dirinya dan Anwar pada mesyuarat majlis pimpinan pusat (MPP) PKR.

    “Kami di MPP PKR berdiri teguh bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan keutuhan kerajaan perpaduan dan penerusan agenda reformasi demi kesejahteraan rakyat dan negara.

    “Ahli MPP bertekad untuk memastikan parti akan terus relevan dan menjadi parti pilihan utama rakyat berbilang bangsa di tanah air ini.

    “Datuk Seri Anwar Ibrahim bilang: “Just get ready, your sabbatical will soon be over!” (Bersiap sedia, cuti sabatikal kamu akan tamat tak lama lagi,” katanya hari ini, lapor Malaysiakini.

    Tiada butiran lanjut diberikan tentang bila atau dalam bentuk apa Maszlee akan kembali bekerja untuk kerajaan.

    Maszlee tidak berjaya mempertahankan kerusi Simpang Renggam pada pilihan raya umum ke-15, tewas kepada calon BN Datuk Seri Hasni Mohammad.

    Pada masa ini, Maszlee tidak mempunyai sebarang jawatan rasmi dalam kerajaan.

  • Maszlee dihalau mangsa banjir ketika lawat PPS

    Maszlee dihalau mangsa banjir ketika lawat PPS

    BEKAS Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik dihalau seorang penduduk kampung ketika beliau melawat sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Simpang Renggam, Johor, pagi tadi.

    Video insiden itu yang tular di media sosial menunjukkan Mazlee memberitahu beliau dihalang memasuki PPS Sungai Linau untuk bertemu mangsa banjir.

    “Saya mahu membantu mereka. Sejak lima tahun lalu, setiap kali berlakunya banjir saya akan datang ke sini.

    “Tetapi, kali ini saya rasa pelik kerana tidak dibenarkan (masuk),” katanya yang mendakwa ahli politik UMNO dibenarkan masuk, lapor Free Malaysia Today.

    Seorang warga emas lelaki juga dilihat menjerit ke arah Maszlee dan bertanyakan bekas menteri itu apa yang beliau lakukan untuk membantu penduduk setempat.

    Dua anggota polis kemudiannya menenangkan lelaki itu dan mengiringinya keluar dari sana.

    Tidak lama kemudiannya, seorang lagi lelaki menghampiri Maszlee dan memberitahunya ahli politik tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu.

    Lelaki itu meminta Maszlee, yang juga calon Pakatan Harapan Simpang Renggam, meninggalkan kawasan itu dan beliau akur.

  • Maszlee dakwa PM, Menteri Kewangan PH tolak rancangan makanan percuma

    Maszlee dakwa PM, Menteri Kewangan PH tolak rancangan makanan percuma

    BEKAS Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mendedahkan bahawa rancangannya untuk memberi makanan percuma kepada murid sekolah tiga tahun lalu, ditolak Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

    Memetik laporan FMT, Maszlee mencadangkan program sarapan untuk pelajar, bermula dengan 100 sekolah, pada 2019 bagi memastikan pemakanan yang betul bagi kanak-kanak, selain menggalakkan mereka mengamalkan tabiat pemakanan baik serta mencuci hidangan selepas makan.

    “Anda harus ingat bahawa pada 2019, saya telah memulakan idea untuk mengadakan makanan sekolah percuma. Kami menjalankan projek rintis di 100 sekolah dan kami akan melancarkannya pada 2020.

    “Tetapi, Perdana Menteri ketika itu, pada 2020, dan Menteri Kewangan sangat tidak bersetuju dengan idea itu,” katanya pada forum anjuran Universiti Monash Malaysia.

    Walau bagaimanapun, beliau tidak menyebut nama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dimaksudkannya itu.

  • Maszlee bertanding Ketua PKR Cabang Simpang Renggam

    Maszlee bertanding Ketua PKR Cabang Simpang Renggam

    AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik mengesahkan bertanding jawatan Ketua Cabang Simpang Renggam pada Pemilihan PKR 2022.

    Bekas menteri pendidikan itu mengesahkan perkara itu dalam kiriman WhatsApp kepada Bernama malam ini.

    “Ya saya akan bertanding Ketua Cabang Simpang Renggam,” katanya.

    Maszlee menyertai semula PKR pada November tahun lepas.

    Beliau pernah mendaftarkan diri sebagai ahli PKR pada 2017 di Cabang Ampang.

    Maszlee kemudian menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan dilantik sebagai Menteri Pendidikan Kerajaan Pakatan Harapan namun dipecat dari parti itu pada Mei 2020 seterusnya memutuskan untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas.

    Terdahulu media melaporkan tiga selebriti tanah air turut mencuba nasib pada pemilihan kali ini antaranya pelakon dan produser Datuk Adflin Shauki yang menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Ketua Cabang Setiawangsa.

    Proses Pemilihan PKR 2022 bermula Ahad lepas sehingga 11.59 malam ini bagi proses pencalonan peringkat cabang manakala pencalonan bagi jawatan tertinggi pusat dan sayap dilaksanakan semalam. – BERNAMA

  • [TIDAK RASMI] Maszlee ketinggalan di Layang-Layang

    [TIDAK RASMI] Maszlee ketinggalan di Layang-Layang

    CALON PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Dr Maszlee Malik ketinggalan apabila hanya memperoleh 2,302 undi setakat ini.

    Bekas Menteri Pendidikan itu ketinggalan dengan majoriti 868 undi kepada calon Barisan Nasional (BN), Abd. Mutalip Abd. Rahim yang mendapat 3,170 undi setakat pukul 8.40 malam tadi.

    Dua lagi calon yang bertanding bagi DUN Layang-Layang adalah calon Perikatan Nasional (PN), Alagathiran Krishnan dan Ahmad Shafiq Othman dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

    Berdasarkan keputusan tidak rasmi, sebanyak 25 daripada keseluruhan 50 saluran telah pun dikira.

  • Maszlee calon MB Johor? Orang Simpang Renggam kata itu memang lawak

    Maszlee calon MB Johor? Orang Simpang Renggam kata itu memang lawak

    DR MASZLEE Malik sebelum ini pernah disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor sekiranya rejim Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Setakat ini, perkara itu hanya kekal sebagai spekulasi sahaja memandangkan PH masih belum berani menamakan calon Menteri Besar mereka.

    Lebih menggelikan hati, orang ramai di kawasan Parlimen Simpang Renggam yang diwakili Maszlee menganggap desas-desus berhubung pencalonannya sebagai Menteri Besar Johor sebagai satu jenaka.

    Memetik laporan MalaysiaNow, seorang pengundi di Simpang Renggam ketawa apabila mendengar khabar angin itu.

    “Apa yang dia buat selama beberapa tahun ni?” soal lelaki yang hanya dikenali sebagai Firdaus itu.

    Maszlee yang bertanding atas tiket PKR di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-layang sebelum ini pernah menafikan khabar angin tentang pencalonan beliau sebagai Menteri Besar dari PH.

    Beliau akan bersaing untuk merebut kerusi DUN tersebut dengan tiga lagi calon lain iaitu K Alagathiran (PN), Abdul Mutalib Abd Rahim (BN) dan Ahmad Syafiq Othaman (Pejuang).

    Sekiranya Maszlee kalah pada PRN Johor, ia dijangka menjadi titik permulaan bagi pengakhiran dalam kerjaya politiknya.

    Sebaik sahaja rejim PH tumbang selepas 22 bulan berkuasa, Maszlee meninggalkan Bersatu dan pada mulanya dilaporkan berkemungkinan besar menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Walau bagaimanapun, beliau kemudian berubah fikiran dan tidak jadi pula menyertai Pejuang.

    Kira-kira tiga bulan sebelum PRN Johor diumumkan, Maszlee menyertai PKR yang kini semakin berantakan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Melihat kepada prestasi buruknya ketika menjadi Menteri Pendidikan dahulu, pemerhati politik berpandangan, Maszlee bernasib baik sekiranya tidak hilang deposit pada PRN Johor.

    Boleh dikatakan tidak banyak penambahbaikan dilakukan beliau ketika menerajui Kementerian Pendidikan dahulu dan Maszlee lebih terkenal dengan julukan ‘menteri kasut hitam’.

    Beliau juga dijangka tidak dapat mengekalkan kerusi Parlimen Simpang Renggam sekiranya dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 ({PRU-15).

    Mungkin lebih baik Maszlee kembali ke pekerjaan asalnya sebagai pensyarah. Lebih sesuai dengan perwatakannya yang ‘pandai cakap sahaja tetapi tak reti buat kerja’.

  • Marina yang buat kerja, Maszlee pula yang naik jadi calon

    Marina yang buat kerja, Maszlee pula yang naik jadi calon

    SEBUT sahaja nama Marina Ibrahim, pasti ramai penduduk di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-layang mengenali pemimpin muda DAP itu.

    Selain memiliki paras rupa yang menarik, beliau bergiat aktif dalam kegiatan kemasyarakatan di kawasan tersebut, lebih-lebih lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dahulu.

    Beliau juga sentiasa bertemu dengan orang ramai dalam usaha mempopularkan dirinya sebagai salah seorang pemimpin muda Melayu dalam DAP yang dilihat lebih didominasi kaum Cina.

    Maka, tidak hairanlah jika timbul spekulasi bahawa beliau mungkin dicalonkan untuk mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi menamatkan penguasaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di DUN Layang-layang.

    Marina Ibrahim giat mendekati masyarakat dalam usaha mempromosi dirinya dan DAP. (Gambar: Facebook Marina Ibrahim)

    Namun, jangkaan itu meleset sama sekali apabila Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik yang baru sahaja melompat masuk PKR pula yang naik jadi calon.

    Berbeza dengan Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis yang ‘meroyan’ apabila kerusi DUN Puteri Wangsa disedekahkan kepada Muda, Marina nampaknya bersikap tenang dengan perkembangan di DUN Layang-layang.

    Cuma, ada juga penyokongnya yang meluahkan kekecewaan dalam media sosial apabila Marina diketepikan semata-mata untuk memberi laluan kepada Maszlee yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor dari PH.

    Kalau hendak dibandingkan antara Marina dengan Maszlee memang jauh bezanya, umpama langit dengan bumi. Ramai yang melihat Marina mempunyai pakej yang lengkap untuk diketengahkan sebagai calon PH di DUN Layang-layang.

    Malangnya keputusan yang pahit telah dibuat dan Marina serta para penyokokngnya terpaksa menerima apa yang diputuskan oleh pucuk pimpinan PH dengan hati pasrah.

    Mungkin juga beliau akan dicalonkan di kerusi DUN lain atau bertanding di mana-mana kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Tidak mustahil juga beliau akan kekal berada di bangku simpanan dan hanya diperlukan sebagai ‘pelaris’ untuk menarik minat golongan muda khususnya orang Melayu untuk menyertai DAP dan PH.

    Dalam politik apa sahaja boleh berlaku. Orang yang buat kerja dengan penuh istiqamah dan komited dipinggirkan, tetapi orang lain yang rekod prestasinya tidak seberapa pula yang dijulang.

  • Maszlee sah jadi calon PKR DUN Layang-layang

    Maszlee sah jadi calon PKR DUN Layang-layang

    AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik diumumkan sebagai calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran Facebook beliau malam ini.

    “Saya yakin kemampuan beliau untuk terjemah aspirasi parti serta membawa suara dan kehendak rakyat keseluruhan,” katanya.

    Sebelum ini, Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan era rejim Pakatan Harapan (PH) disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor.

    Walau bagaimanapun, perkara itu masih belum disahkan oleh pucuk pimpinan PH.

    DUN Layang-layang merupakan salah satu kerusi di dalam kawasan Parlimen Simpang Renggam.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), calon BN, Datuk Onn Hafiz Ghazi menang tipis di kerusi DUN berkenaan dengan memperoleh hanya 364 majoriti.

    Beliau menewaskan calon PKR, Cikgu Murugan dan calon PAS, Haji Jubri.

    Onn Hafiz yang juga anak saudara Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dijangka bertanding mempertahankan kerusi tersebut.

    Setakat ini, sukar dijangka peluang Maszlee untuk memenangi kerusi DUN Layang-layang.

    Rekod prestasi beliau yang kurang cemerlang sewaktu menjadi Menteri Pendidikan dahulu pasti memberi kesan terhadap jumlah undi yang bakal diterima.

    Selain itu, rakyat Johor masih belum pulih daripada trauma yang dialami akibat hidup menderita semasa era pemerintahan rejim PH selama 22 bulan dahulu.

    Faktor tersebut sedikit sebanyak menjejaskan peluang Maszlee untuk menjadi Menteri Besar Johor yang pertama dari PKR, sekiranya beliau dan PH menang.

  • SPRM siasat 2 aduan terhadap Maszlee, tiada intimidasi

    SPRM siasat 2 aduan terhadap Maszlee, tiada intimidasi

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima dua aduan terhadap Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dan sedang menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.

    SPRM menegaskan bahawa proses siasatan perlu dijalankan setelah terdapat aduan rasmi berhubung sesuatu kesalahan rasuah dan penyelewengan sebagaimana peruntukan undang-undang.

    “Setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan menemu bual beberapa saksi yang terlibat.

    “SPRM tidak akan tunduk kepada tekanan dari mana-mana pihak untuk mengalihkan isu rasuah dan penyelewengan dengan pelbagai tekanan yang sengaja dibuat,” jelas SPRM dalam kenyataan media, hari ini.

    Walau bagaimanapun, SPRM tidak menyatakan secara lanjut tentang aduan yang diterima terhadap Maszlee.

    Sehubungan itu, SPRM menafikan sekeras-kerasnya tuduhan kononnya pegawainya melakukan intimidasi sebagaimana yang didakwa oleh Maszlee.

    Menurut SPRM, siasatan yang dijalankan akan berteraskan prinsip ketelusan, keadilan dan profesionalisme serta berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan.

    “Justeru, SPRM berharap agar pihak yang terlibat memberikan kerjasama penuh dan berhenti mensensasikan proses siasatan ini,” kata suruhanjaya itu.

    Bekas Menteri Pendidikan era rejim Pakatan Harapan (PH) itu membuat dakwaan tidak berasas terhadap SPRM kononnya beliau diintimidasi dalam sidang media di Kuala Lumpur semalam selepas selesai dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

    Beliau hadir ke IPD Dang Wangi untuk memberi keterangan berhubung kehadirannya menyaksikan penyerahan memorandum oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di bangunan Parlimen 20 Januari lalu.

  • Maszlee Malik masuk PKR pula, apa motifnya?

    Maszlee Malik masuk PKR pula, apa motifnya?

    AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dilaporkan akan menyertai PKR setelah tidak menganggotai mana-mana parti sejak meninggalkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada November 2020.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, perkara itu disahkan oleh Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse.

    Difahamkan, bekas Menteri Pendidikan era rejim Pakatan Harapan (PH) itu akan menjadi ahli PKR hari ini.

    Walau bagaimanapun, tidak diketahui sama ada Maszlee akan diberi peranan penting dalam PKR atau sekadar menjadi ahli biasa.

    Sebelum menjadi Ahli Parlimen Bebas, beliau merupakan salah seorang pengasas Pejuang yang ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Tidak diketahui dengan jelas mengapa Maszlee tiba-tiba meninggalkan parti yang dikuasai Dr Mahathir dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz itu.

    Semasa menerajui Kementerian Pendidikan, terdapat beberapa isu membelenggu pentadbiran Maszlee seperti peruntukan kepada sekolah persendirian Cina.

    Beliau juga terkenal dengan julukan ‘menteri kasut hitam’ setelah secara tiba-tiba mengumumkan tentang pemakaian kasut hitam di sekolah dalam satu wawancara yang disiarkan di televisyen.

    Keputusan tersebut menimbulkan rungutan dalam kalangan ibu bapa kerana mereka terpaksa berbelanja lebih untuk membeli kasut baharu bagi anak-anak.

    Pengilang kasut dan penjual juga mengeluh kerana dasar pemakaian kasut hitam menyebabkan kasut putih yang berada di pasaran dan gudang tidak laku.

    Walaupun Kementerian Pendidikan era rejim PH kemudian memberi kelonggaran dari segi tempoh penguatkuasaan dasar tersebut, kerosakan telah pun berlaku.

    Peniaga pakaian sekolah terpaksa menjual kasut putih dalam stok mereka pada harga yang sangat rendah bagi mengurangkan kerugian yang terpaksa ditanggung.

    Melihat kepada kontroversi yang menyelubungi Maszlee, terdapat kemungkinan beliau akan menjadi liabiliti kepada PH yang kini semakin merudum setelah kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.