SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima dua aduan terhadap Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dan sedang menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.

SPRM menegaskan bahawa proses siasatan perlu dijalankan setelah terdapat aduan rasmi berhubung sesuatu kesalahan rasuah dan penyelewengan sebagaimana peruntukan undang-undang.

“Setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan menemu bual beberapa saksi yang terlibat.

“SPRM tidak akan tunduk kepada tekanan dari mana-mana pihak untuk mengalihkan isu rasuah dan penyelewengan dengan pelbagai tekanan yang sengaja dibuat,” jelas SPRM dalam kenyataan media, hari ini.

Walau bagaimanapun, SPRM tidak menyatakan secara lanjut tentang aduan yang diterima terhadap Maszlee.

Sehubungan itu, SPRM menafikan sekeras-kerasnya tuduhan kononnya pegawainya melakukan intimidasi sebagaimana yang didakwa oleh Maszlee.

Menurut SPRM, siasatan yang dijalankan akan berteraskan prinsip ketelusan, keadilan dan profesionalisme serta berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan.

“Justeru, SPRM berharap agar pihak yang terlibat memberikan kerjasama penuh dan berhenti mensensasikan proses siasatan ini,” kata suruhanjaya itu.

Bekas Menteri Pendidikan era rejim Pakatan Harapan (PH) itu membuat dakwaan tidak berasas terhadap SPRM kononnya beliau diintimidasi dalam sidang media di Kuala Lumpur semalam selepas selesai dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Beliau hadir ke IPD Dang Wangi untuk memberi keterangan berhubung kehadirannya menyaksikan penyerahan memorandum oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di bangunan Parlimen 20 Januari lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here