Tag: lemas

  • Bot terbalik: 6 pendatang tanpa izin maut, 29 hilang

    Bot terbalik: 6 pendatang tanpa izin maut, 29 hilang

    ENAM mayat berjaya dijumpai manakala 29 yang lain masih hilang selepas bot kayu membawa 35 pendatang tanpa izin terbalik di perairan pantai barat Libya pada Sabtu, lapor agensi berita Xinhua.

    “Mangsa yang hilang “dianggap terkorban” dalam insiden pada Sabtu, manakala sejumlah 53 pendatang asing dilaporkan maut atau hilang pada minggu lalu.

    “Nyawa manusia tiada ganti. Usaha mencari dan menyelamat serta mekanisme pendaratan yang selamat diperlukan segera bagi mengelakkan kematian dan penderitaan pada masa depan,” menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM).

    Krisis dan huru hara tercetus selepas kejatuhan pemimpinnya Muammar Gaddafi pada 2011, menjadikan negara Afrika Utara itu pilihan utama pendaratan pendatang tanpa izin yang ingin menyeberangi Laut Mediterranean ke pantai Eropah.

    Sejumlah 3,968 imigran tanpa izin berjaya diselamatkan dan pulang ke Libya, termasuk 375 wanita dan 169 kanak-kanak pada tahun ini. – BERNAMA

  • Lima mangsa lemas bot pam karam di Semporna

    Lima mangsa lemas bot pam karam di Semporna

    LIMA individu ditemukan lemas apabila sebuah bot pam membawa 21 penumpang karam di Pulau Tandoan, Timbun Mata dekat Semporna, lewat malam tadi.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, 14 penumpang bot pam itu berjaya diselamatkan penduduk kampung, manakala dua lagi mangsa yang dikenali sebagai Noranis, 14, dan Aiman, 6, kedua-duanya dari Kampung Sungai Nakit dekat sini, masih hilang.

    Beliau berkata, mangsa yang maut terdiri daripada dua wanita, dua kanak-kanak perempuan serta seorang kanak-kanak lelaki, berumur antara satu hingga 33 tahun.

    Katanya, bot tersebut dipercayai membawa beban lebih muatan.

    “Semua 21 mangsa ini dipercayai warga tempatan dan mereka ini dalam perjalanan dari Kampung Bakung Bakung menuju ke Kampung Tandoan.

    “Operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang diaktifkan pada 11.45 malam tadi dengan bot Banggi 11 digerakkan ke lokasi kejadian bagi melaksanakan pencarian awal,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

    Norrimi berkata, operasi tersebut membabitkan 11 anggota serta dua aset bot APMM, selain lima anggota bomba berserta satu bot aluminium.

    Katanya, kawasan pencarian turut meliputi sepanjang Terusan Sigalong hingga Timbun Mata dan Pangkalan Hadapan Carilamat APMM dibuka di Jeti Pelancongan Semporna.

    Pulau Tandoan terletak kira-kira empat kilometer (km) dari Semporna, sebuah daerah di pantai timur Sabah terletak lebih 555 km dari Kota Kinabalu.

    Sementara itu, polis akan menyiasat kejadian bot pam karam berdekatan perairan Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata malam tadi mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu kerana menyebabkan kematian dengan cuai.

    Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan melibatkan semua aspek insiden tersebut yang mengakibatkan kematian lima penumpang terdiri daripada dua wanita, dua kanak-kanak perempuan serta seorang kanak-kanak lelaki.

    Dalam kemalangan itu, dua kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing berumur 7 dan 14 tahun masih hilang, manakala 14 penumpang berjaya diselamatkan orang ramai.

    “Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. Bot dinaiki kesemua penumpang ini dalam perjalanan dari Kampung Bakung Bakung menuju ke Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, katanya orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes tersebut supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna, Insp Khadijah di talian 019-8718002 atau di balai polis berdekatan.

    Mohd Farhan turut menasihatkan pengusaha bot serta pengguna laut lain agar berwaspada dengan mematuhi jumlah muatan penumpang yang dibenarkan serta memakai jaket keselamatan. – BERNAMA

  • Mayat nelayan bot karam ditemukan

    Mayat nelayan bot karam ditemukan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Mayat seorang nelayan ditemui dalam bot yang karam di kedudukan kira-kira lima batu nautika barat laut Pulau Payar di Langkawi semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui penyelam bebas kira-kira pukul 12.05 tengah hari tadi di bilik jentera bot berkenaan.

    “Usaha mencari dan menyelamat diteruskan seawal pukul 8.00 pagi tadi dengan penglibatan sebuah aset Maritim Malaysia, bot Perkasa 1225 dan lima buah bot nelayan tempatan.

    “Keluasan sektor operasi pencarian merangkumi kawasan seluas 2.8 batu nautika. Pada pukul 11 pagi, seramai empat penyelam bebas melakukan kerja-kerja menyelam ke dasar laut untuk menjejaki mangsa yang disyaki masih terperangkap dalam bot karam dan satu mayat ditemui di kawasan kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi semalam, seramai 16 kru bot nelayan tempatan Kelas A atau bot bilis terselamat manakala seorang lagi hilang selepas bot tersebut tenggelam akibat kerosakan pada hos salur masuk air laut.

    Kesemua mangsa berusia antara 27 hingga 57 tahun berjaya diselamatkan dua bot nelayan tempatan yang berada berhampiran kawasan kejadian.

    Salah seorang mangsa mengalami kecederaan pada tangan dan dada dibawa ke Hospital Sultanah Maliha di sini untuk rawatan.

    Mohd Zawawi berkata, mayat tersebut dibawa ke jeti Maritim Malaysia, Bukit Malut menggunakan bot Perkasa 1225.

    “Sejurus tiba di jeti pada pukul 1.10 tengah hari, pengecaman mayat dilakukan oleh pihak majikan dan diserahkan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi tindakan selanjutnya.

    “Operasi CARILAMAT ditamatkan pada jam 2.00 petang,” katanya.

  • 2 kanak-kanak mati lemas dalam bekas lombong

    2 kanak-kanak mati lemas dalam bekas lombong

    DUA kanak-kanak ditemukan lemas di sebuah bekas lombong di Kampung Sisik, Tanjung Resang di Mersing, petang semalam.

    Mangsa dikenali sebagai Wilton Callos, 4, dan rakannya Medical Micaella, 10.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.16 petang sebelum lapan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

    Semasa kejadian mangsa bersama-sama ibunya dan adik-beradik serta jiran dan anak-anak telah pergi ke lombong pasir tersebut untuk tujuan berkelah.

    Beliau berkata, pihaknya bertindak melakukan pencarian dua kanak-kanak itu di permukaan lombong sebelum kedua-duanya dijumpai oleh bapa kepada salah seorang mangsa pada jarak kira-kira empat kaki dari tebing terbabit.

    “Kedua-dua mangsa kemudiannya diberikan bantuan kecemasan jantung dan pernafasan (CPR) namun tiada tindak balas,” katanya dalam kenyataan di sini, lewat malam tadi.

    Mohd Alias berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Mersing dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) milik anggota tentera dan operasi ditamatkan pada 7.28 malam. – BERNAMA

  • Wanita mati lemas kereta terbabas masuk parit

    Wanita mati lemas kereta terbabas masuk parit

    SEORANG pekerja pusat kecantikan dan kesihatan dipercayai mati lemas selepas kenderaan dinaikinya terbabas ke dalam parit di Bandar Bukit Raja, Klang awal pagi tadi.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, rakannya yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Serena terselamat.

    Mangsa yang merupakan wanita berusia 35 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadiaan dalam kejadian kira-kira pukul 2.22 pagi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara, S Vijaya Rao, berdasarkan siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan ke Persiaran Batu Belah dari Lorong Sungai Puloh.

    Beliau berkata, kenderaan dipandu lelaki berusia 37 tahun itu kemudiannya hilang kawalan di laluan selekoh tajam sebelum merempuh pokok.

    “Ia terus terbabas ke dalam parit menyebabkan mangsa wanita tersepit. Mangsa berjaya dikeluarkan anggota bomba namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, menurut laporan Kosmo!.

    Katanya, mangsa lelaki yang terselamat itu hanya mengalami cedera ringan dan kedua-duanya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tindakan lanjut

    “Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, seramai tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 2.23 pagi dan tiba 11 minit kemudian.

    “Tugas menyelamat mangsa mengambil masa hampir 30 minit kerana kenderaan tenggelam di dalam parit,” katanya.

  • Kanak-kanak mati lemas jatuh dalam Sungai Tawau

    Kanak-kanak mati lemas jatuh dalam Sungai Tawau

    KANAK-kanak lelaki berusia tiga tahun yang terjatuh dari jambatan ke dalam Sungai Tawau di Kampung Jawa Lanut semalam, ditemukan lemas pada 8.19 pagi tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Julius John Stepen berkata, pihaknya menemui mayat Mohd Alif Amuddin tersangkut di akar kayu di tepi sungai, kira-kira 600 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

    “Kami menyambung operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa pada 8 pagi dan selepas beberapa minit operasi bermula, salah seorang anggota SAR ternampak mayat mangsa di pokok bambu di tepi sungai,” katanya kepada Bernama.

    Menurut Julius, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Semalam dilaporkan pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.45 petang dan operasi SAR terus dijalankan sebelum ditangguhkan pada 6.06 petang.

    Sementara itu bapa mangsa, Amuddin Mustapah, 40, berkata ketika kejadian mangsa bersama tiga kanak-kanak lain bermain di rumah datuknya yang berdekatan sungai.

    “Namun ketika bermain saya difahamkan Alif tergelincir dari tepi jambatan dan masuk ke dalam sungai, kawan-kawannya yang melihat kejadian meminta bantuan orang ramai,” katanya sambil menahan sebak.

    Sebelum kejadian, Amuddin berkata, anaknya yang merupakan kanak-kanak yang aktif dan petah bercakap itu meminta izin untuk bermain di rumah datuknya yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka. – BERNAMA

  • Kanak-kanak 3 tahun jatuh dalam Sungai Tawau

    Kanak-kanak 3 tahun jatuh dalam Sungai Tawau

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada jambatan ke dalam Sungai Tawau di Kampung Jawa Lanut di Tawau hari ini.

    Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 2.45 petang tadi.

    “Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mohd Alif Amuddin dengan menyusuri sungai pada jarak dua kilometer radius pencarian dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

    “Turut bersama dalam operasi mencari itu ialah pasukan polis serta penduduk kampung,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu turut memaklumkan setakat petang ini kanak-kanak berkenaan belum ditemukan manakala operasi SAR ditangguh pada 6.05 petang tadi dan akan bersambung esok. – BERNAMA

  • 2 beradik, sepupu cari kepah ditemukan lemas

    2 beradik, sepupu cari kepah ditemukan lemas

    PENCARIAN tiga kanak-kanak yang dilaporkan hilang ketika mencari kepah berakhir, apabila mayat kesemua mangsa ditemukan di Sungai Kuala Baru, Kampung Mangkok, Setiu awal pagi ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Husin, mayat pertama Nur Amni Insyirah Saiful Tarmizi, 9, ditemui pada pukul 1.08 pagi manakala adiknya, Muhammad Arryan Faheem, 7, ditemui pada pukul 1.47 pagi.

    Afandi yang merupakan Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) memberitahu, mayat mangsa ketiga pula iaitu Nurul Hasya Humaira Che Mohd Humaizi, 11, ditemui pada pukul 8.15 pagi tadi.

    “Kesemua mayat mangsa diditemui berada tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui media, hari ini.

    Menurut Afandi, sebaik sahaja ditemui, mayat dua beradik dan seorang sepupu itu dihantar ke Bilik Forensik Hospital Setiu untuk proses bedah siasat.

    Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa disertai 107 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), agensi berkaitan dan orang awam.

    Katanya, dengan penemuan ketiga-tiga mayat mangsa, operasi mencari dan menyelamat yang dimulakan pada pukul 6 petang srmalam ditutup secara rasmi pada pukul 8.45 pagi ini.

    “Kami menasihati orang awam yang ingin berkelah di pantai atau mencari kepah supaya lebih berhati-hati disamping memahami keadaan pasang surut air di muara sungai untuk mengelak berlakunya kejadian tidak diingini.

    Terdahulu Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Jabi, Dr Azman Ibrahim turut hadir menemui keluarga mangsa di lokasi kejadian.

  • Mangsa terakhir bot karam di Tenom ditemukan

    Mangsa terakhir bot karam di Tenom ditemukan

    MAYAT mangsa terakhir tragedi bot karam di Kampung Kalandos, Pangi, Tenom pada 22 Sept lalu ditemukan pada pukul 7.50 pagi di Kampung Batu 64, Beaufort hari ini.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Misran Bisara berkata mayat Joseph Sayah, 55, ditemukan oleh orang awam.

    “Pasukan bomba bertindak mengangkat mangsa ke tebing sungai dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Misran berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) bot karam bersama agensi bantuan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), tamat sepenuhnya kira-kira jam 8.55 pagi.

    Dalam kejadian pada petang Rabu lalu (22 Sept), bot yang dinaiki empat individu untuk menyeberangi Sungai Padas, karam selepas pulang dari membeli barang keperluan dan dua daripada mereka sempat menyelamatkan diri.

    Bagaimanapun dua lagi individu dilaporkan hilang dan pada Khamis lepas (23 Sept) salah seorang mangsa kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan lemas oleh orang awam pada 23 Sept di Sungai Padas Batu 60 di sini pada pukul 4.45 petang.- BERNAMA

  • Dua mayat pemancing hilang ditemukan lemas

    Dua mayat pemancing hilang ditemukan lemas

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    DUA lelaki yang dilaporkan hilang ketika memancing di Jeti Mados, Kampung Air Putih, Ulu Tiram, Johor Bahru malam kelmarin ditemukan meninggal dunia akibat lemas, pagi ini.

    Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor dalam kenyataan memaklumkan, mayat Ramdan Sulaiman, 50, ditemukan pada pukul 7.29 pagi manakala mayat Amiruddin Abdul Karim, 53, ditemukan pada pukul 8.03 pagi.

    Anggota APM dan bomba mengangkat dua mayat pemancing yang ditemukan pagi ini selepas hilang ketika memancing di Jeti Mados, Kampung Air Putih, Ulu Tiram, Johor Bahru

    “Kedua-dua mayat ditemukan penduduk kampung. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada pukul 10 pagi,” menurut kenyataan itu.

    Kedua-dua mangsa keluar memancing berdekatan jeti berkenaan sebelum hilang dan hanya bot mangsa ditemukan pada malam kelmarin.

    Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya dibantu Pasukan Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Johor, APM, polis marin dan polis dalam operasi SAR.

    Ketua Bomba Zon 2, Al Hasra Mohamed berkata, penyelaman dilakukan pada 100 kaki radius dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

    Penduduk kampung menemukan dua mayat pemancing pada pukul 7.29 dan 8.03 pagi

    “Kejadian tersebut disedari salah seorang pekerja korek pasir berhampiran lokasi mangsa dipercayai lemas selepas melihat kedua-dua mangsa sedang memancing.

    “Selang beberapa ketika, saksi mendengar jeritan meminta bantuan berhampiran bot mangsa dan kemudiannya kedua-dua mangsa hilang dari pandangan,” katanya.