Tag: Johor

  • Wanita dakwa diganggu seksual oleh ADUN Johor

    Wanita dakwa diganggu seksual oleh ADUN Johor

    POLIS menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan salah laku ADUN terbabit terhadap wanita berumur 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi pada kira-kira 11.30 pagi tadi.

    “Ya, ada terima. Kes berkenaan sedang disiasat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana belum meneliti laporan itu.

    Laporan polis mengenai gangguan seksual itu tular di media sosial.

    Mangsa, yang dipercayai ahli sebuah parti politik di Johor, mendakwa telah beberapa kali diganggu secara seksual oleh ADUN terbabit. – BERNAMA

  • PRN: Hasni kata Johor tak suka nombor ‘satu’

    PRN: Hasni kata Johor tak suka nombor ‘satu’

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KELEBIHAN hanya satu sahaja kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimiliki Johor ketika ini dilihat tidak menggembirakan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

    Sambil terus berteka-teki dengan spekulasi mengenai pembubaran DUN Johor, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu juga seolah-olah tidak menafikan khabar angin akan diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat.

    Malah, Hasni berkata, ketika ramai orang mahu menjadi nombor satu dalam apa sahaja perkara, mereka sebaliknya tidak suka dengan angka tersebut yang dipercayai merujuk kepada majoriti satu kerusi DUN.

    “Saya masih lagi berpendapat bahawa saya perlu melihat kepada keadaan apabila kerajaan negeri hanya mempunyai satu majoriti. Walaupun semua orang suka menjadi nombor satu tetapi Johor mungkin tidak suka dengan istilah satu itu.

    “Kalau ada pihak mengatakan bila nak ada pilihan raya atau ada tarikh untuk adakan pilihan raya kecil atau negeri ini, saya rasa seingat saya sebagai Menteri Besar, saya tidak pernah mengumumkan sebarang keputusan.

    “Tetapi hanya melihat dan meninjau kemungkinan-kemungkinan apabila kerajaan Johor hanya mempunyai satu majoriti sahaja. Itulah keadaannya yang masih ada pada hari ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Anugerah Keusahawanan Johor 2021 hari ini.

    Hasni mengulas desas-desus pembubaran DUN Johor yang semakin hangat diperkatakan dan kononnya akan berlaku seawal minggu ini seperti yang menjadi bualan ramai pihak sejak kebelakangan ini.

    Khabar angin yang bertiup kencang itu turut mendapat perhatian Pakatan Harapan (PH) Johor yang mengakui ada perbincangan mengenai kebarangkalian itu dalam mesyuarat mereka, baru-baru ini.

    Pembahagian kerusi DUN Johor sangat tipis ketika ini dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memiliki 28 kerusi, manakala PH pula 27 kerusi selepas kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian.

    Sementara itu, ketika ditanya mengenai hasil reaksi daripada rakan gabungan iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas, Hasni memberitahu, sokongan yang diberikan masih belum goyah.

    Katanya, tidak ada isu yang berbangkit dalam gabungan yang membentuk kerajaan hari ini yang boleh membawa kepada pembubaran DUN Johor.

    “Kita perlu melihat jika terdapat gambaran bahawa sokongan berubah ataupun sekiranya ada agenda-agenda yang perlu dibawa yang memerlukan sokongan Dewan Negeri sama ada perkara itu boleh (lulus) atau tidak diperolehi.

    “Ini adalah perkara-perkara yang saya maksudkan bagaimana reaksi keadaan di bawah apabila kerajaan hanya mempunyai satu majoriti sahaja.

    “Sokongan daripada rakan-rakan gabungan dalam kerajaan itu semua saya percaya tidak berbangkit pada waktu ini,” katanya.

  • Kemaruk jadi Senator, pemimpin DAP Johor bertikam lidah

    Kemaruk jadi Senator, pemimpin DAP Johor bertikam lidah

    AHLI Jawatankuasa DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau tidak berpuas hati dengan tindakan kepimpinan pusat parti itu yang tidak memaklumkan kepimpinan negeri tentang pencalonan jawatan atau pilihan raya.

    Malah, beliau menuduh pucuk pimpinan DAP di peringkat pusat meminggirkan konvensyen sedia ada.

    Memetik laporan Malaysiakini, Cheng Hau berkata, walaupun perlembagaan DAP menyatakan pelantikan calon pilihan raya dan jawatan kerajaan adalah hak Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), maklum balas daripada akar umbi dan kepimpinan negeri biasanya akan diperoleh terlebih dahulu.

    “Jika benar dakwaan (Pengerusi DAP Johor) Liew Chin Tong dan (timbalannya) Teo Nie Ching bahawa cadangan (Chin Tong) untuk dicalonkan sebagai senator di negeri kendalian BN-Perikatan Nasional, mungkin mereka boleh membantu menjelaskan sebab sebenar Jawatankuasa Pemilihan Calon Pusat kerana melanggar konvensyen demokrasi parti yang telah lama wujud tanpa memberitahu jawatankuasa negeri?” soalnya.

    Semalam, beliau menuduh Chin Tong membelakangkan ADUN DAP Johor dan kepimpinan DAP Johor dalam mendapatkan sokongan Pakatan Harapan (PH) Johor untuk dicalonkannya sebagai Senator.

    Cheng Hau kemudian menyindir bahawa Chin Tong mungkin telah menyalahgunakan kepercayaan dan perjanjian perbekalan antara PH dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mendapatkan kerusi di Dewan Negara.

    Terdapat satu kerusi kosong di Dewan Negara yang diperuntukkan kepada Johor sejak tahun lepas dan hanya empat ahli pembangkang di Dewan Negara setakat ini.

    Ketika berita ini ditulis, Chin Tong masih belum menjawab dakwaan Cheng Hau, manakala Nie Ching mengeluarkan kenyataan semalam mendakwa pimpinan pusat tidak diwajibkan memaklumkan kepada pimpinan negeri.

    Sehubungan itu, Cheng Hau menggesa Chin Tong untuk bertanggungjawab atas tindakannya dan secara peribadi menjelaskan dirinya kepada akar umbi DAP dan tidak berselindung di belakang Nie Ching.

    “Saya ingin menasihatkan Nie Ching sebagai Timbalan Pengerusi DAP Johor supaya tidak menjadi orang suruhan pengerusi (Chin Tong) dan sepatutnya menasihatinya agar tidak melanggar konvensyen demokrasi parti,” katanya.

  • PH Johor tolak sebarang cadangan adakan PRN

    PH Johor tolak sebarang cadangan adakan PRN

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PAKATAN Harapan (PH) Johor menolak sebarang cadangan untuk diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor susulan kedudukan getir antara kerajaan negeri dan pihak pembangkang dengan hanya kelebihan satu kerusi ketika ini.

    Dalam satu kenyataan bersama Parti Amanah Negara (Amanah), PKR dan DAP negeri itu, mereka berharap kerajaan negeri tidak menambah mual rakyat terhadap perangai politikus saat sedang bergelut bertarung nyawa dan berusaha mencari sesuap nasi demi survival mereka.

    Kata kenyataan itu, kerajaan Johor seharusnya memberikan tumpuan sepenuhnya untuk membela nasib rakyat berbanding memikirkan kemungkinan berlakunya pilihan raya di negeri itu susulan pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian.

    “Langkah melaksanakan sebarang pilihan raya pada masa ini sebagai tidak sensitif terhadap realiti yang sedang rakyat lalui. Kenyataan Menteri Besar berkaitan kemungkinan PRN sebagai tidak empati dengan nasib yang sedang dihadapi rakyat.

    “PH Johor berpendirian segala usaha, tenaga, komitmen dan dana haruslah disalurkan untuk membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan meskipun kedudukan Dewan Negeri berada pada angka 28-27 selepas pemergian Allahyarham Osman,” katanya.

    Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

    Tambah kenyataan itu lagi, krisis kesihatan akibat Covid-19 memberikan dampak kelembapan ekonomi masih belum selesai dan kemunculan varian Omicron menambah lagi kebimbangan rakyat.

    “Tambah mendukacitakan, kegagalan kerajaan menstabilkan harga barangan mutakhir ini juga telah ‘menambah cuka pada luka’ yang dialami rakyat.

    “Pada masa yang sama, negara turut bergelut dengan banjir yang telah mengorbankan puluhan nyawa rakyat serta melibatkan kemusnahan harta benda mencecah jutaan ringgit. Ini suatu sejarah hitam,” katanya.

    Pada 22 Disember lalu, Osman meninggal dunia di kediaman anaknya di Kuala Lumpur setelah mendapati rawatan akibat serangan strok ringan sejak kira-kira dua bulan lalu.

    Semalam, Datuk Hasni Mohammad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, pihaknya akan meneliti situasi politik di negeri itu dan melihat kemungkinan sama ada pilihan raya perlu diadakan atau sebaliknya.

    Kata Hasni, hal itu kerana kedudukan kerajaan negeri ketika ini berada dalam keadaan getir dengan hanya memiliki kelebihan satu kerusi sahaja iaitu 27-28.

  • Majoriti kerajaan cuma 1 kerusi, Johor mungkin ada PRN?

    Majoriti kerajaan cuma 1 kerusi, Johor mungkin ada PRN?

    KERAJAAN Johor akan melihat dan memantau keadaan semasa termasuk meneliti keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) berikutan mempunyai kelebihan hanya satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak lama lagi untuk memaklumkan tentang kedudukan kerajaan negeri yang ketika ini mempunyai majoriti yang amat tipis dengan hanya satu kerusi yang boleh membuatkan kerajaan negeri dikhuatiri bertambah tidak stabil.

    “Saya sedang memantau keadaan apabila berlakunya keadaan sedemikian dengan kematian Datuk Osman Sapian (yang merupakan) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, menjadikan (kerajaan negeri) Johor tinggal satu majoriti (kerusi) sahaja.

    “Maka itu, perlu saya memahami reaksi khususnya kalangan parti-parti yang bergabung untuk menubuhkan kerajaan kerana kami telah bersetuju pada 6 Jan ini, kami akan mengadakan sidang khas untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 berkenaan dengan pengundi berusia 18 tahun,” kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Sumbangan Bantuan Banjir Pemuda UMNO Johor dan Rakyat Johor di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor, di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ura-ura mengenai pertemuan beliau dan Perdana Menteri dalam masa terdekat ini.

    Hasni yang juga ADUN Benut, bagaimanapun mengakui kemungkinan untuk mengadakan PRN itu sedikit berbeza memandangkan situasi politik di Johor yang sedikit unik berbanding negeri lain.

    “Jadi kemungkinan untuk mengadakan PRN saya kira tidak boleh disandarkan sepertimana yang berlaku di Sarawak dan Melaka.

    “Hal ini kerana Johor adalah negeri yang unik dan selama tempoh hampir dua tahun ini, kami telah pun menguruskan perjalanan dewan dan telah dapat gubal beberapa dasar dan atas dasar itu, sekiranya PRN ingin diadakan kami perlu melihat kepada kemungkinan-kemungkinan yang berada di lapangan,” kata beliau, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.

    Susulan kematian Osman pada 21 Dis lepas, kerajaan negeri yang kini dipimpin Barisan Nasional mempunyai 16 kerusi, Bersatu (11), PAS (satu) dengan 28 kerusi manakala Pakatan Harapan mempunyai 27 kerusi.

    Terdahulu, Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat telah memaklumkan tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan susulan kekosongan kerusi DUN Kempas memandangkan kekosongan berlaku lebih tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14. – BERNAMA

  • Lelaki culik budak perempuan, samun OKU, paksa rakam amang seksual

    Lelaki culik budak perempuan, samun OKU, paksa rakam amang seksual

    POLIS menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki melarikan seorang kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun dan melakukan amang seksual di sini, di Kampung Kangkar Baru, dekat Yong Peng, semalam.

    Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, individu berusia 36 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.45 petang dan polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna kelabu serta sebuah telefon bimbit jenis Vivo.

    Katanya, dalam kejadian Selasa lepas, lelaki itu dipercayai melarikan kanak-kanak berkenaan di depan rumahnya di Taman Teratai, Kangkar Pulai di sini dengan sebuah kereta pada kira-kira pukul 5.30 petang, menghala arah Stulang Laut .

    Dalam satu kenyataan di sini beliau berkata, lelaki itu kemudiannya menyamun kira-kira RM500 daripada seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) berumur dalam lingkungan 20 tahun, yang kemudiannya dipaksa oleh suspek untuk merakam kejadian amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan (yang dilarikan) dalam kereta.

    Menurut beliau, lelaki OKU itu kemudiannya ditinggalkan di tepi jalan Stulang Laut, dan kanak-kanak berkenaan yang ditemukan orang awam di depan kedai makan Kangkar Pulai dalam keadaan ketakutan serta trauma, telah dibawa ke hospital sebelum diserahkan kembali kepada keluarganya.

    Ayob berkata, lelaki berkenaan akan direman sehingga Isnin depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 dan Seksyen 363 KK.

    “Hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 392 KK adalah penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, manakala hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 14 (a) AKSTK adalah penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan serta hukuman di bawah seksyen 363 KK adalah penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak dalam kenyataan berasingan berkata, polis menahan seorang lelaki warga asing awal pagi ini susulan laporan berhubung kes cabul kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

    Beliau berkata, menurut laporan ibu kanak-kanak itu, kejadian berlaku semasa anaknya yang berada di sebuah kedai serbaneka di Ulu Tiram di sini, apabila dia mendakwa lelaki yang bekerja di premis itu telah memegang bahu dan meraba perutnya pada pukul 7.50 malam, Selasa lepas.

    “Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari IPD Seri Alam telah menahan lelaki berkenaan yang berusia 33 tahun di tempat kerjanya kira-kira 1.20 pagi tadi bagi membantu siasatan, dan dia direman selama tujuh hari bermula hari ini, disiasat di bawah Seksyen 14 (a) AKSTK 2017,” katanya. – BERNAMA

  • Ayob Khan beri amaran tegas kepada polis Johor

    Ayob Khan beri amaran tegas kepada polis Johor

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KETUA Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberi amaran bahawa beliau tidak akan bertolak ansur dan mempertahankan anggota dan pegawai yang terlibat dalam kesalahan rasuah, salah laku, bersekongkol dengan penjenayah dan dadah.

    Pada masa yang sama, beliau mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak perlu takut berdepan tohmahan atau kritikan daripada orang awam atau mana-mana pihak selagi menjalankan tugas mengikut lunas undang-undang dan prosedur standard operasi (SOP).

    Ayob Khan menambah, seluruh warga polis khususnya kontinjen Johor juga harus berpegang teguh kepada aspek integriti, amanah, tegas, adil dan berhemah biarpun berdepan kemungkinan dikritik, dikecam dan diugut ketika menjalankan tugas.

    “Tuan-tuan dan puan-puan jangan bimbang, saya bukan akan berada di belakang tetapi saya akan sentiasa di hadapan, saya tidak akan biarkan pegawai dan anggota dibelasah. Itu bukan prinsip saya, saya bertanggungjawab terhadap semua dan sebarang kelemahan dan kekhilafan anak-anak buah, saya akan bertanggungjawab.

    “Jangan bimbang, jangan gusar dan jangan gabra dengan kritikan dan tohmahan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

    “Jangan bimbang pengikut Facebook dan Instagram Kontinjen Johor menurun, kita bukan nak jadi artis, YouTuber atau nak bertanding dalam pilihan raya, yang penting berpegang pada prinsip ikhlas, amanah, tegas, adil dan berhemah,” katanya pada Perhimpunan Bulanan IPK Johor, hari ini.

    Tambah Ayob Khan, warga polis Johor juga harus berbangga kerana mendapat sokongan mantap daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad serta ketua-ketua jabatan dan agensi luar.

    Justeru katanya, kesemua anggota dan pegawai diminta terus meningkatkan komitmen menjalankan tanggungjawab membanteras jenayah secara habis-habisan biarpun menerima kecaman.

    Sementara itu, kata beliau, indeks jenayah di negeri itu mencatatkan penurunan sebanyak 40 peratus bagi Januari hingga bulan lalu hasil kerja keras Polis Johor melalui Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang memastikan keamanan rakyat dan negeri terpelihara.

    Dalam tempoh itu, 4,036 kes direkodkan berbanding 6,726 kes untuk tempoh sama tahun lalu dengan jenayah kekerasan mencatat penurunan 32.6 peratus dan jenayah harta benda pula menurun sebanyak 41.6 peratus.

    “Pencapaian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor merekodkan tangkapan kedua tertinggi antara kontinjen dengan seramai 12,828 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan selain merampas sebanyak 12.38 tan dadah yang bernilai RM375.93 juta.

    “Malah lima makmal haram dadah dan enam stor dengan nilai rampasan dan sitaan sebanyak RM355.34 juta turut dibongkar. Pada masa sama, 20 sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan dengan skala tangkapan dan rampasan yang besar dalam sejarah JSJN Johor dan negara,” katanya.

    Ayob Khan berkata, Johor turut mencatatkan tangkapan tertinggi melibatkan seramai 847 individu bagi kes penagih berulang untuk dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 selain 173 orang ditahan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) Akta Dadah Berbahaya 1985.

    “Bagi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor, kita telah berjaya membuka sebanyak 2,774 kertas siasatan berbanding 3,822 kertas siasatan pada tahun lalu, menunjukkan pengurangan sebanyak 27.4 peratus,” katanya.

  • Skim kawalan kekang harga sayur terus meningkat

    Skim kawalan kekang harga sayur terus meningkat

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SKIM kawalan harga dan penetapan harga siling untuk sayur serta barang mentah lain perlu dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi mengekang kenaikan harga barang yang naik mendadak ketika ini.

    Cadangan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh yang menggesa skim terhadap 12 hingga 19 barangan utama khususnya sayur import itu perlu dikuatkuasa segera seperti yang dilakukan setiap kali menjelang musim perayaan.

    Malah, ujar beliau, anggota dan penguatkuasa KDPNHEP perlu melakukan pemantauan harga dan operasi bersepadu dengan kerap terutama di kawasan tumpuan ramai seperti di pasar basah, pasar pagi dan pasar tani.

    “Janganlah KPDNHEP keluarkan amaran sahaja, kenakan kompaun terhadap peniaga yang melanggar Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan hukuman paling maksimum, ini termasuk gantung lesen perniagaan mereka.

    “Peniaga juga diwajibkan letak tanda harga kerana tinjauan yang saya lakukan di pasar basah dan pasaraya di Pasir Gudang, peniaga tidak meletakkan harga barang dengan alasan takut pelanggan lari,” katanya selepas meninjau harga barang di Pasaraya Econsave, Taman Scientex di sini.

    Katanya, KPDNHEP juga dicadang meletak anggota atau penguat kuasa di tempat tumpuan dengan pakaian preman bagi memantau peniaga-peniga yang ingkar dan terus mengeluarkan kompaun serta merta jika melakukan kesalahan.

    Beliau turut meminta kementerian itu menubuhkan satu jawatankuasa khas memantau harga barang melibatkan pelbagai pihak supaya punca sebenar kenaikan sayur dan bahan mentah lain dapat ditangani.

    “Sekiranya harga sayur bukan import naik yang dibekalkan kerana kos baja dan racun, kerajaan wajar pertimbang untuk beri subsidi baja atau racun kepada pengusaha kebun. Siasatan juga perlu dilakukan melibatkan semua rantaian pembekalan makanan.

    “Jika harga ayam naik kerana dedak, kita kena cari alternatif contohnya dengan membeli dedak dari negara lain yang mampu berikan harga berpatutan. Bagi jangka masa panjang, tanaman jagung dalam skala besar dalam negara untuk dijadikan dedak perlu difikirkan,” katanya.

    Tegas beliau, sekiranya menteri dan timbalan menteri di kementerian terbabit tidak dapat menyelesaikan masalah harga barang, mereka wajar meletak jawatan dan berikan peluang kepada pemimpin lain yang lebih layak.

    Kenaikan harga barang katanya, tidak sepatutnya berlaku malah sehingga kini gagal ditangani dalam keadaan kegiatan ekonomi dan rakyat yang baru sahaja bangkit daripada Covid-19.

  • VTL penamat kerinduan ahli keluarga terpisah

    VTL penamat kerinduan ahli keluarga terpisah

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SELEPAS hampir dua tahun tidak bertemu ahli keluarga terutamanya suami yang terpaksa meninggalkan isteri dan anak-anak, pelaksanaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) khususnya sektor darat dari Singapura ke Johor membawa 1,001 rahmat buat mereka.

    Bukan tidak mahu pulang di bawah skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) sebelum ini, tetapi tuntutan kerja dan faktor kuarantin yang lama sehingga meningkatkan kos perbelanjaan menjadi penghalang buat mereka meleraikan kerinduan.

    Malam tadi ada yang tidak dapat melelapkan mata kerana tidak sabar mahu pulang ke tanah air menaiki bas yang dikhaskan untuk VTL bagi bertemu keluarga masing-masing dan tidak kurang ada yang mahu membuat kejutan kepada ahli keluarga.

    Seorang suri rumah, Mushaibah Fauzi, 32, pula mengambil peluang meraikan hari kelahiran suaminya yang sudah setahun tidak bertemu dengan membawa gugusan belon berbentuk hati ketika hadir ke Terminal Larkin Sentral di Johor Bahru.

    Mushaibah gementar bercampur teruja ketika berada di balai ketibaan sementara menanti kelibat suaminya, Muhammad Wafi Akashah, 32, yang berkhidmat sebagai jurutera di Singapura.

    Ibu kepada tiga anak itu berkata, biarpun hampir setahun tidak bersua muka, namun suami tidak pernah terlepas membuat panggilan video setiap hari untuk bertanya khabar dan mengikuti perkembangan mereka.

    “Saya sangat bersyukur apabila suami pada minggu lalu maklumkan akan pulang ke Johor Bahru hari ini, kepulangannya tidak diketahui tiga anak kami yang berada di rumah kerana kami sudah merancang untuk membuat kejutan kepada mereka,” katanya yang tinggal di Nong Chik.

    Ketika melihat suaminya melangkah keluar, Mushaibah memberanikan diri menyanyi lagu selamat hari lahir kepada Muhammad Wafi yang jatuh pada semalam sebelum pengunjung lain yang berada di Larkin Sentral turut bernyanyi beramai-ramai.

    Sementara itu, Kavin Raj Gunalan juga menggunakan peluang kembali ke tanah air di bawah VTL untuk membuat kejutan kepada keluarganya di Nusajaya.

    Malah, bukan sahaja ibu dan neneknya, rakan-rakan pemuda berusia 24 tahun itu juga tidak mengetahui dia akan pulang bercuti selama tiga bulan.

    Dia yang bekerja sebagai pengurus operasi yang bekerja di Singapura mengambil cuti tersebut bagi menguruskan beberapa urusan sebelum kembali ke republik itu.

    “Ibu dan nenek ada tanya sama ada saya akan pulang atau tidak selepas mereka tahu ada skim VTL darat, tetapi sengaja saya cakap tidak dapat pulang kerana tiket bas sudah habis bagi memastikan kejutan itu berhasil.

    Kalvin adalah salah seorang daripada 46 pengembara bagi kumpulan pertama tiba di Terminal Larkin Sentral dari Singapura melalui VTL Darat. Bas Transtar yang dikhususkan membawa pengembara skim itu tiba pada pukul 9.10 pagi.

  • VTL darat: Bas bawa kumpulan pertama tiba dari Singapura

    VTL darat: Bas bawa kumpulan pertama tiba dari Singapura

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SERAMAI 46 pengembara termasuk rakyat negara ini menjadi kumpulan pertama tiba di tanah air melalui skim Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Darat ke Terminal Bas Larkin Sentral di Johor Bahru.

    Mereka tiba dari Singapura dengan menaiki bas TranStar pada pukul 9.10 pagi selepas hampir dua tahun sempadan antarabangsa ditutup akibat penularan wabak Covid-19.

    Kesemua pengembara disambut Penasihat Menteri Besar, Datuk Tee Siew Keong selepas menjalani ujian pengesanan pantas (RTK) On Arrival Test (OAT) Covid-19 semasa tiba di balai ketibaan Larkin Sentral.

    Pada pukul 7.30 pagi pula, seramai lima orang warganegara Malaysia yang mempunyai permastautin tetap (PR) Singapura turut menggunakan VTL Darat bagi menaiki bas Causeway Link menuju ke republik itu.

    Perjalanan darat antara Singapura dan Johor Bahru yang hanya menggunakan bas sebagai mekanisme pengangkutan ketika ini terbuka kepada pemegang pas jangka panjang bagi mereka yang bekerja di Singapura dan Johor Bahru.

    Perkhidmatan bas VTL darat ditetapkan ke Singapura menerusi Terminal Bas Larkin Sentral sebagai lokasi turun naik penumpang di Malaysia, manakala Terminal Queen Street dijadikan pusat turun naik penumpang di Singapura yang telah lengkap divaksin.

    Ujian saringan OAT perlu dijalani oleh kesemua pengembara yang dianggarkan seramai 1,440 orang pada hari ini bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

    Setibanya di Larkin Sentral, semua pengembara perlu mengemukakan Vaccination Travel Pass (VTP) serta keputusan ujian Covid-19 yang dilakukan di negara itu yang perlu dilakukan dua hari sebelum berlepas.

    Hanya pengembara yang disahkan negatif sahaja dibenarkan meneruskan ke destinasi lain, namun jika didapati positif, petugas Kementerian Kesihatan akan mengambil alih pengurusan pengembara berkenaan.